Categories
NASIONAL

Zuraida: Tiada siapa nasihat untuk rujuk Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak menerima apa-apa nasihat berkaitan pelantikan peguam untuk inkues berkaitan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Zuraida berkata apabila Syazlin Mansor menjalankan tugasnya, beliau tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak, dan menganggap pelantikan peguam itu adalah betul.

“Saya tidak dinasihatkan oleh mana-mana peguam jika saya hendak melantik, saya perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Jadi saya buat lantikan terus, sendiri. Disepanjang perjalanan inkues itu, tiada sesiapa yang membangkitkan isu tersebut… Saya ingat semua ok dan betul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Speedhome, satu platform yang menghubungkan pemilik bangunan secara terus, kepada penyewa dengan menyediakan perlindungan sewaan dan khidmat pembelian rumah, di sini hari ini.

Platform Speedhome yang tidak mengenakan deposit dan juga komisen itu, pada masa ini mempunyai data lebih 56,000 senarai hartanah dan 63,000 potensi senarai penyewa.

Sementara itu, Zuraida berkata seorang peguambela akan dilantik bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada inkues Muhammad Adib.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Peguam Negara Tommy Thomas berkata Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan, kerana beliau mewakili kementerian tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Muhammad Adib dalam inkues mengenai kematian anggota bomba itu.

Thomas juga berkata Syazlin mengambil kedudukan bercanggah sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang merupakan pegawai menjalankan prosiding, dan perkara itu memalukan beliau atas kapasitinya sebagai peguam mewakili kementerian. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa diwujud beri input kemudahan mesra OKU

PUTRAJAYA, 3 JUN: Satu jawatankuasa akan diwujudkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memberi input dan nasihat kepada kementerian dalam penyediaan kemudahan asas mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk projek perumahan dan bangunan awam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana penyediaan kemudahan dan infrastruktur untuk golongan OKU pada masa ini masih kurang.

Beliau berkata kemudahan dan infrastruktur untuk kegunaan golongan OKU bagi bangunan besar di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah memuaskan, bagaimanapun akses golongan itu kepada bangunan-bangunan kecil perlu dipertingkat.

“Justeru, perlu ada jawatankuasa dibentuk yang bertindak memberi input kepada KPKT untuk menjaga keperluan OKU dalam masa enam bulan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama beberapa wakil golongan OKU di pejabatnya di sini hari ini.

Zuraida berkata KPKT juga mahu golongan OKU memainkan peranan sebagai penasihat kepada PBT mengenai keperluan OKU dalam pembangunan fizikal negara secara menyeluruh.

Selain itu, katanya kerajaan Pakatan Harapan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap golongan OKU dengan membuka permohonan pembelian rumah dalam projek perumahan yang disediakan KPKT kepada mereka. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 anggota JPBM siap siaga sepanjang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 25 MEI: Sebanyak 10,000 daripada jumlah keseluruhan 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan digerakkan dan bersiap-siaga sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hanya lebih kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota JBPM dibenarkan bercuti pada Aidilfitri.

“JBPM memainkan peranan penting pada setiap kali sambutan Aidilfitri. Untuk tahun ini satu klip video dilancarkan bagi mendidik orang awam tentang cara-cara menyelamatkan diri dan memadamkan api ketika kebakaran,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 JBPM di sini, hari ini.

Sementara itu, JBPM dalam kenyataannya yang diedarkan pada majlis berkenaan berkata, seramai 170 anggota, 17 unit jentera bomba Fire Rescue Tender dan 17 unit jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) akan ditugaskan di 17 lokasi terpilih di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.

“Pegawai yang terlibat perlu berada di lokasi penempatan yang ditetapkan atau membuat rondaan di sepanjang lebuhraya,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT sasar setiap negeri miliki loji WTE menjelang 2020

KOTA KINABALU, 23 MEI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu loji ‘waste to energy’ (WTE) atau loji sisa kepada tenaga menjelang akhir 2020.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa sama kementerian juga akan meningkatkan program kitar semula yang mampu menjana pendapatan.

