Categories
SELANGOR

Sidang DNS Kerap Boleh Rapatkan Jurang Kerajaan-Rakyat

SHAH ALAM 4 SEPT : Cadangan untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) setiap sebulan mendapat reaksi berbeza daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ada exco yang mengatakan skop DNS tidak cukup besar untuk menjustifikasikan sidang pada setiap bulan manakala exco lain berpendapat ia dapat mempercepatkan maklumbalas antara rakyat dan kerajaan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakop Sapari berkata sidang yang lebih kerap akan menolong kerajaan memberi respons yang cepat kepada masalah yang dibangkitkan rakyat.

?Ia juga akan memberi pegawai kerajaan masa untuk menyediakan jawapan bagi perkara yang dibangkitkan.

?Jika masalah tidak selesai, ia boleh dibangkitkan sekali lagi tanpa menunggu tiga atau empat bulan,? kata Yaakop ketika ditemui Selangorkini.

Kekerapan sidang DNS bermakna ADUN selaku wakil kepada rakyat dapat menyuarakan masalah atau perkara yang berbangkit di kawasan mereka supaya tindakan cepat dapat diambil.

?Ia akan menguatkan lagi ?check and balance? (pegawasan dan pengimbangan) di antara institusi kerajaan negeri.

Cadangan sidang DNS setiap bulan itu daripada ADUN Pakatan yang mahu mempercepatkan proses maklumbalas di antara Kerajaan Negeri dan rakyat.

Menurut laporan SelangorTimes keluaran minggu lepas, ADUN tersebut juga mahukan peruntukan yang lebih bagi menambah kakitangan dan dana DNS.

Cadangan tersebut lahir dari satu lawatan belajar ke Dewan Parliament Western Australia, baru-baru ini. Di Australia, Dewan Undangan Negeri di wilayah negara tersebut bersidang tiga kali seminggu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail berkata beliau sedia untuk menghadiri sidang DUN pada setiap bulan.

“Jika ianya praktikal untuk diadakan dan memberi manfaat kepada rakyat, saya bersedia,” tegasnya.

 Manakala Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok menyatakan pendapat berbeza dengan cadangan tersebut.

“Saya tidak setuju sama sekali kerana saya percaya skop dan bidang kuasa DUN tidak besar serta tidak memerlukannya untuk dibincangkan setiap bulan.

“Berbeza dengan Australia misalnya yang mana mereka di peringkat negeri mempunyai kuasa lebih berbanding senario di Malaysia, jadi saya rasa tidak perlu,” ujar Teresa.

Adat Melayu, Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menyatakan persetujuan dengan Teresa bahawa buat masa ini, tiada keperluan untuk mengadakan Sidang DUN pada setiap bulan.

“Perkara ini masih dalam pertimbangan tetapi saya fikir buat masa ini masa yang diperuntukan untuk sidang DUN itu memadai.

“Jika mahu ditambah pun, setahun empat kali mungkin boleh diadakan berbanding amalan biasa selama ini iaitu tiga kali setahun,” komen Yunus.

Categories
SELANGOR

Pusat Budaya Di Klang Pelihara Warisan Komuniti


KLANG, 01 JULAI : Dalam usaha memperkasakan pembangunan di Klang, Kerajaan egeri Selangor akan menubuhkan tiga pusat kebudayaan di sepanjang Sungai Klang dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Pusat kebudayaan yang merangkumi tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India itu bertujuan mengembalikan kegemilangan bandar diRaja Klang sebagai kawasan bersejarah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lokasi bagi ketiga-tiga pusat kebudayaan itu telah dikenalpasti, iaitu Bandar Klang (Taman Kebudayaan Cina), Kampung Pandan (Taman Kebudayaan India) dan Kampung Kuantan (Taman Kebudayaan Melayu).

