Categories
NASIONAL

Siber Kafe dan Longkang Tersumbat Akan Dipantau MPS

SELAYANG, 1 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang(MPS) akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap di semua kafe siber di Selayang dan Gombak supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Azmi Ismail mencadangkan supaya setiap premis kafe siber di bawah MPS diperiksa lebih kerap bagi membendung kegiatan yang tidak sihat berlaku.

“Lambakan kafe siber perlu diberi perhatian sewajarnya dan saya akan berbincang dengan polis bagi mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap lagi,” katanya ketika Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Perkara ini dipersetujui oleh Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala sambil menyatakan kerjasama bersama polis perlu dieratkan di masa hadapan.

Mesyuarat bulanan ini diadakan kali ke tujuh tahun ini dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.

Selain itu, cadangan menambahbaik masalah saliran seperti longkang tersumbat di kawasan-kawasan perumahan di sekitar Bandar Baru Selayang turut dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis MPS yang terlibat.

Kebanyakan ahli Majlis meminta MPS melipat andakan usaha dengan menambah kontraktor-kontraktor bagi membersihkan longkang-longkang ini supaya tiada perkara buruk yang berlaku seperti kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Gangguan Samseng Jejas Projek MPS

SELAYANG, 1 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memadang serius tindakan sekumpulan samseng didakwa meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor ketika kerja-kerja menurap jalan di Batu Caves melalui peruntukan MARIS di bawah Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, kumpulan samseng bertindak merampas kunci jentera-jentera yang digunakan kontraktor yang dilantik MPS dan meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor terlibat.

“Perkara ini amat serius dan saya akan mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Katanya, samseng berkenaan turut mengganggu kakitangan Institut Kerja Raya Malaysia(IKRAM) ketika membuat kajian mengenai tanah runtuh di Taman Rawang Perdana minggu lalu.

“Mereka yang terlibat juga tidak berani melaporkan perkara ini kepada polis dan kita akan mengadakan satu mesyuarat segera mengenai perkara ini kerana sudah empat kali dalam tahun ini kita diganggu,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tujuan kumpulan samseng ini adalah bagi mendapatkan wang segera dengan memeras ugut dan mengganggu projek di bawah MPS.

Sementara itu, mesyuarat bulanan ini turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Akan Jumpa Kerajaan Pusat Bincang Peruntukan Pembangunan

GOMBAK, 7 JULAI : Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan khas dengan kerajaan pusat dengan harapan pusat dapat menambah peruntukan ke negeri untuk tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang kira-kira 23 peratus kepada jumlah pendapatan negara namun kerajaan pusat hanya mengembalikan kepada kerajaan Selangor kira -kira tiga peratus dalam bentuk pembangunan.

“Saya ingin bertemu dengan kerajaan pusat untuk mengingatkan mereka bahawa setiap pembangunan Malaysia adalah sumbangan dari negeri Selangor yang sangat besar.?

Abdul Khalid berkata, peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan pusat itu penting untuk pembangunan Selangor.

Beliau menambah, Geran Selangorku adalah bonus kepada rakyat Selangor hasil keuntungan anak syarikat dan kutipan hutang daripada Talam Corporation Bhd.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab dengan penggunaan dana kerajaan, semua rakyat Selangor mesti merasai pembangunan di negeri ini,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini.

Turut hadir Exco-exco Selangor, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala berkata MPS menjangka akan mendapat cukai taksiran sebanyak RM 50 juta untuk 2012.

“Kawasan industri akan dibangunkan di Selayang dengan nilai pembangunan kira-kira RM 10 bilion yang akan menjana pembangunan ekonomi di kawasan MPS ini,” katanya.

Tambah beliau, MPS akan membangunkan produk pelancongan di Selayang seperti Batu Caves, Taman Rimba Templer dan Batu Arang bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Batu Arang akan diwartakan sebagai kawasan pelancongan yang telah berumur 100 tahun,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Pasukan Khas Siasat Dakwaan SYABAS Loji Kurang Air

BATU CAVES 25 JUN : Satu pasukan khas yang terdiri daripada panel pakar akan dihantar ke loji rawatan air bagi menyiasat menyebaran kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung tahap penurunan paras air di empangan Semenyih dan Langat sejak minggu lalu.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu perlu disiasat kerana mendapati penggunaan dan pengurusan air di loji itu agak tidak konsisten daripada jumlah keluaran air.

“Mengapa terdapat kekurangan dalam loji rawatan itu? Loji rawatan mempunyai loji untuk menyimpan air jadi kenapa terdapat penurunan?.

“Jumlah air mentah di negeri antara ukuran yang boleh diukur ialah melalui jumlah air di empangan. Jumlah air itu kalau melimpah maknanya empangan itu mempunyai lebih daripada 100 peratus jumlah air.

“Jadi maknanya kalau itu berlaku jumlah air mentah di negeri ini bukan sahaja cukup tetapi ia juga melimpah.

“Oleh sebab itu pada kita, jumlah loji yang ada sesuai untuk jumlah air mentah yang kita ada,” katanya selepas Majlis Sambutan 43 tahun Kampung Melayu Batu Caves Selatan di Dataran Hijau Al-Khadra, Balairaya JKKK, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari, Pegawai Daerah dan Tanah Gombak Ahmad Zaharin Saad, YDP MDS Datuk Zainal Abidin Aala dan Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki.

