Categories
NASIONAL SELANGOR

Terharu Terima Geran Sampai Tak Boleh Tidur Malam

AMPANG 1 JUL : Setelah 18 tahun turun naik pejabat tanah dan gagal mendapat geran, S. Ravindran seakan tidak boleh percaya apa yang berlaku padanya hari ini.

Pesara yang berumur 57 itu akhirnya menerima yang impian yang ditunggu hampir 20 tahun itu menjadi kenyataan apabila dokumen borang 5A ada dalam tangannya.

“Memang saya tidak percaya kerana saya fikir semua itu sekadar janji-janji politik sahaja dan tidak bermakna apa-apa pada rakyat biasa seperti saya.
“Jadi apabila diberitahu dua minggu lepas bahawa saya akan terima geran, saya memang tidak percaya dan menganggap ini merupakan satu lagi janji kosong.

“Saya hanya percaya apabila terima surat berkenaan perkara ini tempoh hari.

Perasaan terharu serta gembira itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga tidur semalam pun tidak dapat lelap mata,” ujar Ravindran dari Kampung Tasek Permai.

Beliau yang hilang kakinya dalam satu kemalangan telah menduduki tapak rumahnya selama lebih 30 tahun.

Ravindran antara 66 orang yang menerima borang 5A daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu Majlis Pemberian Hak Milik Persendirian di kawasan Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Manakala 72 orang menerima dokumen geran tanah di majlis yang bertempat di Padang Awam Tasik Tambahan.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk menyelesaikan isu permohonan hak milik tanah yang berlarutan sekian lama sejak era zaman Umno-BN dahulu.

“Jika dahulu, kebanyakan pemberian tanah tidak dibuat secara telus, antaranya kerana mengutamakan kawan rapat atau sanak saudara.

“Sebaliknya, Kerajaan Pakatan memberi hak rakyat tanpa mengira pegangan parti politik,” kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 hadirin.

Selain penghuni Kampung Tasek Permai, kampung lain yang terlibat dalam majlis pagi tadi ialah Kampung Ampang Indah, Ampang Campuran dan Kampung Bukit Sungai Puteh.

Turut hadir ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zulkefli Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published.