Categories
NASIONAL

Takut PR Kuasai Putrajaya, Mahathir Mula Gelisah

SABAK BERNAM 20 JUN : Kenyataan mantan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau takut Pakatan Rakyat(PR) akan menyalahgunakan kuasa sekiranya menguasai pentadbiran negara selepas menang dalam pilihan raya umum akan datang menunjukkan kegelisahan pemimpin Umno-BN dan penyokongnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Mahathir mungkin bimbang dan takut atas kesalahan yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan dahulu.

“Mahathir takut kemungkinan beliau buat salah ketika memimpin dulu dan akan dikenakan tindakan apabila PR memerintah kelak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri itu dalam blognya, baru-baru ini mengatakan bahawa beliau tidak bimbang jika pembangkang menguasai pentadbiran negara dalam pilihan raya umum akan datang tetapi takut penyalahgunaan kuasa oleh PR.

Mahathir juga menjangkakan nasibnya akan sama dengan Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Libya, Muammar Gaddafi.

“Dia (Mahathir) fikir macam mana dia salah guna kuasa jadi orang lain pun akan salah guna kuasa. Inilah otak pemimpin Umno-BN termasuk bekas pemimpin mereka,” katanya.

Mahfuz menambah apa yang dikemukakan oleh PR sekarang menunjukkan bahawa PR mahu meringankan beban rakyat.

“Ini berbeza dengan pemimpin Umno-BN yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka bukannya masa depan rakyat dan negara. Ini dapat dilihat pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin PR,” katanya.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor,
Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S.Kesavan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Siasat Akaun Saya, Najib, Muhyiddin dan Mahathir Sekali

SABAK BERNAM 20 JUN : Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kesemua akaunnya, isterinya dan anak-anaknya di samping bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

Katanya siasatan tersebut akan membuktikan beliau tidak mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion seperti yang didakwa Umno-BN.

Beliau berkata, selain akaun miliknya, SPRM juga turut siasat akaun anak-anaknya di dalam dan luar negara.

“Itu cerita lama, tahun 1998, apabila keluar cerita mengenai perkara itu, saya tiada masalah. Siasatlah. Siasat akaun saya, isteri dan anak-anak dalam negeri dan luar negara.

“Tetapi siasat juga akaun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

?Kajilah rekod saya termasuk (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, MP Ampang, Zuraida Kamaruddin, MP Kapar, S. Manikavasagam dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon.

Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, ADUN Hutan Melintang, S. Kesavan, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Anwar berkata SPRM dan Kerajaan Pusat hanya mampu mengeluarkan fitnah kerana tidak berani untuk menyiasat akaunnya dan pemimpin Umno-BN.

“Sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang dikenali sekarang sebagai SPRM sudah menyiasat kes itu serta akaun di Kuala Lumpur, Singapura dan London.

?Laporan mahkamah juga sudah dikeluarkan dan mendapati tiada kebenaran bagi tuduhan itu.

“Mereka ini hanya ulang cerita kerana mereka mahu kita membuang masa, tetapi saya tidak takut,” katanya.

Dakwaan ini dibuat Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang pernah membuat akuan bersumpah mengenai akaun RM3 bilion yang beliau percaya membabitkan Anwar pada 1999.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali dilaporkan tidak menolak kemungkinan kes tersebut pernah dirujuk kepada BPR dan polis ketika itu.