Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantu Indonesia tangani masalah jerebu

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Malaysia akan membantu Indonesia dengan apa cara yang mungkin dan sesuai dalam menangani masalah jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Seklitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Beliau berkata Malaysia telahpun menyampaikan mesej itu kepada Indonesia, bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

“Pihak Malaysia melalui Kedutaan kita telah (menyatakan) untuk menghulurkan apa-apa sokongan atau bantuan yang diperlukan bagi memadam kebakaran, kita akan hulurkan bantuan kepada mereka (Indonesia).

“Kita siap sedia jika dan bila mereka menerima tawaran kita,” kata beliau ketika ditemui selepas mesyuarat khas Kabinet mengenai Kemakmuran Bersama di Perdana Putra di sini hari ini.

Yeo berkata oleh kerana ASEAN ketika ini tidak mempunyai akta jerebu rentas sempadan di peringkat serantau, penguatkuasaan berhubungn masalah jerebu perlu ditangani mengikuti negara individu itu sendiri.

“Oleh itu Indonesia hendaklah melakukan apa yang perlu bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah bertindak melanggar undang-undang,” kata beliau.

Dalam pada itu, Yeo berkata beberapa prosedur pembenihan awan akan dilakukan dalam bebereapa hari ini.

“Kita akan tumpukan untuk mencari masa yang sesuai untuk buat pembenihan awan di Selangor sebab kualiti udara telah pun merosot tapi kena tengok awan dan situasi awan.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang penting sekarang ialah memadamkan kebakaran hutan di Indonesia.

Katanya, menurut laporan, terdapat 30 syarikat bertanggung terhadap kebakaran hutan di Indeonsia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sokong usaha EXCO negeri kekang pencemaran sungai

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan sentiasa menyokong semua inisiatif Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di seluruh negara dalam mengekang masalah pencemaran sungai yang mencetuskan kegusaran ramai.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya juga sudah menurunkan kuasa penuh kepada semua EXCO terbabit untuk menggiatkan pelaksanaan operasi bersepadu selepas ini.

“Semalam, saya bersama EXCO negeri mengadakan mesyuarat untuk kertas pembentangan dan kita (kerajaan) berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) tentang apa perlu mereka buat bagi menjaga sungai termasuk kilang-kilang haram yang mencemari sungai.

“Kalau kerajaan membuat operasi tidak cukup…mereka (EXCO) boleh memimpin operasi bersepadu berkenaan kerana kita tidak boleh pergi ke semua sungai serta kilang, tetapi kita turunkan kuasa kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita adakah insiden pencemaran sungai yang kerap berlaku kebelakangan ini mula memperlihatkan kempen sayangi sungai kita gagal.

Ahli Parlimen Bakri itu bagaimanapun enggan melatah, sebaliknya yakin dengan kemampuan kerajaan melalui jalinan kerjasama EXCO negeri dalam usaha mengatasi masalah terbabit demi menjamin kesejahteraan masyarakat.

“Justeru, mereka (EXCO) boleh mengambil cabaran ini dengan baik dan saya ingin lihat Kerajaan Negeri mengambil tindakan sendiri dengan lebih banyak lagi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Isu Lynas: Bukan keputusan ideal, tetapi lebih baik

SHAH ALAM, 3 OGOS: Keputusan Kabinet melanjutkan permit operasi Lynas Corp dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi selama enam bulan lagi disifatkan bukan keputusan paling ideal, kata Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata, sekurang-kurangnya keputusan dicapai Kabinet lebih baik berbanding situasi dihadapi buat masa ini.

“Isu persekitaran dan keselamatan rakyat adalah penting dan Kabinet mengambil perhatian perkara berkenaan tetapi beberapa orang ada pandangan berbeza, justeru keputusan sudah dicapai.

“Keputusan yang dicapai ini bukan paling ideal untuk saya tetapi apa yang ada sekarang lebih baik daripada status quo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Minggu Sains Negara 2019, di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri itu diminta mengulas sama ada Lynas dibenarkan untuk menyimpan sisa ‘Water Leached Purification’ (WLP) di Malaysia atau tidak.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan bahawa Kabinet sudah mencapai keputusan untuk menggugurkan syarat bagi Lynas Corp memindahkan sisa pemprosesan nadir buminya keluar dari Malaysia.