Abdul Khalid menambah sebanyak 100 meter padu air sepatutnya disalurkan, bagaimanapun 30 peratus daripada jumlah itu tidak disampaikan kepada pengguna.

“Mungkin air bocor di mana-mana sebab itu tidak sampai kepada pengguna. Jadi dua perkara itu mesti kita lakukan iaitu jumlah air terawat mesti dipertingkatkan dan ‘non revenue water’ itu mestilah berkurangan daripada 30 peratus kepada 15 peratus,” katanya.

Lanjutan kepada laporan The Star, atas tajuk ?There is no shortage of water in Selangor, says Luas? bertarikh 19 Jun, 2012.

Abdul Khalid turut bersetuju dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar yang menyelar kenyataan Syabas itu.

Xavier mengesa Syabas agar jangan terus bermain api dengan rakyat Selangor.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil alih semua loji-loji air yang dikendalikan oleh Syabas atau Puncak Niaga bagi menjamin rakyat Selangor terus mendapat bekalan air yang mencukupi untuk keperluan harian mereka.

Categories
SELANGOR

15 Tahun MPS: MB Gembira Pencapaian MPS

SELAYANG, 31 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa gembira terhadap pencapaian 15 tahun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Selain mengucapkan tahniah kepada warga MPS, menurut Khalid, rekod pentadbiran selama 15 tahun MPS telah membuktikan iltizam yang amat tinggi MPS meningkatkan kualiti perkhidmatan di Selayang.

“MPS juga menunjukkan iltizam untuk meningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam melalui aktiviti-aktiviti kualiti yang diamalkan.

“Antaranya, penubuhan jawatankuasa kualiti peringkat jabatan, aktiviti kumpulan inovatif dan kreatif, perlaksanaan ISO 9001:2008 dan penyediaan pelan startegik 2011-2015.

“Dalam hal ISO saya difahamkan MPS sudah pun mendokumenkan sebanyak 31 skop utama yang hampir kesemuanya meliputi keseluruhan aktiviti kerja MPS.

“Saya gembira kerana usaha tersebut melambangkan semangat kakitangannya untuk melaksanakan tugas mengikut standard yang diiktiraf,”katanya ketika berucapap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulangtahun ke-15 MPS  di Ideal Convention Centre, Taman Prima Selayang malam tadi.

Sepanjang 15 tahun majlis perbandaran itu ditubuhkan, ia turut berjaya meningkatkan jumlah pegangannya (holdings).

“Daripada stastistik yang ditunjukkan, sepanjang 15 tahun MPS berjaya mencatatkan kenaikan jumlah pegangan.

“Pada 1997, jumlah pegangan berjumlah 65,581 dan meningkat ke 182,570 pegangan pada awal 2012, iaitu pertambahan sebanyak 178 peratus,” kata beliau lagi.

Ketika mengingatkan matlamat utama untuk meningkatkan usaha memberi bantuan kepada masyarakat, beliau turut membidas sesetengah pihak yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dan menyalahkan pihak lain.

“Pihak swasta pula hanya hanya memikirkan keuntungan semata-mata manakala pihak NGO pula hanya pandai menunding jari menyalahkan pihak lain.

“Ingatlah, matalamat utama kita adalah untuk memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun dukungan politik,” ujarnya.

Demi meningkatkan mutu perkhidmatannya, MPS turut mengambil beberapa langkah proaktif agar lebih memudahkan masyarakat berurusan dengan majlis perbandaran itu.

“Saya gembira kerana MPS berusaha gigih memberi kemudahan khususnya kepada orang ramai yang berurusan dengan MPS.

“Antaranya menerusi di pejabat tiga cawangannya, kemudahan bayaran secara online, penyediaan kaunter bergerak dan kaunter pandu masuk,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Dato’ Zainal Abidin A’ala turut mengucapkan tahniah kepada warga MPS yang mendapat pengiktirafan empat bintang untuk penilaian Sistem STAR Rating (SSR) baru-baru ini.

“Dan yang terbaru ialah MPS telah mendapat anugerah empat bintang untuk penilaian SSR tahun 2010/2011 yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sukacita dimaklumkan MPS termasuk di kalangan 21 PBT di seluruh negara yang memperoleh empat bintang.

“Ini adalah merupakan peningkatan di mana penilaian SSR pada 2008, MPS hanya mendapat tiga bintang.  Tahniah kepada semua warga MPS,” ujarnya.

Malam tadi MPS telah mengadakan majlis makan malam sempena Sambutan ulang tahun ke-15 dan Pelancaran Pelan Startegik 2011-2015 di Ideal Convention Centre, Selayang.

Di samping kehadiran kira-kira 800 warga kerja MPS dalam majlis penuh gemilang itu, turut sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Selain ucapan MB Selangor dan YDP Selayang, majlis itu turut dimeriahkan  dengan pertandingan Akhir ‘Pop Yeh Yeh’ MPS Idol 2012 dan artis jemputan, Angah Raja Lawak dan Mie Raja Lawak.