Categories
NASIONAL SELANGOR

Urusniaga Dua Syarikat Bernilai RM 160 Juta Guna Pencen Angkatan Tentera Tidak Masuk Akal

rafizi pc white 01

PETALING JAYA, 7 JAN : Urusniaga antara Boustead Holdings dengan syarikat Astacanggih dan Awan Megah yang bernilai RM 160 juta yang melibatkan tanah di Bukit Raja dan satu projek kem tentera adalah satu pelaburan yang tidak masuk akal.

Ini kerana menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, tanah yang kononnya dibeli oleh Boustead dari Awan Megah masih lagi milik Kerajaan Pusat dan bukannya hak milik syarikat itu.

Manakala projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang diswastakan kepada Awan Megah mempunyai nilai yang jauh lebih rendah daripada RM 130 juta.

?Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan pimpinan tertinggi negara,” kata Rafizi.

Boustead adalah unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyimpan caruman dari potongan gaji anggota tentera.

Beliau menyangkal kenyataan pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa pembelian kedua-dua syarikat itu merupakan satu pelaburan yang baik.

Rafizi berkata tanah 233 ekar di Bukit Raja masih lagi hak milik Kerajaan Persekutuan manakala pindah milik dan pembangunan di atas tanah tersebut tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Selangor.

“Oleh yang demikian, pembayaran RM 130 juta … kepada Awan Megah yang dimiliki Ketua Wanita Umno Selangor Senator Raja Ropiaah Raja Abdullah, samalah dengan memberi wang RM 130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

“Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM 130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hak milik tanah itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi juga mendakwa bahawa kos keseluruhan bagi menyiapkan Puspahanas yang tergendala, hanya RM 72.5 juta dan bukan RM 160 juta seperti yang hendak dibayar kepada Astacanggih dan Awan Megah.

Mengikut perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan, projek tersebut sepatutnya disiapkan oleh Awan Megah tetapi tergendala.

Manakala perjanjian itu memaksa Awan Megah untuk meletakkan satu ?land bond? bernilai RM 72.5 juta sebagai jaminan kewangan sekiranya syarikat itu gagal menyiapkan projek tersebut.

Rafizi berkata Kerajaan Persekutuan berhak menuntut RM 72.5 juta daripada Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas.

?Ini bermakna kos keseluruhan Puspahanas hanya RM 72.5 juta sahaja.

?Dalam keadaan Puspahanas belum siap dan milainya RM 72.5 juta sahaja, pembayaran RM 160 juta oleh Boustead sudah tentu harga yang tak masuk akal?.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syarikat Berus Gigi Dilantik Bina Puspahanas, Raja Ropiah Untung Atas Angin

PC PKR Puspahanas 02

DAMANSARA 4 JAN : PKR hari ini mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) kepada Ketua Wanita Umno Selangor bermotifkan keuntungan atas angin semata-mata.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini dalam satu sidang media mendedahkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Awan Megah sebagai sebuah syarikat yang tidak mempunyai apa-apa aktiviti sejak ditubuhkan hingga sekarang dengan rekod kewangan terakhir yang difailkan ialah pada 31 Disember 1993.

Pada 8 Jun 2005, Najib yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika itu menganugerahkan Alam Megah Sdn Bhd iaitu syarikat milik Ketua Wanita Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah sebuah projek penswastaan Puspahanas yang melibatkan kerja-kerja rekabentuk dan pembinaan kolej latihan tentera.

“Oleh itu, Awan Megah terpaksa pula mengambil sebuah syarikat lain sebagai rakan kongsi untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu dengan menanggung keseluruhan kos sementara Raja Ropiah melalui Awan Megah hanya membuat untung atas angin.

“Rakan kongsi yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd yang didapati hanya mendapat kemudahan kredit daripada United Overseas Bank (UOB) pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas Awan Megah dianugerahkan projek tersebut.

“Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih tercari-cari rakan kongsi,” jelas Rafizi.

Lebih memeranjatkan, Rafizi berkata, GuppyUnip yang ditubuhkan pada 9 Disember 2009 bukanlah sebuah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan.

Sebaliknya, syarikat yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan bernama Cheong Chow Koh ini didapati berpengalaman luas dalam bidang perkilangan berus gigi melalui syarikat utamanya, Unip Berhad.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip dengan UOB pula jelas menunjukkan keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah oleh GuppyUnip.

Malah GuppyUnip juga terpaksa menanggung pembayaran premium kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi proses pindahmilik geran dan pertukaran status tanah seluas 223.44 ekar kepada Awan Megah yang pada asalnya digazetkan untuk tujuan membina kem tentera.

“Keadaan sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini diserahkan kepada GuppyUnip, syarikat pengeluar berus gigi sementara Najib Razak membiarkan Awan Megah milik Ketua Wanita Selangor mengaut untung atas angin dengan dianugerahkan ‘prime land’ di Shah Alam,” tegas Rafizi.

Sehubungan itu, PKR akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara serentak di seluruh negara pada Isnin ini untuk mendesak satu siasatan segera terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini berhubung salahguna kuasa dan penyelewengan beliau.

PC PKR Puspahanas 01