“Pembinaan pusat kebudayaan di Klang ini adalah sejajar dengan misi dan visi kerajaan Selangor untuk menambahbaik pembangunan Klang yang agak ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

“Ia juga adalah salah satu inisiatif permulaan untuk menunjukkan bagaimana kemajuan di daerah ini dapat dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Pusat Kebudayaan Negeri Selangor di AEON Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco Selangor yang terdiri daripada Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Yaakop Sapari dan Ronnie Liu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari bermula 27 Jun hingga 1 Julai itu mempamerkan warisan kebudayaan sebagai salah usaha untuk menghayati dan mendekati adat resam pelbagai kaum.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut mengedarkan borang soal selidik maklumbalas kepada pengunjung  untuk digunapakai dalam menjana penambahbaikan pembangunan di Sungai Klang.

Tambah Abdul Khalid, pusat kebudayaan itu dapat menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara selain memelihara warisan untuk generasi akan datang.

“Setiap pandangan daripada rakyat memberi makna besar kepada pembangunan di negeri ini. Pembangunan hanya dapat dilakukan jika kita saling bekerjasama,” ujarnya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Mendahului Umno-BN Dalam Menjaga Kebajikan dan Hak Pekerja

SHAH ALAM, 14 MEI : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah pimpinan pertama yang mengamalkan dasar kebajikan pekerja yang lebih progresif, bukan Umno-BN.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kebajikan terhadap pekerja bermula se-awal tahun 1990-an lagi di negeri Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.

Perubahan itu termasuk pemberian cuti rehat sebanyak dua hari setiap minggu kepada pekerja, cuti bersalin 60 hari kepada pekerja wanita dan cuti tujuh hari kepada suami yang isterinya melahirkan anak.
Malah dasar-dasar seperti ini pernah dikecam kuat oleh Umno-BN di bawah Perdana Menteri ke-empat Tun Dr Mahathir Mohamed pada masa ia perkenalkan.

“Umno-BN sebelum ini ada mendakwa bahawa cuti rehat dua hari yang diberikan kepada pekerja akan menyebabkan produktiviti menjadi rendah dan rakyat akan malas.

“Tetapi akhirnya mereka meniru kita dan terpaksa memberi cuti rehat selama dua hari kepada pekerja sebab kita dah laksanakan dulu.
?Tidak terkecuali, negeri Selangor juga turut memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Itu adalah bukti betapa kerajaan PR begitu prihatin terhadap hak pekerja,” ujarnya.

Mat Sabu berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Himpunan ?Pekerja : Menjulang Martabat Pekerja? di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Himpunan yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pimpinan kerajaan Selangor.

Turut kelihatan exco-exco Selangor Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Ronnie Liu Tian Khiew dan Dr Yaakop Sapari. Juga hadir MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Meru Dr Rani Othman.

Pakatan di dalam dasar bersamanya pada 2010 telah berjanji untuk melaksanakan gaji minima di dalam semua sektor di negara, lebih awal dari dasar Umno-BN yang baru diumumkan beberapa minggu lalu.

Malah Kerajaan Selangor menetapkan kadar gaji minima pada RM1,500 sebulan untuk setiap anak syarikat di bawahnya.
Kadar itu adalah lebih tinggi daripada RM900 yang diumumkan oleh Umno-BN.

ends

Categories
SELANGOR

PKPS Meningkat RM114j Berbanding RM8.3j Pada 2008


SHAH ALAM,6 MAC : Simpanan tetap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah meningkat kepada RM114 juta pada tahun 2011 daripada RM8.3 juta pada 2008, hasil kecekapan pengurusan pentadbiran Pakatan bukan dari hasil penjualan tanah seperti didakwa sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan , Dr Yaakob Sapari mendedahkan PKPS mengalami kerugian jangkaan pendapatan  RM20 juta setahun ekoran penjualan ladang seluas 12,000 ekar di Miri, Sarawak oleh pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Ladang tersebut telah dijual dengan harga yang murah iaitu RM8,082.00 seekar pada tahun 2007.Keputusan itu adalah keputusan yang silap, dan saya mengesyaki ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan dengan perkara ini. Kerajaan Negeri telah sedaya upaya untuk mempertahankan ladang ini dari terus dijual.

