Categories
SELANGOR

Anwar : Nilai Ketirisan Sekarang Mampu Tampung Pendidikan Percuma

Konvensyen Pendidikan Unisel 2013 01

SHAH ALAM, 5 FEB: Nilai ketirisan wang rakyat dan pembaziran yang dilakukan Kerajaan Pusat kini bukan sahaja mampu menampung kos pendidikan percuma malah lebih dari mencukupi.

Menurut Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) di sini, dakwaan bahawa negara akan muflis sekiranya pendidikan percuma dilaksanakan juga adalah suatu pembohongan Umno-BN.

“Penyebab negara boleh muflis adalah disebabkan pembaziran dan ketirisan kerajaan dalam berbelanja, bukan sebab beri rakyat pendidikan percuma.

“Contohnya kita dapat lihat Kerajaan Negeri Selangor bina jalan dengan spefikasi sama dengan jalan dibina Kerajaan Pusat, tetapi kos Kerajaan Negeri jimat lebih 30 peratus” kata beliau dalam ucaptama yang bertajuk ‘Pendidikan Percuma di Malaysia: Suatu Realiti’ pagi tadi.

Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang itu turut mengingatkan kerajaan agar keperluan pendidikan percuma dan isu kualiti pendidikan negara hendaklah diambil perhatian yang serius.

Justeru, Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpinnya sekiranya menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke -13 tahun ini.

Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Unisel hari ini berlangsung untuk hari ke dua.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Dasar Pendidikan Malaysia Daripada Perspektif Holistik’.

Dalam konvensyen yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menampilkan pembentang kertas kerja dalam dan luar negara.

Antara yang membuat pembentangan di konvensyen tersebut, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad dan Ketua Jabatan Pusat Kajian E-Komuniti UKM, Prof Madya Dr Supyan Hussin dan lain-lain.

Ahli akademik luar negara yang turut membuat pembentangan termasuklah Pensyarah Institut Pengajian Islam Gontor Penorogo, Bapak Dr Amal Fathullah Zarkasyi dari Indonesia dan profesor dan Pengarah Urusan Centre for Phytotherapy Research, Prof Dr Ameenah Gurib-Fakim dari Mauritius.

Leave a Reply

Your email address will not be published.