Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan kejar jawatan demi kepentingan peribadi-Zuraida

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menggesa mana-mana pemimpin parti supaya tidak mengejar jawatan demi kepentingan peribadi, sebaliknya fokus melaksanakan tugas masing-masing dalam tempoh ditetapkan.

“Saya percaya anggota Pakatan Harapan (PAKATAN) matang dan boleh fikir sama ada mahu utamakan kemajuan negara, individu atau parti.

“Sebolehnya jangan fikir kepentingan individu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Little River Festival 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti berhubung peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.

Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatannya.

Katanya, hal itu kerana kerana sebarang peralihan kuasa tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Saya berpendapat untuk kepentingan negara dan bangsa, biarlah beliau (Dr Mahathir) di sana sehingga habis penggal, dan saya menyambut baik serta berdoa Tun Mahathir dipanjangkan umur.

“Perkara itu boleh dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat PAKATAN akan datang, namun ia memerlukan kematangan semua anggota,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemaju perlu pastikan pihak berkaitan miliki REN diperakui

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Pemegang kepentingan termasuk pemaju perlu memastikan mereka yang terlibat dalam pemasaran projek hartanah, diperakui dan memiliki tag pengenalan Perunding Hartanah (REN), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Zuraida, beliau dimaklumkan bahawa amalan hartanah memerlukan REN diperakui dan diberikan tag yang dilampirkan dengan syarikat hartanah.

“Saya dapati banyak ejen yang memasarkan projek untuk pemaju, sebagai contoh di kompleks beli-belah dan di tempat lain, tidak mempunyai tag … ini dianggap sebagai pelanggaran undang-undang.

“Ini kerana hanya mereka yang mempunyai tag yang disahkan undang-undang dan mereka mempunyai keupayaan undang-undang untuk mewakili pemaju,” kata Zuraida dalam ucapan pada Malam Gala dan Anugerah Hartanah Nasional ke-11 di sini, malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah kementerian berkenaan, Dr Alauddin Sidal.

Zuraida berkata, ​orang ramai perlu mendapat khidmat daripada ejen-ejen yang diperakui dengan meminta tag untuk membantu mereka menjual atau memperoleh harta supaya tidak ditipu oleh broker haram.

Pada majlis itu, Presiden Institut Ejen Harta Presiden Malaysia, N Thinahara Kumar menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Richiprop manakala Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik diangerahkan kepada S Sarkunan dari Knight Frank Malaysia Sdn Bhd. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT lulus RM1 juta konsultasi bina pasar Pasir Pinji baharu

IPOH, 17 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM1 juta bagi tujuan konsultasi oleh pihak berkaitan untuk pembinaan pasar Pasir Pinji yang baharu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, melihat kepada keadaan pasar sedia ada yang uzur, kementeriannya akan berusaha menjayakan projek pembinaan semula pasar baharu untuk penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya boleh lihat keadaan pasar ini yang sangat lama jadi saya rasa ia patut dinaik taraf, jadi kita akan keluarkan segera RM1 juta ringgit dahulu untuk konsultasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar Pasir Pinji, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan kos RM11 juta bagi pembinaan pasar baharu itu akan diberikan secara berperingkat.

“Yang mereka anggarkan adalah RM11 juta tapi kita buat kerja awal untuk perundingan dahulu kemudian kita cuba mengurangkan kos mana yang boleh dan mungkin akan dilepaskan secara berperingkat.

“Saya juga meminta supaya pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dapat bekerjasama menyumbang bagi menjayakan pembiaan semula pasar ini,” katanya.

Mengikut cadangan, pasar baharu berkeluasan 3,000 meter persegi itu turut dilengkapi parkir bawah tanah serta gerai jualan yang lebih tersusun.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How menjalankan pengundian orang ramai untuk membina pasar baharu.

Hasilnya, 94 peratus daripada 1,715 penduduk di kawasan itu mengundi bersetuju untuk membina pasar baharu di kawasan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

62 penghulu dilantik bantu selia pembangunan kampung baru Cina

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Seramai 62 Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) yang berperanan sebagai penghulu telah dilantik bagi menguruskan hal ehwal berkaitan pembangunan dan kebajikan kampung baru Cina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun jawatan PKP adalah lantikan politik, namun mereka adalah penjawat awam secara ‘contract of service’ dan perlu patuh kepada pekeliling dan dasar kerajaan.