“Program penebusan memang banyak, kita kutip plastik, kertas, minyak dan sisa makanan yang mampu memberikan pendapatan kepada orang awam kerana setiap sampah yang dikutip akan diberikan mata ganjaran yang ditukarkan kepada bahan makanan dapur atau wang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Infaq Perdana Ramadan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di sini, malam tadi.

Mengenai program Penggerak Dasar Komuniti Negara, Zuraida berkata, NGO itu merupakan penggerak di peringkat akar umbi yang bertemu dengan komuniti untuk menyampaikan polisi-polisi kerajaan selain memperkasa golongan berpendapatan rendah (B40) dalam aspek ekonomi. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

DRMM: Penjawat awam masih boleh miliki rumah mampu milik

PUTRAJAYA, 15 MEI: Penjawat awam masih boleh memiliki rumah mampu milik walaupun tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam di bawah ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya menyasarkan 9,000 penjawat awam akan menerima rumah mampu milik tahun ini.

“Jadi tiada isu (kerajaan) tak buat rumah untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Beliau sebelum ini mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara SPK tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

Pada Isnin lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda dilaporkan meminta pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi DRMM Negara dikekalkan.

Zuraida berkata, beliau sedia mendengar pandangan Cuepacs berhubung isu rumah mampu milik untuk penjawat awam di bawah DRMM Negara itu.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini beliau belum dihubungi oleh Cuepacs untuk bertemu bagi membincangkan perkara itu.

Terdahulu, majlis yang diadakan sempena majlis berbuka puasa KPKT itu turut diselitkan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan program #QuranHour peringkat kementerian.

Zuraida berkata, ini adalah kali pertama KPKT mengadakan #QuranHour bagi menggalakkan warganya membaca kitab suci itu di bulan Ramadan bersempena pelancaran kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat kementerian itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT gubal polisi baharu projek rumah terbengkalai

GURUN, 13 MEI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menggubal polisi berkaitan projek perumahan terbengkalai bagi memperkemaskan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani isu itu pada masa hadapan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana beliau mendapati terdapat beberapa perkara dalam SOP itu kurang keberkesanannya dan mengambil masa panjang untuk menguruskan projek terbengkalai itu.

“Jadi saya tengah lihat penggubalan polisi baharu agar lebih efektif, praktikal dan mudah dilaksanakan,” katanya pada sidang media semasa Majlis Iftar Perdana dan sumbangan kepada fakir miskin di Masjid Batu 5, Taman Ria Mesra dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasrudin.

Zuraida berkata, setakat ini terdapat 354 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Beliau berkata, kebanyakan projek itu terbengkalai disebabkan pemaju tidak mampu meneruskan projek berkenaan kerana masalah kewangan.

“(Projek perumahan terbengkalai) ada satu tempoh, bila datang ke kementerian kita akan isytihar ia adalah projek perumahan terbengkalai. Kita akan cuba mencari kontraktor penyelamat dan berikan dana untuk meneruskan projek terbengkalai itu dalam situasi tertentu. (Selain itu) ada juga pihak swasta datang untuk jadi kontraktor penyelamat dan mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Dalam pada itu, katanya KPKT dalam usaha untuk menyeragamkan kawalan import sisa plastik melibatkan kesemua 26 jenis kod kerana ketika ini hanya sisa plastik kod HS 3915 ditetapkan bagi pemeriksaan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Zuraida berkata kementeriannya mengambil langkah membentuk sebuah jawatankuasa untuk usaha penyeragaman itu yang turut melibatkan penyertaan daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perbaharui SOP buka peluang wanita sertai Bomba

Categories
NASIONAL

KPKT wujud akademi IBS untuk golongan muda

SHAH ALAM, 11 MEI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan akademi Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai usaha memberi peluang kepada golongan muda mempelajari teknik pembinaan rumah berteknologi tinggi.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu turut bertujuan menggiatkan pembinaan rumah berteknologi tinggi di negara ini pada masa akan datang.

