Categories
NASIONAL SELANGOR

Syarikat Berus Gigi Dilantik Bina Puspahanas, Raja Ropiah Untung Atas Angin

PC PKR Puspahanas 02

DAMANSARA 4 JAN : PKR hari ini mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) kepada Ketua Wanita Umno Selangor bermotifkan keuntungan atas angin semata-mata.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini dalam satu sidang media mendedahkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Awan Megah sebagai sebuah syarikat yang tidak mempunyai apa-apa aktiviti sejak ditubuhkan hingga sekarang dengan rekod kewangan terakhir yang difailkan ialah pada 31 Disember 1993.

Pada 8 Jun 2005, Najib yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika itu menganugerahkan Alam Megah Sdn Bhd iaitu syarikat milik Ketua Wanita Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah sebuah projek penswastaan Puspahanas yang melibatkan kerja-kerja rekabentuk dan pembinaan kolej latihan tentera.

“Oleh itu, Awan Megah terpaksa pula mengambil sebuah syarikat lain sebagai rakan kongsi untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu dengan menanggung keseluruhan kos sementara Raja Ropiah melalui Awan Megah hanya membuat untung atas angin.

“Rakan kongsi yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd yang didapati hanya mendapat kemudahan kredit daripada United Overseas Bank (UOB) pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas Awan Megah dianugerahkan projek tersebut.

“Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih tercari-cari rakan kongsi,” jelas Rafizi.

Lebih memeranjatkan, Rafizi berkata, GuppyUnip yang ditubuhkan pada 9 Disember 2009 bukanlah sebuah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan.

Sebaliknya, syarikat yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan bernama Cheong Chow Koh ini didapati berpengalaman luas dalam bidang perkilangan berus gigi melalui syarikat utamanya, Unip Berhad.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip dengan UOB pula jelas menunjukkan keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah oleh GuppyUnip.

Malah GuppyUnip juga terpaksa menanggung pembayaran premium kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi proses pindahmilik geran dan pertukaran status tanah seluas 223.44 ekar kepada Awan Megah yang pada asalnya digazetkan untuk tujuan membina kem tentera.

“Keadaan sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini diserahkan kepada GuppyUnip, syarikat pengeluar berus gigi sementara Najib Razak membiarkan Awan Megah milik Ketua Wanita Selangor mengaut untung atas angin dengan dianugerahkan ‘prime land’ di Shah Alam,” tegas Rafizi.

Sehubungan itu, PKR akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara serentak di seluruh negara pada Isnin ini untuk mendesak satu siasatan segera terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini berhubung salahguna kuasa dan penyelewengan beliau.

PC PKR Puspahanas 01

Leave a Reply

Your email address will not be published.