Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Akan Jumpa Kerajaan Pusat Bincang Peruntukan Pembangunan

GOMBAK, 7 JULAI : Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan khas dengan kerajaan pusat dengan harapan pusat dapat menambah peruntukan ke negeri untuk tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang kira-kira 23 peratus kepada jumlah pendapatan negara namun kerajaan pusat hanya mengembalikan kepada kerajaan Selangor kira -kira tiga peratus dalam bentuk pembangunan.

“Saya ingin bertemu dengan kerajaan pusat untuk mengingatkan mereka bahawa setiap pembangunan Malaysia adalah sumbangan dari negeri Selangor yang sangat besar.?

Abdul Khalid berkata, peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan pusat itu penting untuk pembangunan Selangor.

Beliau menambah, Geran Selangorku adalah bonus kepada rakyat Selangor hasil keuntungan anak syarikat dan kutipan hutang daripada Talam Corporation Bhd.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab dengan penggunaan dana kerajaan, semua rakyat Selangor mesti merasai pembangunan di negeri ini,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini.

Turut hadir Exco-exco Selangor, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala berkata MPS menjangka akan mendapat cukai taksiran sebanyak RM 50 juta untuk 2012.

“Kawasan industri akan dibangunkan di Selayang dengan nilai pembangunan kira-kira RM 10 bilion yang akan menjana pembangunan ekonomi di kawasan MPS ini,” katanya.

Tambah beliau, MPS akan membangunkan produk pelancongan di Selayang seperti Batu Caves, Taman Rimba Templer dan Batu Arang bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Batu Arang akan diwartakan sebagai kawasan pelancongan yang telah berumur 100 tahun,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.