Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Usah pandang remeh ancaman virus bawaan udara di tempat kerja

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Sejak Mac lepas hingga sekarang, kluster tempat kerja kekal menjadi penyumbang utama peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Tiada siapa boleh menidakkannya kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaporkan bahawa hingga Ogos lepas, kluster tempat kerja mewakili 53.2 peratus atau 1,549 daripada keseluruhan kluster.

Keadaan tempat kerja terutamanya di dalam bangunan tertutup, dikenal pasti berisiko tinggi menjadi ‘sarang’ penularan virus seperti Covid-19. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menyatakan sebelum ini bahawa risiko penularan Covid-19 dalam bangunan tertutup dengan sistem pengudaraan yang tidak baik adalah lebih tinggi berbanding di luar bangunan.

Kajian penyelidik tempatan

Perkara ini turut dibuktikan oleh kajian penyelidik tempatan yang menunjukkan virus maut itu mampu terampai lama di udara dan tersebar sejauh lebih dua meter, malah boleh melangkaui enam meter dalam ruang tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir, mendapati ruang tertutup serta operasi pendingin hawa yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

Imbasan mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek biru bulat) muncul dari permukaan sel yang dikultur di makmal, yang menyebabkan Covid-19. Virus itu diasingkan dari seorang pesakit di Amerika Syarikat pada 27 Februari 2020. Foto AFP

Kajian kedua oleh pakar simulasi udara dalaman daripada Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Prof Madya Dr Bernard Saw Lip Huat dan pakar toksikologi Universiti Malaya Prof Madya Dr Leo Bey Fen pula mendapati virus Covid-19 sukar dikawal penyebarannya kerana zarah virus itu boleh berada di udara selama lebih lapan jam.

“Oleh itu, sangat penting mempunyai pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap dan pintu di rumah atau pejabat bagi membolehkan udara segar masuk. Bagaimanapun, bagi pejabat atau kilang tertutup yang tingkapnya tidak boleh dibuka, penyenggaraan pendingin hawa dan sistem pengudaraan sangat penting.

“Pengabaian pengudaraan yang baik serta ketiadaan penyenggaraan pendingin hawa membawa kebarangkalian tinggi untuk mencetuskan kluster tempat kerja sekiranya ada pesakit Covid-19 datang ke pejabat. Ini kerana individu itu berisiko tinggi menyebarkan virus kepada rakan sekerja lain melalui bawaan udara,” jelas Mohd Shahrul kepada Bernama.

Kluster tempat kerja

Hasil kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal tersohor Nature Scientific Reports pada Januari lepas (2021) tidak boleh dipandang remeh, sementelah melihat trend kadar jangkitan di tempat kerja yang membimbangkan sekarang.

Di sebalik kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang semakin menghampiri imuniti kelompok, keadaan semasa pandemik boleh bertambah buruk sekiranya majikan mengabaikan aspek sistem pengudaraan dan tatacara operasi piawai (SOP) lain, lebih-lebih lagi pelbagai sektor ekonomi sudah dibenarkan kembali beroperasi.

Ini kerana mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19 dan juga boleh menjangkiti orang lain. Namun yang dibimbangi ialah masih ada golongan yang belum menerima vaksin dan mereka berisiko mendapat kesan yang lebih teruk jika dijangkiti.

“Kajian saya di hospital sebelum ini mendapati jururawat yang telah divaksinasi positif Covid-19 sebanyak dua kali. Cuma kesan jangkitan virus itu lebih minimum, antara kategori 1 dan 2 sahaja berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin, berisiko untuk sampai ke peringkat 3 hingga 5.

“Berdasarkan kajian kami yang meneliti pergerakan virus itu di dalam bangunan, SOP seperti kerap membasuh tangan dan menjaga jarak tidak cukup untuk memberi perlindungan terhadap titisan zarah mikro pernafasan yang membawa virus yang disebarkan ke udara oleh orang dijangkiti. SOP itu harus dibantu dengan sistem pengudaraan yang baik,” katanya.

Lebih bahaya

Mengulas lanjut mengenai keberadaan virus di udara, beliau berkata keadaan itu berlaku apabila titisan cairan, sama ada melalui bersin, bercakap atau batuk, daripada seseorang yang positif Covid-19 melekat pada zarah (habuk) terutama yang bersaiz satu mikrometer.

“Sekiranya tidak ada pengaruhan aliran udara, virus tersebut yang melekat pada zarah akan terampai selama lapan jam, namun bagi zarah virus Covid-19 yang lebih halus, kurang daripada satu mikrometer, ia boleh berada lebih lapan jam di udara,” katanya.

Sementara itu, Saw dalam kajiannya selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober tahun lepas (2020), mendapati kira-kira 50 peratus virus Covid-19 tersebar dalam lingkungan diameter satu meter manakala sebahagian lagi melangkaui dua hingga enam meter.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA

Kajian itu dilakukan ke atas seorang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di dalam sebuah wad di hospital.