Akhir tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk memperbaharui lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar keluar sisa bahan radioaktif dari negara ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, keputusan bersama anggota Kabinet untuk menyambung permit Lynas Corp akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos ini dalam satu kenyataan media dikeluarkan pihaknya.

Katanya, apa yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian daripada perkara yang dibincangkan oleh pihaknya juga.

“Ulasan kementerian dan pandangan peribadi saya sudah bentang pada Kabinet dan anggota jemaah menteri lain pun turut melontarkan pandangan mereka.

“Oleh itu, keputusan Kabinet dicapai melalui majoriti tetapi daripada segi undang-undang, Lynas hanya boleh membuat pembaharuan lesen 30 hari sebelum tamat lesen 2 September, iaitu 2 Ogos (semalam),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri solar mampu wujud lebih banyak peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 23 JUL: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yakin lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui industri solar di negara ini pada masa depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, sehingga kini, lebih 54,300 rakyat di negara ini bekerja dalam industri itu dan merupakan jumlah yang tertinggi di rantau Asia.

“Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan tenaga solar yang mampan, kita berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri ini.

“Mengikut rekod, lebih 54,300 pekerja terlibat dalam bidang berkaitan industri solar sejak 2011 hingga kini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Malaysia’s Largest Rooftop Solar Photovoltaic (PV) Project Under The Net Energy Metering (NEM) Scheme: 2.5 MV PV System oleh Goodyear Malaysia Bhd di sini.

Turut hadir, Pengarah Operasi Pembuatan Asia Pasifik Goodyear Tire & Rubber Company, Ramon Le.

Mengulas lanjut, Yeo berkata, industri solar pada masa ini tidak hanya bertumpu kepada pemasangan panel solar di bangunan komersial tetapi juga di premis kilang.

“Seperti yang dilaksanakan oleh Goodyear iaitu memasang panel solar di kilang mereka bagi tujuan mengurangkan jejak karbon sekali gus memastikan masa depan yang lebih mesra alam.

“Langkah ini juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ramon berkata, pihaknya telah memasang kira-kira 6,680 panel solar yang disambungkan kepada enam substesen bervoltan rendah yang mampu menjana 2.5 megawatt bukan sahaja untuk kilang pembuatan tetapi juga mampu menyalurkan tenaga tersebut kepada pejabat dan gudang.

Beliau berkata, setiap panel diperbuat daripada Bifacial Monocrystalline PERC Double Glass Solar Module 375W, dan secara keseluruhannya mampu mengurangkan 1.98 juta kilogram pelepasan karbon setahun selama 25 tahun.

Program NEM adalah sistem PV solar dan merupakan inisiatif kementerian itu untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan kesalahan TNB kini di Jabatan Peguam Negara

BANGI, 23 JULAI: Kertas siasatan berhubung kesalahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam insiden bil pengguna melambung, sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk maklum balas, kata Yeo Bee Yin.

“Kertas siasatan sudah disiapkan dua minggu selepas insiden kenaikan bil pengguna TNB berlaku,” kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu selepas melancarkan Low Carbon Cities 2030 Challenge di Greentech Malaysia, di sini hari ini.

Pada Mei lalu, sebahagian pengguna TNB mengadu bil elektrik masing-masing melambung berlipat kali ganda berbanding jumlah yang lazim dibayar setiap bulan.

Susulan itu, Bee Yin dilaporkan berkata, TNB ada melakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

TNB pada 31 Mei juga mengakui berlaku gangguan dalam sistem pengebilan mereka yang menyebabkan segelintir pengguna menerima bil tinggi.

Ditanya jumlah penalti yang bakal dikenakan ke atas TNB, Bee Yin berkata: “Kita (kementerian) hendakkan (penalti) tinggi. Tengoklah macam mana.”