“Dalam bahasa mudahnya mereka ini dipanggil penghulu Cina yang akan ditugaskan untuk setiap seorang menjaga tujuh hingga 10 kampung Cina dengan diberikan peruntukan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita juga menggariskan untuk mereka melaksanakan program yang berfokuskan kepada membudayakan ekonomi komuniti yang melibatkan anak muda selain program penjagaan kebersihan dan kelestarian kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perjumpaan Menteri Bersama PKP, di sini semalam.

Dalam sidang media kemudiannya, Zuraida berkata, kesemua mereka akan mengikuti kursus dua hari di pusat latihan kementerian itu di Bukit Tinggi, Pahang bagi diberi taklimat mengenai hal ehwal pengurusan dan pentadbiran.

Beliau berkata, antara perkara yang ditetapkan kementerian dalam pelantikan PKP ialah mewajibkan sebanyak 30 peratus terdiri daripada wanita, punya kelayakan akademik serta boleh berbahasa Melayu.

Antara pelantikan teramai PKP ialah di Perak (14), Johor (10), Pahang (9) dan Kedah (6) orang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pusat Aduan Menteri KPKT pertama di Malaysia di Bagan Ajam

BUTTERWORTH, 13 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuka sebuah Pusat Aduan Menteri KPKT yang pertama di Malaysia di Pulau Pinang bagi membantu orang ramai yang mahu membuat aduan atau mendapatkan maklumat berhubung kementerian itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, Pusat Aduan Menteri KPKT yang dibuka di Taman Intan, Bagan Ajam di sini itu bukan hanya untuk penduduk di negeri ini sebaliknya kepada orang ramai di wilayah utara seperti Kedah dan Perlis.

“Pusat aduan itu juga akan menjadi antara saluran kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan prosedur dalam isu perumahan ,kerajaan tempatan, pengurusan sisa pepejal dan bomba.

“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lain dan memberi cadangan berkaitan kerajaan di pusat aduan yang dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 5.00 petang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aduan Menteri KPKT di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan setiap aduan yang diterima, harus ditangani dengan baik bagi membolehkan semua permasalahan itu diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Zuraida berkata pusat aduan itu akan dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu penggerak dasar komuniti negara dan buat permulaan dibantu oleh pegawai KPKT bagi melancarkan operasi pusat itu.

Pihaknya juga merancang untuk membuka beberapa buah lagi pusat aduan itu di wilayah Selatan, Pantai Timur, Tengah serta Sabah dan Sarawak pada masa hadapan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan KPKT serta kerajaan.

“Ketika ini, kita ada 50 Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) penggerak komuniti negara di seluruh Malaysia dan saya percaya mereka dapat membantu kerajaan untuk melancarkan operasi pusat aduan itu di wilayah lain. Hari ini pun ada wakil NGO itu hadir untuk melihat pelancaran serta bagaimana pusat berkenaan beroperasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata, bukan mudah untuk Kerajaan Persekutuan menghapuskan Akta Hasutan namun kerajaan ketika ini dalam proses untuk menghapuskannya seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Dalam Akta Hasutan itu sendiri ada beberapa akta lain lagi jadi ia perlu dikaji secara teliti dan kerajaan sekarang ini dalam proses untuk menghapuskannya namun perlu dibuat secara lebih terperinci kerana ia membabitkan undang-undang. Proses ini memang akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung desakan orang ramai yang mahukan Akta Hasutan dihapuskan segera selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laporan hala tuju PR1MA siap Ogos – Zuraida

PORT DICKSON, 4 JUL: Laporan tindakan hala tuju Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan siap selewatnya bulan hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata untuk tujuan itu, satu pemukiman (retreat) dalam kalangan anggota perbadanan yang diketuai Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi diadakan selama tiga hari bermula hari ini, yang akan membincangkan projek yang perlu diberikan tumpuan, selain memberi cadangan mengenai penyelesaian perumahan PR1MA.

“Mereka anggota perbadanan PR1MA telah menjalankan tugas hampir setahun mengkaji dan meneliti kesemua projek PR1MA yang berjumlah 94 projek untuk dikategorikan projek-projek ini mengikut keutamaan iaitu kurang risiko kepada berisiko tinggi.