“Wad sepanjang enam meter ini menggunakan pendingin hawa jenis ‘cassette air conditioner’ yang hanya mengitar semula udara dan tidak ada kemasukan udara luar. Berdasarkan kajian yang dilakukan menggunakan pengiraan dinamik bendalir, didapati virus SARS-CoV-2 tidak keluar dari wad tersebut.

“Ia berada di dalam bilik berkenaan dan boleh terampai di udara di mana-mana sahaja kerana tidak ada pengaliran udara segar untuk membersihkan virus tersebut,” kata Saw.

Sanitasi

Mengulas lebih lanjut, Saw berkata tahap risiko seseorang itu boleh dijangkiti melalui bawaan udara bergantung pada jumlah virus yang tersebar di dalam sesebuah bangunan tertutup.

Jika virus itu yang tersebar melalui bersin, bercakap dan bernafas adalah banyak, maka ada kemungkinan seseorang yang dijangkiti akan mengalami jangkitan teruk.

Lebih membimbangkan sekarang ialah kehadiran varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu varian Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi seperti varian Delta yang mampu menjangkiti dalam tempoh 15 saat sahaja selain peningkatan kes sporadik oleh mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala.

Setakat 17 Ogos 2021, negara merekodkan 710 kes VOI (varian yang perlu diperhatikan) dan varian yang membimbangkan (VOC) dan daripada jumlah itu, 467 adalah kes varian Delta (VOC).

“Tidak ada cara lain lagi. Kepentingan kualiti udara dalaman wajar diambil perhatian jitu oleh majikan. Sebenarnya, pihak majikan yang kebanyakannya menggunakan sistem pendingin hawa berpusat, boleh membenarkan udara segar masuk ke dalam sesebuah bangunan mereka secara berkala.

“Ini dilakukan di China, iaitu tiga kali sehari, lebih kurang 30 minit. Mereka melakukannya dengan cara mengawal sistem pendingin hawa untuk membenarkan kemasukan udara segar ke dalam bangunan tertutup bagi proses ‘flushing’ udara.

Kerja sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di UTC Shah Alam pada 27 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tetapi tidak ramai majikan yang mahu membuatnya kerana melibatkan kos. Bil elektrik akan tinggi apabila mereka melakukan fungsi ini kerana kompresor pendingin hawa akan bekerja lebih banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata amalan sanitasi pejabat tanpa penyenggaraan pendingin hawa juga tidak membawa manfaat kerana risiko penyebaran tetap wujud sekiranya individu positif Covid-19 datang ke pejabat selepas dua hari tempat kerja disanitasi.

Ini kerana katanya, sanitasi hanya membersihkan virus tersebut pada hari berkenaan sahaja dan tidak berkekalan hingga hari-hari seterusnya.

Justeru, beliau berpandangan penggunaan pembersih udara yang mempunyai penapis udara HEPA (sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya) antara alternatif yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman.

Boleh dikenakan tindakan

Hakikatnya, ancaman Covid-19 bawaan udara di dalam bangunan tidak dipandang remeh oleh kerajaan apabila Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bagi membantu mengurangkan penularan virus tersebut melalui udara.

Objektif panduan itu adalah memaklumkan kepada masyarakat mengenai kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam, dengan tujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.

Panduan tersebut yang perlu dirujuk bersama SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan langkah kawalan lain dalam mengurangkan penularan wabak, menyarankan peningkatan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk di dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Presiden I Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Mohamad Aliasman Morshidi berkata selain panduan IAQ, majikan juga sebenarnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sekiranya gagal menyediakan tempat kerja yang selamat, dan ini termasuk kualiti pengudaraan di dalam bangunan.

“Secara umumnya terdapat beberapa peruntukan dalam AKKP 1994 seperti Seksyen 15 dan Seksyen 17 yang menerangkan kewajipan majikan untuk memastikan mereka menyediakan tempat kerja yang selamat dan tanpa risiko kesihatan kepada pekerja.

“Di sinilah pihak majikan mesti membuktikan mereka telah mengambil langkah terbaik dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di tempat kerja dengan melakukan penaksiran risiko dengan betul dan meletakkan langkah kawalan yang efektif dengan merujuk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sekiranya majikan atau pemilik bangunan gagal mematuhi ICOP IAQ atau Kod Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010, mereka memang boleh didakwa di bawah AKKP 1994,” katanya.

Menyedari akan kepentingan majikan menyediakan pengaliran udara dalaman yang baik, beliau berkata MSOSH sebagai persatuan yang aktif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia, telah menganjurkan pelbagai program kesedaran mengenainya.

Ini penting memandangkan lebih ramai yang akan kembali bekerja di pejabat, kilang dan sebagainya apabila lebih banyak sektor dibuka kelak berikutan negara juga dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

“Banyak perkara positif yang kita boleh belajar daripada pandemik Covid-19. Selain isu berkaitan kesihatan awam, isu berkaitan KKP (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) di tempat kerja menjadi perhatian utama selepas kita dapat melihat kenaikan kes wabak berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja.