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tutup semua kilang haram di Pasir Gudang – Bee Yin

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Kerajaan akan memastikan semua kilang yang didapati beroperasi secara haram di Pasir Gudang, Johor ditutup, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ini antara langkah bagi mengawal kualiti udara di kawasan berkenaan yang kini sekali lagi berdepan isu pencemaran selepas insiden Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

“Hari ini saya ada satu mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, kita akan membuat sesuatu yang mana kita nak sasar kilang-kilang haram. Dalam masa sebulan ini kita akan adakan operasi bersepadu supaya kita tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya juga nak minta anggota-anggota Dewan Rakyat dan rakyat di Pasir Gudang supaya lapor kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kalau ada maklumat tentang kilang-kilang haram, kita akan pergi dan tutup,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kedua-dua insiden di kawasan berkenaan.

Bee Yin menegaskan apa yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah kualiti udara di Pasir Gudang ialah anjakan paradigma dan mencari pendekatan berbeza berbanding sebelum ini.

Menteri itu seterusnya berkata beberapa pendekatan lain turut digariskan termasuk mewujudkan sebuah pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang dan membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’.

Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar toksik automatik secepat mungkin dan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di Pasir Gudang termasuk memasang alat pemantauan secara berterusan.

“Kementerian juga akan adakan program sekolah angkat oleh industri terutama bagi sekolah berisiko tinggi yang mana lokasi mereka dekat dengan kilang, dan industri-industri ini akan bekalkan kemudahan seperti gas detector dan air purifier ke sekolah angkat masing-masing,” katanya.

Bee Yin menegaskan kerajaan mengambil berat isu pencemaran udara serta telah meningkatkan dengan begitu ketara tahap pemantauan dan penguatkuasaan di Pasir Gudang selepas insiden di Sungai Kim Kim.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemantauan kualiti udara serentak di 111 sekolah Pasir Gudang esok

JOHOR BAHRU, 3 JUL: Pemantauan kualiti udara akan dibuat di 111 buah sekolah dekat Pasir Gudang secara serentak esok dan guru akan diajar cara membaca alat pengesan gas yang diletakkan di setiap sekolah.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata usaha itu adalah bagi memastikan guru-guru sentiasa dalam keadaan bersedia sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita juga akan mengajar mereka bagaimana untuk membuat report (sekiranya terdapat bacaan), jika ada sisa-sisa bawah tanah ataupun daripada Sungai Kim-Kim, ia juga boleh dikesan menerusi alat pengesan ini.

“Kita akan terus memantau dan sekarang pihak sekolah juga ada satu rujukan sekiranya ada bacaan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, di sini, petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Ditanya mengenai bacaan kualiti udara sepanjang pemantauan di lakukan di sekitar Pasir Gudang, Yeo berkata terdapat bacaan namun menjelaskan aspek tiupan angin memainkan peranan.

“Lihat kepada faktor angin, ‘sometimes’ bacaan ada ‘spark’, selepas itu dia akan turun semula kepada kosong,” katanya.

Sementara itu Mohd Khuzzan berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad meskipun 38 pelajar dari sembilan buah sekolah mengalami gangguan kesihatan hari ini.

“Namun kesemua pelajar berkenaan hanya mendapatkan rawatan klinik kesihatan dan sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa. Pihak sekolah juga telah diarahkan membuka pintu dan tingkap di aras atas bagi tujuan pengaliran udara,” katanya.

Sehingga kini, masih ada seorang murid lelaki berusia 10 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Berkenaan penguatkuasaan, Mohd Khuzzan berkata hasil operasi bersepadu Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama pelbagai agensi lain, sebanyak 34 premis menerima notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar terutama dalam menangani masalah bau dan apa-apa pelepasan gas ke udara.

“Sebanyak enam premis dikenakan kompaun, sebuah premis dikenakan tindakan penahanan operasi dan dua premis dikenakan syor tindakan mahkamah,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata secara keseluruhan sebanyak tujuh premis ditahan operasi setakat ini dengan 73 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun efluen perindustrian dan 11 notis arahan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada lagi kilang kimia di Pasir Gudang pada masa hadapan

JOHOR BAHRU, 1 JUL: Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baharu di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan yang lebih lestari di kawasan terbabit.

