Categories
NASIONAL SELANGOR

Skandal Tanah Wanita Umno Selangor, Kerajaan Negeri Hanya Lulus Bina Kem Tentera

Meeting Exco September MB

SHAH ALAM 4 Jan : Kerajaan Selangor hanya akan meluluskan pembinaan kem tentera di atas sebidang tanah di Bukit Raja yang ada kaitan dengan syarikat pemimpin Umno Selangor.

Ini bermakna tanah tersebut, yang telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 1980-an oleh Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu, tidak boleh digunakan untuk pembangunan lain seperti bangunan komersial.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebarang bentuk pembangunan lain yang berlaku di atas tanah tersebut dilakukan tanpa pengetahun dan tidak diikhtiraf Kerajaan Negeri.

“Kita tidak akan membenarkan sebarang pembangunan di atas tanah itu kecuali bagi pembinaan kem latihan tentera seperti yang ditetapkan.

?Itu pun selepas mendapat kebenaran Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES),” menurut satu kenyataan dari Sekretariat Ahkbar Pejabat Menteri Besar hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa status dan kegunaan tanah seluas 200 ekar di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang itu muncul di dalam skandal yang membabitkan syarikat Ketua Wanita Umno Selangor dan saudagar karpet Deepak Jaikishan.

Minggu lepas, akhbar Selangorkini melaporkan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual tanah tersebut kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad.

Boustead adalah unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyimpan caruman dari potongan gaji anggota tentera.

Syarikat yang berusaha untuk menjual tanah tersebut adalah Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Akan tetapi, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempertikaikan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campur tangan pihak yang benar-benar berkuasa.

Setiausaha politik Menteri Besar Faekah Husin dilaporkan berkata Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pernah membuat permohonan pada tahun 2009 untuk pembangunan komersil dan bercampur di atas tanah itu.

Pembangunan tersebut melibatkan dua syarikat – Awan Megah dan Astacanggih Sdn Bhd, milik Deepak.

Keputusan hari ini oleh MTES bermakna sebarang projek pembangunan – kecuali kem tentera – di atas tanah tersebut tidak akan mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan atau agensi Selangor.

Abdul Khalid berkata tanah tersebut masih lagi di bawah nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan tidak dipindahmilik kepada mana-mana syarikat atau individu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.