“Di sinilah (pentingnya) peranan proaktif pihak majikan (yang) bertanggungjawab dalam memastikan risiko jangkitan Covid-19 diurus dengan baik, efektif mengikut tahap risiko di tempat kerja dan juga dari segi pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesan virus guna sampel air liur dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 9 MEI: Orang ramai dijangka dapat melakukan sendiri ujian pengesanan Covid-19 melalui ‘test kit’ yang menggunakan kaedah persampelan air liur dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenal pasti dua syarikat yang akan membekalkan test kit berkenaan, di mana alat itu sedang dalam proses pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian terhadap kit itu yang dihasilkan oleh dua syarikat berbeza,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan yang KKM kini memulakan ujian Covid-19 menggunakan persampelan air liur, di beberapa hospital kerajaan.

Berdasarkan penilaian IMR, kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

Kaedah persampelan itu dilihat lebih selamat dan tidak invasif, berbanding persampelan dengan kaedah calitan ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’, iaitu melalui hidung dan mulut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sekiranya hasil ujian menggunakan test kit itu menunjukkan individu berkenaan positif Covid-19, mereka masih perlu hadir ke fasiliti kesihatan KKM untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka masih perlu melakukan ujian lain. Kita juga akan melatih petugas kesihatan bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilaksana dengan lebih tepat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pusat dialisis tidak boleh menjadikan syarat wajib vaksinasi untuk pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.

“Tapi mungkin akan sampai satu masa kita (kerajaan), akan cadangkan golongan yang mempunyai sejarah penyakit komorbid perlu mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terus patuhi SOP walaupun terima suntikan vaksin Covid-19 – pakar

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Walaupun menerima suntikan vaksin Covid-19, orang ramai masih perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan sebagai usaha memerangi pandemik itu.

Pakar Virologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata ini berikutan risiko untuk mendapat jangkitan wabak berkenaan tetap ada walaupun seseorang itu disuntik dengan vaksin.

“Bagi saya, gaya hidup lama patut kita lupakan sahaja kerana kita telah masuk kebiasaan baharu apabila berlakunya Covid-19. Oleh itu, cara hidup kita berubah dan walaupun vaksin itu ada di tangan kita sekalipun, gaya hidup kita tidak boleh kembali seperti dahulu.

“Ini kerana, vaksin itu berkesan daripada menghalang seseorang itu mengalami kesan yang lebih teruk daripada jangkitan itu namun itu tidak bermakna seseorang divaksin tidak boleh menjadi pembawa kepada virus itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini yang membincangkan topik “Vaksin Covid-19: Memahami Akses Serta Perolehan Vaksin AstraZeneca”, terbitan Bernama TV, di sini, hari ini.

Tambahan pula, katanya, vaksin dibangunkan sekarang hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Mereka yang berumur bawah daripada usia itu tidak mendapat vaksin jadi apabila usia mereka sudah meningkat, mereka juga perlu mendapatkan vaksin, jika tidak mereka akan terdedah dengan jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Sazaly menyifatkan pembelian vaksin dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca sebagai langkah terbaik bagi mempelbagaikan pilihan vaksin yang boleh digunakan oleh rakyat di negara ini.

“Jadi, sebenarnya rakyat Malaysia sangat bertuah dan beruntung kerana bukan semua orang serasi atau sesuai dengan satu vaksin sahaja.

Seperti yang kita tahu, fisiologi dan biologi dalam badan setiap manusia itu berbeza dan tindak balas yang diterima (apabila disuntik vaksin) juga berlainan yang mana mungkin akan ada yang mengalami alahan daripada vaksin itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi warga China pulih, pesakit sembuh 13

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pasangan warga China masing-masing berusia 52 tahun dan 49 tahun yang disahkan positif koronavirus 2019 (Covid-19) sebelum ini, dibenarkan keluar hospital petang semalam, menjadikan jumlah terkini pesakit sembuh adalah 13.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru itu disahkan sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian Covid-19 ulangan kali kedua berturut-turut, didapati negatif.

“Kes ketujuh dimasukkan ke wad para 27 Januari, dan kesihatannya terus merosot disebabkan jangkitan teruk Hypoxia pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad.

“Pada hari kesembilan, pesakit menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat baik, sehingga dia menjalani ujian dua kali berturut-turut dengan keputusan negatif Covid-19, dan hari ini dia dibenarkan pulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Susulan berita gembira itu, Dr Noor Hisham berkata semua kes positif Covid-19 yang dirawat di hospital itu telah sembuh sepenuhnya dan telah benarkan pulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awal saringan kesihatan, isteri kepada pesakit kes ketujuh itu disahkan menghidap Asymptomatic, namun simptom Covid-19 pada wanita itu dikesan pada hari kedua rawatan.

“Sampel yang diambil pada 5 Februari lepas menunjukkan negatif Covid-19, namun dia tetap berhasrat untuk tinggal di hospital sehingga suaminya dibenarkan keluar. Kita jalankan ujian sampel sekali lagi semasa suaminya sembuh, dan keputusannya tetap negatif dalam dua ujian susulan itu,” tambahnya.

Pasangan itu adalah individu kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang masing-masing disahkan positif Covid-19 pada 28 Januari dan 30 Januari lepas.

-BERNAMA