Categories
SELANGOR

KSSB Salur Keuntungan Untuk Kebajikan Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Ketua Pegawai Eksklusif KSSB, Ir Wan Abdul Halim Wan Ismail tampil memberikan penerangan kepada Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung syarikat yang terlibat dalam operasi pasir Selangor di bawah kendalian Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Berdasarkan ringkasan Prestasi Tahun Kewangan 2008-2012 KSSB mencatatkan perkembangan positif terutama dari segi jumlah jualan.

Tahun 2011 mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai RM84,413,801 hasil daripada jualan 8,030,801 tan metrik pasir.

Sebelum ini, KSSB mencatatkan jumlah jualan RM61,301,231 dengan 5,886,612 tan metrik pada tahun 2010 manakala pada tahun 2009 jumlah jualan yang dicatatkan adalah RM31,028,289 (1,771,792 tan metrik) dan hanya RM4,824,874 (220,139 tan metrik) pada tahun 2008.

Untuk sumbangan kepada kerajaan negeri pula, KSSB telah menyalurkan RM7,946,010 untuk tahun 2011 berbanding pada tahun 2009 dengan jumlah RM1,398,950 meskipun mengalami penurunan jumlah sumbangan RM630,800 pada tahun 2010.

“Untuk tanggungjawab sosial korporat pula, RM899,559 telah diperuntukkan untuk tahun 2011 sementara tahun 2010 hanya RM20,190.

“Bagi tahun 2009, sebanyak RM13,747 digunakan manakala RM9,886 untuk tahun 2008,” katanya.

KSSB mencatatkan penurunan cukai korporat hampir RM570,000 pada tahun 2011 dengan jumlah RM5,000,000 meskipun mencatat perolehan tinggi pada tahun 2010 dengan jumlah RM5,573,026.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh Shaari Sungib pula, Wan Abdul Halim memaklumkan, sebanyak 46 kontraktor terlibat dalam operasi melombong pasir sehingga Januari 2012 dibawah kendalian KSSB.

Enam syarikat kontraktor telah dipilih untuk mengendalikan operasi di lombong KSSB dengan keluasaan kawasan yang telah ditetapkan.

Syarikat-sayrikat tersebut adalah Cheong Weng Trading dengan keluasan terbesar sebanyak 120 ekar diikuti Reach Eastern Resources Sdn Bhd dengan 100 ekar dan Plustrans dengan 80 ekar.

“Tiga lagi kontraktor yang terlibat adalah Transcend Heritage Heritage Resources dengan 50 ekar, Uruswajar Sdn Bhd 49 ekar dan Krizik (Malaysia) Sdn Bhd dengan keluasan 42 ekar,” katanya.

Bagi jenis lombong persendirian pula, Goldgraf Sdn Bhd mempunyai keluasan kawasan operasi terbesar dengan 91.39 ekar disusuli dengan Benteng Nusantara dengan 90 ekar dan telah tamat operasi pada 6 Januari 2012.

Sementara Marita Sdn Bhd dan APMG Sdn Bhd merupakan dua lagi kontraktor yang mempunyai jumlah keluasan kawasan operasi yang besar seluas 50 ekar.

Setiap metrik tan tanah operasi perlombongan lombong KSSB dijual pada harga RM5.00 hingga RM6.00 per tan dan untuk lombong persendirian pula dijual pada harga RM1.82.

Beliau turut menegaskan Syarikat Double Dignity Sdn Bhd merupakan syarikat yang tidak terlibat dalam operasi perlombongan pasir di bawah kendalian KSSB.

Menurut satu kenyataan KSSB sebelum ii, syarikat Double Dignity tidak berdaftar di bawah KSSB dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti mengorek dan menjual pasir sama ada atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Double Dignity Tidak Pernah Pohon Tender Pasir

SHAH ALAM, 5 MAC: Adun Batu Caves, Amiruddin Saari menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) berhubung isu perlombongan pasir di Selangor.

Katanya, perkara ini dianggap sebagai satu tuduhan tidak beberapa tepat dan berniat tidak baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Beliau turut memberitahu Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT), bahawa beliau tidak menggunakan sebarang pengaruh peribadi dan tidak mempunyai nombor telefon untuk berhubung dengan KSSB.

Berhubung pertalian beliau dengan syarikat Double Dignity Sdn Bhd (DDSB), beliau memaklumkan mula menyertai syarikat tersebut secara rasmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada September 2009 sebelum meletakkan jawatan pada Ogos 2011.

“Saya dijemput lebih kurang bulan 9 atau 10, saya tidak pasti, saya hantar kad pengenalan saya. Dalam perbualan awal itu setiap bulan diberikan elaun (bulanan) ahli lembaga pengarah sebanyak RM5,000.

“Sepanjang ingatan saya, saya menerima ealun sebanyak tiga kali yang saya minta untuk diselaraskan bermula bulan 1, 2 dan 3.

“Saya ada berbincang sebanyak dua atau tiga kali untuk kenal mengenai syarikat ini.

“Seingat saya Shuhaimi Shafie mengajak saya untuk menyertai syarikat ini dan memaklumkan kepada saya syarikat DDSB ini ingin melakukan perniagaan perladangan di Sabah,” katanya.

Jelasnya, elaun bulanan itu dibayar untuk bulan Oktober, November dan Disember.

Namun, selepas itu beliau diberitahu menjadi ahli lembaga pengarah secara rasmi bulan Januari.

Mengulas lanjut berhubung perlombongan pasir, beliau mendapat satu surat daripada individu bernama Adnan yang memberitahu menyatakan hasrat untuk melombong pasir.

“Beberapa hari selepas itu saya menghubungi saudara Shuhaimi dan beliau memberitahu pada perancangannya DDSB tidak akan terlibat dalam aktiviti melombong pasir.

“Jadi saya pesan kepada beliau, tolong beritahu saudara Adnan jangan majukan surat itu (perlombongan pasir) ke hadapan sebab kita mahu berbincang dengan lembaga pengarah,” katanya.

Beliau juga memaklumkan telah memberi kenyataan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2010 dan tidak dimaklumkan berhubung hasil siasatan.

Ketika menjawab pertanyaan Mohamad Azmin Ali, Ketua Pegawai Eksklusif KKSB, Ir Wan Abdul Halim Wan Ismail berhubung kewujudan surat sokongan dari mana-mana pihak untuk kegiatan melombong pasir, beliau berkata KSSB tidak menerima mana-mana surat sokongan dari mana-mana pihak.

Selain itu, Abdul Halim juga memaklumkan DDSB tidak pernah berdaftar atau memohon dengan KBBS dan tidak wujud langsung pemberian tender kepada DDSB untuk menjalankan kegiatan melombong pasir di Selangor.