“Golongan muda ini (pelajar Akademi IBS) juga akan membantu kerajaan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik susulan kos pembinaan rumah IBS ini lebih rendah.

“Pelancaran Akademi IBS di Awana Kijal, Terengganu ini akan dilancarkan pada 21 Mei depan,” katanya ketika berucap Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata selain itu, akademi tersebut juga akan mendedahkan golongan muda dengan kepakaran membina rumah tanpa melibatkan kerja 3D iaitu ‘Dangerous, Dirty, Difficult’.

“Jadi mereka tidak perlu melalui kerja yang sukar sepertimana pembinaan rumah pada hari ini yang berdepan dengan kerja 3D.

“Ini juga turut membantu pemaju mengurangkan kebergantungan dengan tenaga kerja asing dalam industri pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran kerajaan untuk mewujudkan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun ini akan dapat dijayakan dengan kepakaran tenaga kerja tempatan yang dilahirkan akademi tersebut.

Sementara itu, Zuraida menyeru pemaju untuk menggunakan sistem IBS dalam projek perumahan mereka pada masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak empat model IBS akan ditawarkan sebagai pilihan model kepada pemaju perumahan dalam pembinaan rumah mampu milik di negara ini.

“Kita mengalakkan semua pemaju peringkat negeri dan swasta menggunakan model IBS yang terbukti akan mempercepatkan pembinaan sesebuah rumah selain menjimatkan sehingga 40 peratus kos buruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida: Anggota JBPM perlu teruskan kecemerlangan

PUTRAJAYA, 4 MEI: Khidmat dan bakti yang selama ini dicurahkan setiap anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) wajar dikenang setiap rakyat Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, komitmen dan semangat tinggi yang ditunjukkan setiap anggota JBPM dalam menjalankan tugas seharian adalah satu perkara yang tidak boleh disangkal lagi.

“Kepada seluruh anggota JBPM, teruskan kecemerlangan anda demi negara yang tercinta.

“Selamat menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia 2019. Bomba Tonggak Penyelamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT cadang semak perumahan usia 30 tahun ke atas

PUTRAJAYA, 28 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk menyemak atau membangunkan semula perumahan terutamanya rumah pangsa yang sudah berusia 30 tahun ke atas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keperluan untuk menyemak atau membangunkan semula perumahan lama merupakan perkara yang disenarai dalam dasar perumahan negara.

“Dalam kes pangsapuri Taman Keramat Permai, rumah berkenaan adalah di bawah Kerajaan Selangor.

“KPKT akan memantau dan melihat aspek yang boleh dibantu. Saya akan melawat lokasi berkenaan esok kerana baru tiba dari China hari ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden 222 penghuni yang menetap di 40 unit rumah di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di ibu negara terpaksa dipindahkan baru-baru ini.

Ia susulan keretakan yang dikesan pada struktur pangsapuri yang dilaporkan semakin teruk sehingga blok berkenaan dilihat condong.

Zuraida ditemui selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Dalam sidang media sama, beliau yang baru pulang ke tanah air awal pagi ini selepas menyertai lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China berkata, tujuan beliau turut serta dalam lawatan itu ialah untuk mencari pelaburan bagi rumah mampu milik.

“Sepanjang berada di China saya dapat melihat pembangunan di kawasan nelayan, pelabuhan dan industri kecil dalam kampung.

“Saya akan mengkaji untuk memgembangkan pembangunan seumpama itu di Malaysia di mana pelabur China boleh datang ke Malaysia untuk melabur di kawasan nelayan, pelabuhan dan perkampungan tertentu yang ada keunikan,” katanya lagi.

Konvensyen bagi Kampung Baru kali ini merupakan yang pertama kali diadakan dan ia dihadiri oleh 800 pengerusi dan setiausaha MPKK kampung baru masyarakat Cina dari seluruh negara.

Kampung baru merupakan kampung-kampung yang ditubuhkan di bawah Ordinan Kecemasan (Rancangan Briggs).

Kini terdapat 613 kampung baru termasuk kampung bagan dan rangkaian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT lancar Sekretariat Muafakat Komuniti PPR

KOTA BHARU, 20 APRIL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu peserta di projek perumahan untuk menjaga kebersihan, mengurus tempat dan menjana pendapatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata projek perintis bagi program berkenaan telah dimulakan di PPR Lembah Semanggol, Selangor sebelum ini dan mendapat sambutan yang baik daripada peserta di projek perumahan tersebut.

“Kita faham PPR sebelum ini tak mampu dikendalikan dan diselenggara oleh penduduk kerana mereka tak ada kapasiti untuk menguruskan 1,000 unit rumah dengan 6,000 penduduk.

“Bagaimanapun, sekretariat ini yang diuruskan sendiri oleh pegawai KPKT akan melatih bagaimana penduduk di setiap PPR untuk menjadi masyarakat yang berdaya dalam pelbagai aspek termasuklah kebersihan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Perasmian Pejabat Sekretariat PPR Kota Bharu yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT Dr Mary Wong Lai Lin di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Zuraida turut menyerahkan surat tawaran sijil induksi dan kit pengurusan dan keselamatan PPR Kota Bharu kepada 480 peserta projek perumahan tersebut.

Beliau berkata PPR Kota Bharu merupakan tempat pertama sekretariat tersebut dilancarkan dan ia akan diperluaskan ke projek-projek perumahan kos rendah yang lain di bawah seliaan KPKT dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPKT akan menawarkan untuk menjual rumah PPR tersebut kepada peserta jika mereka mempunyai rekod yang baik dalam pembayaran sewa di projek perumahan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Katanya harga tawaran bergantung kepada ‘median income’ di sesebuah kawasan manakala kutipan sewa dan penyelenggaraan yang ditetapkan tidak melebihi RM350 sebulan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Mengulas mengenai 97 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikatakan tersadai akibat kerosakan, Zuraida berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku sebarang penyelewengan.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam perkara ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa nilai kondisi aset milik Bomba ditubuh

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membentuk sebuah jawatankuasa dalaman untuk menilai kondisi keseluruhan aset jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dikatakan rosak dan tidak berkualiti.

Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian, Zamri Salleh itu turut dianggotai oleh wakil Bahagian Kewangan, Unit Audit Dalaman, Unit Integriti, Bahagian Undang-Undang serta Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek.

Beliau berkata, jawatankuasa ini akan membangunkan pelan penilaian yang komprehensif dengan melaksanakan kajian terperinci termasuk menilai semula proses perolehan, punca kerosakan dan kualiti jentera sedia ada.

“Ini bagi memastikan keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat terus berada pada tahap yang paling optimum.

“Penilaian yang dibuat jawatankuasa itu turut akan melihat sama ada proses perolehan yang dijalankan sebelum ini adalah telus dan berintegriti dengan mengikut ketetapan peraturan-peraturan perolehan yang betul,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, hasil tinjauan awal Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek di depoh pembaikan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan maklumat mengenai kondisi jentera yang dipaparkan dalam laporan media iaitu melalui gambar dan rakaman video adalah kurang tepat.

“Bukan semua kenderaan yang dipaparkan berstatus rosak dan terbengkalai. Ini kerana sebahagian besar kenderaan berstatus sedang dibaiki, menjalani servis berkala, proses pandu uji, proses siasatan kemalangan dan proses pelupusan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan 97 jentera bomba bernilai RM165 juta didakwa tersadai akibat kerosakan komponen dan kegagalan pembekal membekalkan alat ganti jentera berkenaan.

SUMBER: BERNAMA