“Kami telah merujuk kes ini di mahkamah, tetapi keputusan mahkamah telah memihak kepada pembeli kerana dokumen jual-beli telah ditandatangan PKPS oleh Kerajaan Negeri terdahulu,” jelas Yaakob pada sidang media di sini.

Menurut Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya menyalahkan BN kerana telah menjual ladang tersebut dengan harga yang murah.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Umno-BN Selangor mempersoalkan kenyataan itu dengan mendakwa peningkatan simpanan tetap PKPS ekoran penjualan tanahnya seluas 12,000 hektar di Sarawak kepada sebuah syarikat.

Noh mendakwa transaksi jual beli itu dimulakan zaman pemerintahan Umno-BN dan selesai pada tahun 2010 dengan nilai RM97 juta.

“Saya pernah membuat tinjauan pasaran, bahawa harga tanah yang dijual itu sekurang-kurangnya berharga RM145 juta tetapi ia dijual pada harga RM97 juta, kalau kita simpan tanah itu untuk sepuluh tahun lagi,hasil tanah itu akan terus meningkat, walaupun jika pada harga RM145 juta kerajaan negeri tidak akan menjualnya kerana kerajaan negeri tahu bagaimana untuk mengurus aset tanah tersebut,” ujar Yaakob.

Sementara itu, Yaakob menjelaskan PKPS mencatatkan peningkatan jualan sawit dari tahun ke tahun dengan memperolehi pendapatan sebanyak RM30.72 juta pada tahun 2011 walaupun pengeluaran buah sawit berkurang pada tahun 2011 kerana PKNS telah mengambil semula tanah mereka yang dipajak PKPS  di Tanjung Malim Selangor.

PKPS juga mencatatkan peningkatan keuntungan daripada hasil ladang kelapa sawit yang dicatatkan pada 2008 sebanyak RM10.30 juta kepada RM19.70 juta pada 2011.

” Tahun 2010 adalah tahun pertama PKPS mula mencatat keuntungan operasi. Keuntungan PKPS pada tahun terdahulu adalah dari keuntungan jualan tanah,” kata Yaakob.

Menurut beliau, PKPS memperolehi keuntungan operasi pada 2010 adalah sebanyak RM1.89 juta meningkat kepada RM8.10 juta pada 2011.

PKPA juga berjaya melaksanakan penjimatan perbelanjaannya sebanyak RM8.50 juta pada 2010 dan RM8.26 juta pada 2011.

PKPS  telah melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaan mengurusnya antaranya kakitangan berlebihan di ibu pejabat di tempatkan di projek-projek, kakitangan PKPS diberi tugas ‘multi tasking,penyelenggaraan Wisma PKPS diurus sendiri,pembelian bahan dan bekalan pejabat dikurangkan dan kenderaan berlebihan dihapuskan.

Yaakob juga berkata beliau bersedia untuk memberikan ‘kelas khas’ kepada pimpinan BN untuk menjelaskan bagaimana keuntungan dan perolehan pendapatan PKPS terkini seraya membidas sikap Noh berhubung pengendalian dalam skandal Ladang Fidlot Negara.

“Kalau berani buat SELCAT untuk Shahrizat dalam skandal lembu , saya cabar, kalau berani Parlimen untuk menyiasat kes lembu itu dan dibuat secara langsung dan di Selangor telah dibuktikan dengan apa-apa kes disiasat secara terbuka melalui SELCAT.

“Saya rasa Menteri Pertanian ini tidak tahu mengenai pertanian, kalau Noh hendak, kita boleh adakan kelas, dan bersedia untuk menyediakan ceramah kepada beliau mengenai bidang pertanian,kerana tidak ada bukti apa yang Noh hasilkan, pertanian perlu diurus dengan sebaik mungkin,dan diurus oleh professional, ” jelas Yaakob.