Categories
SELANGOR

JMB, MC Boleh Salur Aduan Di Majlis Himpunan Perdana

SHAH ALAM 19 SEPT : Badan Pengurusan Bersama(JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan(MC) berpeluang berkongsi cadangan dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah yang berkaitan di kawasan mereka.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan akan menganjurkan Himpunan Perdana JMB/MC Siri ke 2/2012 pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Majlis yang turut mendapat kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu juga khusus dianjurkan untuk JMB dan MC dari kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Dalam satu kenyataan media Exco Selangor, Iskandar Samad berkata antara isu-isu yang dijangka akan dibincangkan adalah kelulusan dan perlaksanaan program CERIA serta migrasi kepada meter pukal kepada meter individu.

“Isu lain ialah pengurangan 25 peratus cukai pintu bagi Pangsapuri Kos Rendah,” umum beliau dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco negeri di sini sebentar tadi.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan wakil JMB dan MC daripada PBT lain dalam majlis himpunan tersebut.

Menurutnya lagi, antara program utama dalam majlis itu ialah penyampaian taklimat dalam hal pengurusan bangunan, penyelenggaraan bangunan, keselamatan dan perundangan.

“Maskot CERIA juga akan dilancarkan pada perhimpunan hari Sabtu minggu ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.