Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima syarikat rintis menang keseluruhan RM50,000, terima peluang pelaburan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak lima syarikat tunas rintis terbaik berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) kohort keempat semalam.

Syarikat eMLab, GFI Fintech, NexMind AI, Boss Boleh dan Farmy turut menerima Huawei Freebuds Pro serta peluang pelaburan dengan rakan strategik SAP meliputi RHL Ventures, AgroBank serta The Hive South East Asia.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata juri sukar menentukan syarikat layak berikutan 30 yang terpilih sangat kompetitif serta mahir dalam bidang masing-masing.

“Saya berharap semua syarikat tunas rintis terpilih akan memanfaatkan ilmu dan nasihat yang diberikan kepada mereka sepanjang program tiga bulan ini.

“Saya gembira melihat lebih banyak syarikat mengambil peluang mempamerkan idea dan penyelesaian mereka untuk diangkat agensi berkaitan,” kata Yong Kai Ping ketika berucap pada hari demo dan penganugerahan tersebut.

Acara kemuncak selepas tiga bulan latihan, bimbingan dan pembelajaran untuk 30 peserta SAP 2021 disempurnakan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Hari demo dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang program berlangsung.

Kai Ping turut berterima kasih kepada Affin Bank atas komitmen menyokong perusahaan kecil dan sederhana, syarikat tunas rintis serta inisiatif inovatif Sidec dalam menonjolkan Selangor sebagai hab digital Asia Tenggara.

SAP 2021 menerima 165 penyertaan berbanding 110 tahun lalu terdiri daripada pelbagai industri dengan memfokuskan lima tonggak utama iaitu teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Sidec: 90 syarikat berjaya bangun produk, tingkat aspek pengurusan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 90 syarikat pemula berjaya dipupuk menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) sejak diperkenalkan pada 2018.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata pihaknya bukan sahaja menberi tumpuan menggilap syarikat tersebut dari aspek pembangunan produk tetapi juga pengurusan.

“Sebagai contoh syarikat berasaskan teknologi pertanian akan ditempatkan di agensi berkaitan untuk membantu melakukan ujian selanjutnya dan sekali gus memberi peluang sama ada produk diterima agensi dalam operasi mereka,” kata Yong Kai Ping.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini yang dirasmikan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, daripada 90 syarikat tersebut, 43 peratus daripadanya telah menerima dana menerusi program berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 30 syarikat pemula dipilih menyertai SAP 2021 yang terdiri daripada perniagaan berkaitan teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

Program ini dinilai panel hakim iaitu 70 peratus skor penilaian untuk peserta manakala 30 peratus lagi merangkumi prestasi dan kehadiran mereka sepanjang program berlangsung.

Lima syarikat terbaik berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan beberapa faedah tambahan lain.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sistem e-dagang tingkat jualan Pinkboxcereal.com 10 kali ganda

SHAH ALAM, 22 DIS: Pinkboxcereal.com terus melangkah maju dengan jualan mencecah 10 kali ganda sejak menceburi perniagaan e-dagang.

Pengasasnya berkata urus niaga menggunakan sistem tersebut dipelopori syarikatnya pada 2018 dengan peningkatan jualan diperoleh dalam tempoh empat bulan pertama.

“Sebelum kenali sistem e-dagang saya hanya berniaga secara fizikal pada 2017, dengan modal serendah RM500 dan dibantu suami, saya berusaha mencari pembekal kotak untuk jenamakan “Emergency Beauty Kit”.

“Alhamdulillah lama kelamaan sambutan diterima amat memberangsangkan selepas melebarkan perniagaan secara dalam talian,” kata Nurul Shafiqah Shafie pada program bual bicara Selangor Pacu e-Dagang, Terajui Ekonomi anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Turut bersama, Ketua Eksekutif Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec), Yong Kai Ping.

Nurul Shafiqah berkata beliau memuji inisiatif disediakan Kerajaan Selangor terutama program anjuran Sitec yang banyak membantu usahawan dalam selok belok perniagaan.

“Saya galakkan lebih ramai orang mengambil peluang ini terutama ketika dunia dilanda Covid-19. Mulakan berniaga secara kecil-kecilan dan usaha selongkar landasan disediakan,” katanya yang menjual produk kecantikan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sitec lahir 650 usahawan e-dagang, mahu perluas ke luar bandar

SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melahirkan 650 peniaga melalui platform itu sejak 2015.

Ketua Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata agensi itu turut membantu seramai 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam landasan digital ekonomi.

“Sitec menggalakkan lebih ramai peniaga menceburi e-dagang ketika dunia dilanda Covid-19 dan akan memperluas program ini ke kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya pada program bual bicara anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Jelas Kai Ping, Sitec menyasar untuk membantu 100 lagi usahawan e-dagang tahun depan dan 30 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform itu.

Katanya, agensi berkenaan turut mengadakan anugerah peniaga e-dagang bagi usahawan yang memiliki kualiti perkhidmatan, kreatif dan inovasi.

“Peniaga perlu bijak mempromosi produk mereka supaya 80 peratus pelanggan ulang beli sementara 20 peratus lagi mendapatkan pelanggan baharu,” kata Kai Ping lagi.

Sejak ditubuhkan, Sitec menganjurkan hampir 100 program bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital sesuai perkembangan masa kini.