Categories
NASIONAL

Rakyat Disarankan Hayati Karya Kartun Zunar

SHAH ALAM, 1 SEPT : Rakyat Malaysia khususnya di Selangor disarankan untuk menghayati karya kartunis terkenal, Zulkiflee Anuar Ulhaq atau Zunar dengan lebih dekat menerusi pameran solonya di Galeri Shah Alam bagi memahami keadaan politik semasa.

Demikian saranan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa menghadiri majlis perasmian Pameran Solo Kartunis Zunar di sini pagi tadi.

Menurut Abdul Khalid, pameran ini perlu dikunjungi masyarakat seluruh Malaysia untuk merasakan jiwa kartunis dari aspek intepretasi mereka berhubung politik negara dan pendedahan penyelewengan yang perlu dibetulkan.

Katanya, Zunar merupakan antara kartunis yang konsisten serta komited dalam usahanya menyalurkan mesej kepada masyarakat secara sinis mengenai perubahan yang perlu dibuat.

“Walaupun Malaysia tidak memberi pengiktirafan kepada Zunar tetapi dunia luar telah begitu banyak beri pengiktirafan kepadanya. Beliau memenangi anugerah dunia melalui peranan kartunis di Washington yang mana mengiktiraf beliau sebagai pemangkin perubahan mesyarakat.

“Saya berharap semua masyarakat mengambil kesempatan ini untuk melihat pameran yang ditunjukkan. Selain itu, kita juga berharap usaha ini akan dilakukan secara berterusan sebagai pembuka jalan kepada rakan-rakan kartunis lain untuk meneruskan perjuangan seni bagi membawa perubahan kepada masyarakat,” katanya.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” bertempat di Galeri 1, Galeri Shah Alam itu dijadualkan berlangsung bermula 1 hingga 9 September depan.

Pameran itu julung kali diadakan Zunar di tanah air setelah membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan London bertemakan “Berjuang Melalui Kartun.”

Sebanyak 147 buah karya dipamerkan di mana kesemuanya berkisarkan senario politik Malaysia yang dihasilkan dari tahun 1999 sehingga kini.

Pameran yang merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini dibuka setiap hari kepada orang ramai dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan beliau telah menemui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri lazimnya mengadakan pertemuan bersama Tuanku Sultan dari semasa ke semasa antara lainnya bagi membincangkan mengenai pentadbiran negeri.

Categories
NASIONAL

Pameran Peluang Zunar Berinteraksi Lebih Dekat Dengan Peminat

SHAH ALAM 28 OGOS : Pameran solo kartunis Zunar yang akan diadakan di Galeri Shah Alam bulan depan memberi peluang kepada peminat melihat karyanya dengan lebih dekat.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaq berkata sebelum ini, beliau banyak menghadapi kekangan dalam menghasilkan karya.

“Kebanyakkan masalah yang dihadapi ialah cara untuk berinteraktif dengan peminat. Ada buku yang dirampas, pencetak buku diugut malah buku juga diharamkan.

“Oleh kerana banyak larangan dan masalah yang berlaku jadi tiada peluang untuk peminat melihat dan terbatas untuk memiliki karya saya,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, persediaan untuk mengadakan pameran yang akan bermula pada 1 September hingga 9 September depan memerlukan persediaan rapi dan teliti.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” akan bertempat di ruang pameran 1, Galeri Shah Alam dan ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Zunar menambah pameran kali ini menampilkan perbezaan berbanding pamerannya di London, Februari lalu.

“Pameran ini lebih kepada diri saya sendiri. Ia lebih menyeluruh berbanding di London yang hanya menekankan isu kebebasan bersuara,” katanya.

Katanya, sebanyak 150 buah karya ditampilkan yang menyentuh senario politik tanah air bermula dari 1999 hingga kini.

Ia berkisar mengenai isu National Feedlot Corporation (NFC), BERSIH, pemberian IC dan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu.

“Ini adalah pameran pertama saya di tanahair. Sebelum ini saya tidak diberi peluang untuk membuat pameran sebegini walaupun sudah mencuba beberapa kali.

“Dengan pameran ini, diharapkan peminat dan orang ramai akan dapat melihat lukisan saya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memberi peluang yang terbaik untuk saya,” katanya.

Zunar memberitahu beliau kini dalam perancangan untuk mengadakan pameran solonya di Pulau Pinang dan negeri Pakatan Rakyat yang lain selepas ini.

Pameran ini terbuka kepada setiap hari kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.