“Jadi sudah tentu kita akan selesaikan isu-isu projek dengan risiko rendah, yang mana akan mendapat pulangan kepada kita dan kita boleh tampung projek-projek berisiko tinggi. Ini hala tuju mereka cadangkan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi dialog bersama warga PR1MA yang turut dihadiri Chen dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Mohd Nazri Md Shariff.

Zuraida berkata, 94 projek berkenaan meliputi 94,000 unit kediaman di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata PR1MA tidak akan dibubarkan dan akan terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, PR1MA juga menerima sebanyak 14,000 tempahan daripada masyarakat selepas Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan penjualan perumahan PR1MA yang sebelum ini tidak terjual.

Beliau berkata, semasa Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kementerian memberi tempoh selama dua tahun kepada PR1MA, untuk menyelesaikan isu perumahan yang dihadapinya.

“Sewaktu kita (Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan, rumah yang tidak terjual ketika itu ialah sebanyak 38,000 dan sekarang kita ada 14,000 tempahan.

“Selepas tempoh setahun, PR1MA berjaya menyelesaikan 50 peratus masalah yang dihadapi dan saya yakin baki 50 peratus lagi akan boleh diselesaikan,” katanya.

Sejak ditubuhkan sehingga Jun lepas, sebanyak 12,999 unit perumahan PR1MA telah siap dibina.

PR1MA kata Zuraida terdedah kepada liabiliti sebanyak RM23 bilion dan telah berkurangan kepada RM12 bilion kini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas selaras pihak terlibat di Pasir Gudang

BERA, 3 JUL: Sebuah jawatankuasa khas bagi menyelaraskan pihak yang terlibat dalam isu pencemaran di Pasir Gudang di Johor akan dibentuk, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal pada perbincangan mereka semalam, dan akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri Johor.

“Jawatankuasa ini akan menyelaras semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan juga Pejabat Tanah kerana mereka boleh merampas semula tanah jika pemilik premis itu menyewa.

“Jawatankuasa khas ini akan bertugas selama enam bulan bagi memastikan insiden pencemaran ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.

Zuraida juga memberi jaminan akan mengetengahkan dakwaan seorang bapa bahawa anaknya menghidap penyakit myo kimia disebabkan pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang kepada pihak terlibat termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Dakwaan bapa pelajar itu tular di laman sosial sejak semalam, dan dia mendakwa anaknya yang berusia 12 tahun tidak dapat berdiri dengan stabil dan dilihat mengigil selain perlu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan dia berhasrat menyaman pihak berkuasa dalam isu tersebut.

Pada perkembangan lain, Zuraida berkata KPKT berharap lebih banyak NGO berminat untuk menyertai Penggerak Dasar Komuniti bagi mencapai sasaran kewujudannya di semua Parlimen menjelang 2020.

Katanya, setakat ini terdapat 70 NGO yang melibatkan diri dengan empat daripadanya di Pahang.

“Penubuhan pasukan ini di kawasan memudahkan jalinan program dilaksanakan dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba atau pihak lain kerana diberi latihan dan taklimat bagaimana mahu melaksanakan mesyuarat penyelarasan.

“Selain itu, kita juga berharap mereka ini boleh menjadi jurucakap yang menerangkan dasar kerajaan kepada setiap golongan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masyarakat perlu hargai jasa bomba

REMBAU, 3 JULAI: Masyarakat perlu menghormati jasa anggota bomba yang sentiasa bersedia membantu dalam apa jua keadaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, peranan yang dimainkan pasukan itu amat penting dalam kehidupan masyarakat dan negara malah tindakan menghina anggota beruniform berkenaan tidak seharusnya berlaku.

“Saya berharap kita semua hormatilah anggota bomba dan jangan kita aniaya dan hina mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis Aidilfitri anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT Nazri Yunos.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata ucapannya itu adalah merujuk kepada tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng mural potret angota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, baru-baru ini.

Pada masa sama, Zuraida dalam ucapannya juga berharap pertubuhan itu terus agresif memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai Dasar Komuniti Negara.

Katanya beliau tidak mahu rakyat mendapat maklumat yang salah selain mahu semua masyarakat mendukung dasar yang digubal kerajaan demi kebaikan bersama dan kemajuan negara.