Semasa menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata perancangan itu telah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.

“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan, kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang-kilang kimia, tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall bersama pihak-pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.

“Melihat kepada perkara itu, kita hari ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah-langkah segera yang boleh diambil dan langkah-langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat.

“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat mengambil bacaan secara berterusan dan cikgu akan diajar untuk menggunakannya.

“Kita juga akan kita memastikan Jabatan Alam Sekitar membuatkannya mandatori untuk kilang-kilang membekalkan pengesan gas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Yeo juga akan membentangkan kertas kabinet mengenai pemasangan sistem pemantauan bahan cemar automatik di Pasir Gudang, Jumaat ini bagi mendapatkan peruntukan.

“Bermaksud, selepas ini di Pasir Gudang, kita akan ada stesen sistem ini, di mana ia akan baca bacaan bahan cemar, bukan kualiti udara. Ini lebih spesifik dan rakyat Pasir Gudang boleh memeriksa secara dalam talian tahap bacaan itu,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, pihak industri juga telah diminta untuk memberikan data-data berkaitan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian melaksanakan analisis ‘loading capacity’ terhadap kawasan industri Pasir Gudang.

“Analisis loading capacity ini akan mengambil masa empat hingga enam minggu, selepas itu kita mungkin akan adakan syarat-syarat lebih ketat daripada apa yang sedia ada sekarang untuk industri di Pasir Gudang,” katanya.

Analisis itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah data bebanan sisa yang telah dilepaskan pihak industri ke udara, sungai dan sebagainya.

Ditanya mengenai jumlah kilang yang ditutup operasinya sejak insiden sesak nafas Khamis lepas, Yeo berkata setakat ini, tiga kilang telah ditutup.

Di samping itu, lebih daripada 100 pemeriksaan telah dilaksanakan terhadap kilang-kilang di Pasir Gudang sejak peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac.

Mengenai bilangan mangsa terbaharu dalam insiden sesak nafas pula, Yeo berkata hari ini, empat pelajar dari empat buah sekolah telah dirujuk ke hospital setelah didapati mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pening namun tiada yang masuk wad. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gangguan kesihatan: Tidak perlu kepakaran luar

JOHOR BAHRU, 1 JUL: Kerajaan tidak memerlukan kepakaran luar buat masa ini bagi membantu mengenal pasti punca gangguan kesihatan yang membelenggu pelajar sekolah di Pasir Gudang sejak Khamis lepas.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata sejak hari pertama kejadian, lebih 100 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi berkaitan bertungkus lumus mencari punca kejadian.

“Tidak buat masa ini,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yeo berkata demikian bagi mengulas laporan berita mengenai cadangan supaya kerajaan mendapatkan bantuan asing yang dilaporkan mempunyai kepakaran atau teknologi yang lebih moden bagi membantu mengesan punca gangguan kesihatan di kawasan itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Datuk Yahaya Madis, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abdul Aziz dan Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Yeo berkata pihaknya akan bertemu dengan wakil industri di kawasan Pasir Gudang petang ini bagi membincangkan perancangan masa depan kawasan itu supaya lebih mampan dan boleh diduduki.

Perbincangan itu, katanya dilihat penting memandangkan kawasan Pasir Gudang merupakan kawasan industri.

“Saya akan berjumpa dengan mereka petang ini. Pihak swasta kena bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan perkembangan kawasan Pasir Gudang mampan. Kita akan membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil,” katanya.

Menurut Yeo, pihaknya belum mengenal pasti punca kejadian gangguan kesihatan memandangkan ia berbeza dengan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas.

Beliau berkata mengambil contoh kejadian semalam, hanya 10 daripada 273 orang yang terjejas dirujuk ke Hospital Sultan Ismail dan apabila diteliti, lokasi pelajar jauh antara satu sama lain.

