Categories
NASIONAL

Rekod Kewangan Syarikat Pembekal Topi SPR Meragukan

rafizi pc white stripes 03

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Nash Ventures Sdn Bhd (Nash Ventures), syarikat yang disahkan Kerajaan Persekutuan mendapat kontrak untuk membekal topi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk PRU13 secara rundingan terus didakwa memiliki rekod kewangan meragukan.

MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa berdasarkan penyata akaun 2009 yang difailkan syarikat itu, tiada aktiviti perniagaan dan perolehan yang diraihnya.

“Nash Ventures dianugerahkan kontrak oleh SPR pada tahun ini sedangkan tiada sebarang perolehan pada 2009. Ini menguatkan lagi dakwaan syarikat yang saya dedahkan ini mempunyai hubungan baik dengan SPR,” kata Pengarah Strategi PKR itu di dalam sidang media di Parlimen hari.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Nash Ventures adalah salah sebuah syarikat yang membekalkan topi kepada SPR semasa PRU 13.

Menurut Rafizi Nash Ventures juga dikuasai oleh niagawan Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang turut memiliki sebuah lagi syarikat yang mendapat kontrak membekal dakwat kekal semasa PRU 13 secara rundingan terus.

Rafizi menjelaskan antara kriteria bagi mendapatkan kontrak rundingan terus, sesebuah syarikat perlu memiliki kewangan yang kukuh.

Tambahnya, pengesahan Shahidan mengiyakan pendedahan yang dibuatnya di Parlimen semalam. Iaitu syarikat kawalan Mohamad Salleh telah mendapat kontrak pembekalan topi, kemeja dan dakwat kekal secara rundingan terus dari SPR.

Ini termasuk syarikat utama, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd (Integrated Challenger), yang didakwa mendapat kontrak dakwa kekal.

Rafizi berkata walaupun tiada penafian daripada Shahidan mengenai Integrated Challenger ia menguatkan andaian bahawa syarikat itu diberi kontrak pembekalan dakwat kekal.

“Salah-seorang pengarah syarikat (Nash Ventures) iaitu Shamsia Mansoor. Beliau juga pengarah syarikat dan pemegang saham di Allisons Corp Sdn Bhd. Pemegang saham lain dan pengarah syarikat lain (Allisons Corp) ialah Mohamed Salleh Mohd Ali.”

“Kedua-dua Mohamad Salleh Mohd Ali dan Shamsia Mansoor beralamat yang sama di Seksyen 2 Shah Alam. Mengikut maklumat dan juga siasatan yang telah kita buat, mereka ini besar kemungkinan ada pertalian suami-isteri.”

“Jika ikut laporan standard perakaunan, oleh kerana kedua-dua syarikat mempunyai  pengarah yang sama, kedua-dua syarikat (nash ventures dan allisons corp) dianggap syarikat berkaitan kedua-dua pengarah dianggap individu berkaitan.”

Rafizi menambah, ketiga-tiga Integrated Challenger, Allisons Corp dan Nash Ventures juga didaftarkan di alamat sama iaitu No 44A & 48B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013

KUALA LUMPUR, 25 JUN : Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen.