Categories
NASIONAL

Rekod Kewangan Syarikat Pembekal Topi SPR Meragukan

rafizi pc white stripes 03

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Nash Ventures Sdn Bhd (Nash Ventures), syarikat yang disahkan Kerajaan Persekutuan mendapat kontrak untuk membekal topi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk PRU13 secara rundingan terus didakwa memiliki rekod kewangan meragukan.

MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa berdasarkan penyata akaun 2009 yang difailkan syarikat itu, tiada aktiviti perniagaan dan perolehan yang diraihnya.

“Nash Ventures dianugerahkan kontrak oleh SPR pada tahun ini sedangkan tiada sebarang perolehan pada 2009. Ini menguatkan lagi dakwaan syarikat yang saya dedahkan ini mempunyai hubungan baik dengan SPR,” kata Pengarah Strategi PKR itu di dalam sidang media di Parlimen hari.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Nash Ventures adalah salah sebuah syarikat yang membekalkan topi kepada SPR semasa PRU 13.

Menurut Rafizi Nash Ventures juga dikuasai oleh niagawan Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang turut memiliki sebuah lagi syarikat yang mendapat kontrak membekal dakwat kekal semasa PRU 13 secara rundingan terus.

Rafizi menjelaskan antara kriteria bagi mendapatkan kontrak rundingan terus, sesebuah syarikat perlu memiliki kewangan yang kukuh.

Tambahnya, pengesahan Shahidan mengiyakan pendedahan yang dibuatnya di Parlimen semalam. Iaitu syarikat kawalan Mohamad Salleh telah mendapat kontrak pembekalan topi, kemeja dan dakwat kekal secara rundingan terus dari SPR.

Ini termasuk syarikat utama, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd (Integrated Challenger), yang didakwa mendapat kontrak dakwa kekal.

Rafizi berkata walaupun tiada penafian daripada Shahidan mengenai Integrated Challenger ia menguatkan andaian bahawa syarikat itu diberi kontrak pembekalan dakwat kekal.

“Salah-seorang pengarah syarikat (Nash Ventures) iaitu Shamsia Mansoor. Beliau juga pengarah syarikat dan pemegang saham di Allisons Corp Sdn Bhd. Pemegang saham lain dan pengarah syarikat lain (Allisons Corp) ialah Mohamed Salleh Mohd Ali.”

“Kedua-dua Mohamad Salleh Mohd Ali dan Shamsia Mansoor beralamat yang sama di Seksyen 2 Shah Alam. Mengikut maklumat dan juga siasatan yang telah kita buat, mereka ini besar kemungkinan ada pertalian suami-isteri.”

“Jika ikut laporan standard perakaunan, oleh kerana kedua-dua syarikat mempunyai  pengarah yang sama, kedua-dua syarikat (nash ventures dan allisons corp) dianggap syarikat berkaitan kedua-dua pengarah dianggap individu berkaitan.”

Rafizi menambah, ketiga-tiga Integrated Challenger, Allisons Corp dan Nash Ventures juga didaftarkan di alamat sama iaitu No 44A & 48B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.