“Itu sebabnya punca tidak dapat dikenal pasti… tiada hubung kait geogafi di sini. Ini sama kes seperti 20 Jun (hari pertama kejadian). Ini tidak sama dengan pencemaran Sungai Kim Kim,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengumpul data terutama bacaan di 85 buah sekolah hari ini selain tujuh sampel darah dan air kencing yang diambil daripada mangsa yang terlibat semalam. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Yeo: Pembangunan Pasir Gudang tidak lestari

PUTRAJAYA, 28 JUN: Pembangunan di Pasir Gudang, Johor yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, pembangunan yang tidak lestari itu juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, yang mendedahkan penduduknya kepada risiko bencana kimia.

Terdapat 2,005 kilang berlesen di Pasir Gudang dengan 250 daripadanya kilang berasaskan bahan kimia, katanya pada sidang media mengenai perkembangan insiden pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad turut serta dalam sidang media itu.

Yeo berkata, kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di daerah itu menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran sekali gus menyebabkan persekitaran menjadi tidak stabil dan amat sensitif,” katanya.

Mengenai ketiadaan zon penampan, Yeo berkata semasa pembinaan kilang-kilang tersebut diluluskan, faktor zon penampan tidak diambil kira menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang-kilang tersebut dengan ada antaranya berada dalam jarak 300 meter.

Untuk itu, katanya kementerian akan mengambil langkah segera termasuk mengadakan analisis loading capacity dan zon penampan bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia.

Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan penempatan semula kilang-kilang kimia tersebut bagi mewujudkan zon penampan, Yeo berkata perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Johor.

“Menteri Besar Johor (Datuk Dr Sahruddin Jamal) sangat komited untuk memastikan perancangan Pasir Gudang akan menjadi lebih lestari daripada apa yang kita lihat hari ini,” katanya.

Yeo berkata kementerian juga akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia yang lebih cekap dan pantas.

Yeo berkata Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama yang mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik di negara ini bagi membantu pihak berkuasa untuk bertindak lebih proaktif.

“Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan,” katanya.

Yeo berkata kementerian juga akan mewujudkan sistem untuk menentukan ‘carrying capacity’ udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah Air Dispersion Modelling seperti mana yang diamalkan di negara-negara maju.

Beliau berkata cadangan-cadangan tersebut disasarkan untuk dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Yeo berkata kementerian juga akan mengadakan satu sesi townhall bersama pihak industri bahan kimia di Pasir Gudang Isnin ini.

“Kami akan membincangkan mengenai apakah langkah berjaga-jaga yang boleh kita ambil untuk mengelak insiden ini dan bagaimana kita memantaunya dengan lebih holistik.

“Justeru, pihak industri kimia di Pasir Gudang perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan awam diutamakan,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kawasan-kawasan industri lain di negara ini yang juga berisiko seperti di Pasir Gudang, Yeo berkata kejadian penduduk sesak nafas di daerah itu adalah satu ‘wake up call’ kepada kerajaan untuk memberi perhatian kepada kawasan-kawasan industri.

Bagaimanapun, katanya pembangunan industri kimia di Pasir Gudang jauh lebih pesat berbanding kawasan lain dan pernah terdapat sejarah pencemaran udara di daerah itu yang tidak mendapat liputan meluas media. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan kaji keperluan wujud Akta Perubahan Iklim

PUTRAJAYA, 17 MEI: Kerajaan akan memulakan kajian skop untuk menilai sama ada terdapat keperluan untuk mewujudkan Akta Perubahan Iklim di negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata kajian itu akan dijalankan dengan kerjasama antara Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) dan kerajaan United Kingdom (UK) dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Katanya sebaik kerjasama itu dimeterai, usaha pertama kajian skop dilakukan untuk memastikan sama ada terdapat keperluan untuk negara mempunyai akta yang sama seperti di UK atau sebaliknya.

“Menjelang Januari 2020, kita secara kasar akan mengetahui hasil fasa pertama kajian skop itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran surat kerjasama antara GreenTech Malaysia dan Pejabat Kementerian Luar dan Komanwel United Kingdom, di sini semalam.

Majlis itu diadakan sempena kunjungan hormat ke atas Yeo oleh wakil khas kerajaan UK bagi Perubahan Iklim, Nick Bridge.

