Categories
SELANGOR

Retreat Bangkok tidak ada kaitan dengan Chin Peng

retreat

SUBANG JAYA 23 SEPT : Sesi retreat Exco Kerajaan Negeri di Bangkok tidak ada kaitan dengan kematian bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua @ Chin Peng, tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Retreat itu merupakan sesi perbincangan merangka Pelan Tindakan Lima Tahun melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 Pakatan Rakyat, selain dari merisik pelabur penting dari Thailand, Central Group (CPN) dan mengenalpasti teknologi Industrialized Building System (IBS) untuk membantu pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor.

Bercakap kepada media seusai Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, Abdul Khalid berkata keizinan diperoleh dari DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 September lepas.

“Saya tidak tahu siapa akan meninggal dunia pada Hari Malaysia,” katanya.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia ketika umurnya 88 tahun di Bangkok, Thailand, pada 16 September lepas. Beliau hidup dalam buangan di negara jiran dan tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

Beliau melancarkan perang gerila menentang penjajah British, dan kemudian memerangi Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan pemerintahan komunis sehingga perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua pihak pada 1989.

Leave a Reply

Your email address will not be published.