Categories
NASIONAL SELANGOR

Bersih 3.0 : Keputusan Batal Pertuduhan Azmin Dan CheguBard 19 April

Azmin Mahkamah bersih 3 mac 20

KUALA LUMPUR, 20 MAC : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 April 2013 bagi mendengar keputusan berhubung permohonan membatalkan pertuduhan ke atas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharim (CheguBard) dalam kes himpunan Bersih 3.0.

Tarikh ini diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim selepas mendengar penghujahan peguam bela dan peguam pendakwa.

Peguam, Datuk Yusuf Zainal Abidin dan S Sankara Nair mewakili Badrul Hisham sementara Praba Karan mewakili Azmin.

Sankara Nair yang ditemui selepas prosiding berkata, permohonan menghalang perhimpunan Bersih 3.0 tidak bertepatan dengan undang-undang.

“Dalam hujahan, kita menyebut bahawa pegawai polis dari Balai Polis Dang Wangi memohon dengan Majisterit untuk menghalang perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka tidak dibuat secara tepat berdasarkan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Azmin yang turut hadir mendengar prosiding hari ini meyifatkan pertuduhan keatasnya berniat jahat kerana dibuat secara tidak tepat.

“Peguam telah berhujah ada unsur mala fide (berniat jahat) dalam permohonan tersebut dan minta Mahkamah Tinggi meneliti supaya perintah larangan yang dikeluarkan Majisterit adalah tidak sah.

“Jika tidak sah maka pertuduhan tersebut tidak sah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh pada 22 Mei tahun lalu bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan melanggar perintah mahkamah yang menghalang perhimpunan tersebut.

Selain itu, mereka juga menghadapi tuduhan bersama lima yang masih bebas bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April 2012.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.