Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Batal Projek Kondominium Batu caves

batucaves(1)

SHAH ALAM, 24 JAN : Kontroversi berhubung pembinaan kondominium 26 tingkat di Batu Caves akhirnya selesai apabila Kerajaan Selangor membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada pemaju hartanah Dolomite Properties Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar.

Keputusan dibuat selepas jawatankuasa mendengar pembentangan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa berhubung masalah berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kesediaan membantu Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian jangka panjang terhadap isu pembangunan di Batu Caves dan sekitarnya.

“Dalam mesyuarat itu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah membentangkan secara terperinci status pembinaan struktur dan bangunan di Batu Caves serta tahap keselamatannya.

“Selepas mendengar penjelasan itu, saya membuat keputusan supaya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada Dolomite Properties Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berharap supaya keputusan ini diterima positif oleh semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan mana-mana projek pembangunan yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

“Kerajaan Negeri menyokong sebarang projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia perlu dirancang dengan teliti, mengikut peraturan dan tidak membahayakan keselamatan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Ahli-ahli profesional itu adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves mendapat tentangan yang hebat kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.

Mengikut minit mesyuarat MPS, projek tersebut diluluskan pada 2007 ketika pentadbiran Umno-BN dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.