“Sekiranya ada maklumat yang tidak betul, kita kena hentikan segera dan jangan pula kita sebar dan sambung,” katanya.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 400 penduduk setempat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida: Pembersihan Sungai Kim Kim selesai sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUN: Proses pembersihan sepenuhnya telah dilakukan di kawasan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang sebelum ini tercemar akibat pembuangan sisa kimia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu dan ia telah diselesaikan.

Katanya, berikutan maklumat terkini yang baharu diterima itu beliau ingin membetulkan beberapa fakta daripada kenyataan awal kepada media sebelumnya.

“Adalah dimaklumkan bahawa kawasan terbabit telah dibersihkan sepenuhnya dan sisa berbahaya yang terkumpul telah dibawa ke Pusat Pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan awal seperti dilaporkan Bernama, Zuraida berkata, kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas Khamis lepas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Tiada keperluan tubuh RCI kes Muhammad Adib

PUTRAJAYA, 24 JUN: Tiada keperluan buat masa ini untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana inkues berhubung kes kematian Muhammad Adib, yang bermula sejak Februari lalu, sedang berjalan dengan baik.

“Saya rasa tidak perlu RCI buat ketika ini kerana prosiding kes berjalan dengan baik dan kita tunggu keputusan koroner,” katanya ketika mengulas desakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam agar kerajaan menubuhkan segera RCI dengan alasan inkues yang sedang berjalan sekarang diragui ketelusannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat jabatan itu, di sini hari ini.

Mengenai pelantikan peguam baharu mewakili kementerian itu dan JBPM dalam inkues Muhammad Adib, katanya, beliau akan menyemak dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, bagi mengetahui nama yang dicadangkan.

Pada 27 Mei lalu, peguam Syazlin Mansor, yang mewakili keluarga Muhammad Adib, kementerian dan JBPM menarik diri daripada inkues itu tetapi pada 12 Jun lalu, beliau ​​​​​​​mengumumkan untuk kembali mewakili keluarga Muhammad Adib. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bahan pencemaran tidak dibersih sepenuhnya punca kes Pasir Gudang berulang

PUTRAJAYA, 24 JUN: Kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas Khamis lepas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahan kimia daripada sisa toksik yang diserahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada kontraktor pembersihan itu masih terbiar dan tidak dihapuskan sepenuhnya.

“Kita dapati bahan pencemaran yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim (awal Mac lepas) yang telah diberikan kepada kontraktor untuk dibersihkan masih belum dihapuskan seratus peratus, masih terbiar di Pasir Gudang.

“Oleh kerana belum dihapuskan sepenuhnya, bahan yang terbiar di satu lokasi di Pasir Gudang itu telah dibawa oleh angin dan hujan, sekaligus menjadikan ia kembali merebak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama warga JBPM sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Menurut laporan, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang melibatkan 20,108 pelajar ditutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Zuraida berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai hal itu kepada Jabatan Alam Sekitar dalam usaha memastikan kerja-kerja membersih dan menghapuskan bahan tersebut dijalankan secepat mungkin.

Kerajaan negeri Johor juga telah dimaklumkan mengenai pelupusan bahan kimia itu untuk memastikan sisa pencemaran dilupuskan dengan sempurna, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata siasatan pihaknya mendapati kualiti udara di kawasan tersebut masih berada pada tahap rendah meskipun berada jauh dari Sungai Kim Kim.

Beliau berkata bomba akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk menangani situasi itu selain memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut kepada khalayak umum. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Elaun kritikal bomba, KPKT tunggu kata putus PM

JASIN, 22 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menunggu kata putus daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seperti diberikan kepada anggota tentera dan polis.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata beliau akan membawa semula permintaan itu kepada Perdana Menteri.

“Saya yakin ia dapat dilaksanakan namun memerlukan sedikit masa. Saya berharap anggota bomba seluruh negara dapat bersabar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Perdana Aidilfitri anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari.

Majlis itu turut dihadiri anggota Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Melaka Ginie Lim Siew Lin dan Pengarah JBPM Negeri Mohammad Zin Salleh.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pemberian elaun kritikal itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 anggota bomba dan penyelamat di seluruh negara. – BERNAMA