Yeo berkata seandainya akta itu dilaksanakan, impak utama adalah untuk menjadikan tindakan yang diambil untuk perubahan iklim sebagai amalan merentasi sektor perniagaan dan swasta.

Beliau berkata program kerjasama empat tahun itu akan memberi manfaat kepada negara dalam menangani inisiatif perubahan iklim yang kritikal termasuk rangka kerja institusi serta pembinaan keupayaan melalui perkongsian kemahiran dan bantuan teknikal.

“Ia juga membolehkan Malaysia mengkaji dan menyesuaikan program Kalkulator Karbon Laluan UK 2050 dalam konteks negara ini,“ katanya.

Sementara itu, Bridge berkata, negaranya baru sahaja menyambut ulang tahun ke-10 pembentukan Akta Perubahan Iklim 2008 yang merupakan undang-undang yang sangat popular dan berkesan di negara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap negara mempunyai rangka perundangan tersendiri yang bergantung kepada keadaan setempat.

Belaiu berkata kerajaan UK telah menetapkan sasaran jangka panjang bagi menyahkarbon ekonominya dan mengambil tanggungjawab untuk mencapai purata jejak karbon global bagi setiap rakyat negaranya.

“Kami mempunyai bajet untuk program karbon. Jadi setiap lima tahun, kami wajib mengurangkan jejak karbon supaya dapat mencapai matlamat menyahkarbon,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

RM24 juta dana R&D untuk penyelidikan industri tahun ini

PUTRAJAYA, 4 MEI: Sejumlah RM24 juta dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) diperuntukkan khas untuk penyelidikan industri bagi tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, ia adalah langkah pertama kali kementerian itu di mana dana berkenaan melibatkan lebih 50 peratus daripada dana R&D yang diperuntukkan bagi tujuan berkenaan berbanding hanya 8.6 peratus sebelum ini.

“Ia satu daripada 23 inisiatif MESTECC bagi sektor sains dan teknologi.

“Jika kita lihat negara lain seperti Singapura peruntukan dana untuk penyelidikan industrinya ialah 48 peratus manakala Jepun 78 peratus, dan buat pertama kali tahun ini bermula di MESTECC kita peruntukan sejumlah lebih 50 peratus untuk penyelidikan industri,” katanya kepada pemberita dalam satu temubual khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini.

Yeo berkata, antara objektif peruntukan itu adalah mewujudkan ekosistem yang diaplikasikan dalam industri dan ekonomi supaya sektor tersebut boleh mencipta kekayaan untuk Malaysia melalui sains dan teknologi di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

Selain inisiatif itu, MESTECC sedang membawa Pusat Sains Negara versi mobil kepada sekolah-sekolah di luar bandar.

Katanya, inisiatif di bawah Minggu Sains Negara itu akan membolehkan pelajar luar bandar dan desa mengenali sains dengan lebih dekat.

“Mobile Science Centre ini, yang akan bermula Julai ini, bergerak ke sekolah-sekolah di luar bandar kerana selama ini hanya pelajar bandar sahaja mampu berkunjung ke Pusat Sains Negara. Kita sasarkan program ini akan memanfaatkan 600,000 murid luar bandar,” katanya.

Selain itu, beliau menambah MESTECC kini menyediakan fasiliti perkongsian kemudahan dan peralatan 1,200 peralatan saintifik kepada sektor industri.

Inisiatif di bawah Fasiliti Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Nasional (NSFE) itu diwujudkan buat pertama kalinya dalam usaha merancakkan lagi kerjasama R&D.

Ia juga bagi meningkatkan sumbangan perbelanjaan sektor industri dalam R&D mencapai 70 peratus.

“Inisiatif ini dapat membantu komuniti sains, teknologi dan inovasi (STI) melaksanakan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkormesialan (R&D&C) pada kos efektif melalui sewaan atau perkhidmatan analisis berkaitan tanpa perlu membuat pembelian peralatan yang mahal.

“Pihak industri juga berpeluang memperoleh khidmat nasihat pakar dalam bidang sains dan teknologi melalui kerjasama perkongsian kemudahan dan peralatan saintifik ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA