Categories
NASIONAL

Takut PR Kuasai Putrajaya, Mahathir Mula Gelisah

SABAK BERNAM 20 JUN : Kenyataan mantan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau takut Pakatan Rakyat(PR) akan menyalahgunakan kuasa sekiranya menguasai pentadbiran negara selepas menang dalam pilihan raya umum akan datang menunjukkan kegelisahan pemimpin Umno-BN dan penyokongnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Mahathir mungkin bimbang dan takut atas kesalahan yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan dahulu.

“Mahathir takut kemungkinan beliau buat salah ketika memimpin dulu dan akan dikenakan tindakan apabila PR memerintah kelak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri itu dalam blognya, baru-baru ini mengatakan bahawa beliau tidak bimbang jika pembangkang menguasai pentadbiran negara dalam pilihan raya umum akan datang tetapi takut penyalahgunaan kuasa oleh PR.

Mahathir juga menjangkakan nasibnya akan sama dengan Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Libya, Muammar Gaddafi.

“Dia (Mahathir) fikir macam mana dia salah guna kuasa jadi orang lain pun akan salah guna kuasa. Inilah otak pemimpin Umno-BN termasuk bekas pemimpin mereka,” katanya.

Mahfuz menambah apa yang dikemukakan oleh PR sekarang menunjukkan bahawa PR mahu meringankan beban rakyat.

“Ini berbeza dengan pemimpin Umno-BN yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka bukannya masa depan rakyat dan negara. Ini dapat dilihat pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin PR,” katanya.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor,
Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S.Kesavan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Leave a Reply

Your email address will not be published.