Categories
SELANGOR

Lebih 13 Ribu Pelajar Nikmati Program PTRS

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai lebih 13 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor menikmati manfaat daripada program Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sejak dilancarkan pada 2009 dengan peruntukan RM3.45 juta.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan PTRS atau Tuisyen Percuma dengan sasaran golongan pelajar yang akan menduduki SPM dan berasal dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Menurutnya, program tersebut dijalankan di seluruh Selangor mengikut DUN sebanyak 56 kawasan dengan setiap kawasan diberi kuota sebanyak 100 tempat sahaja.

“Kerajaan negeri konsisten memberikan peruntukan sama pada 2010, 2011 dan tahun ini bagi meneruskan perlaksanaan program ini. Selama tiga tahun perlaksanaannya, Kerajaan Negeri berjaya mengumpulkan seramai 13,367 peserta PTRS.

“PTRS dirangka khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan mempunyai prestasi pencapaian pendidikan yang lemah. Objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yap Lum Chin (Balakong – BN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dr Halimah menjelaskan PTRS menawarkan empat matapelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka.

Jelasnya, ini kerana penilaian ke atas pelajar hanya dapat dibuat melalui empat matapelajaran itu sahaja  dengan semua pelajar akan menduduki ujian prestasi dalam PTRS sebelum menghadapi SPM.

Prestasi keputusan SPM tahun lalu, tambahnya, melibatkan 4,526 pelajar PTRS mengikut pelajaran adalah Bahasa Melayu ialah 4,012 mencapai kredit dengan peningkatan 15 peratus, 411 lulus (menurun 33 peratus) dan 103 gagal (menurun 75 peratus); Bahasa Inggeris (3,292 kredit – meningkat 28 peratus, 1,029 lulus – tiada perubahan, 205 gagal – menurun 79 peratus); Matematik (3,600 kredit – meningkat 59 peratus, 926 lulus – meningkat 29 peratus), kosong  – menurun 100 peratus) manakala Sejarah (3,806 kredit – meningkat 61 peratus, 617 lulus – meningkat 20 peratus, 103 gagal – menurun 94 peratus).

Categories
SELANGOR

Selangor Perkenal Inisiatif Premium Milik Tanah

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif program bayaran premium RM1,000 bagi pemberimilikan tanah dan program bayaran premium bagi tujuan melanjutkan tempoh pajakan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, program ini bertujuan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor menentukan sendiri kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing.

“Bagaimanapun mereka masih perlu membayar caruman berasingan seperti parit yang tidak termasuk dalam premium RM1,000 itu.

“Dan sekiranya mereka menjual tanah untuk diberi milikan kepada orang lain, premium penuh akan dikenakan kecuali jika dipindah milik kepada waris, maka premium tidak perlu dibayar,” jelas Abdul Khalid menjawab soalan Adun Balakong, Yap Lum Chin di Sidang DUN pagi ini.

Nilaian tanah yang akan digunakan adalah berdasarkan nilaian yang dikemukakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Selangor.

Setakat ini, terdapat 356 orang penerima yang sudah lulus permohonan bayaran premium RM1,000 dengan 5 di Hulu Selangor, 136 di Hulu Langat, 89 di Kuala Selangor, 65 di Petaling, 3 di Sepang, 4 di Kuala Langat, 48 di Gombak serta 6 di Klang.