Categories
NASIONAL SELANGOR

Had layak hadiah anak masuk universiti naik RM3,000 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Sempena Belanjawan Selangor 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

2. Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya.

3. Tanah milik Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dikesan diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan tanah itu tempat pembuangan sampah haram dan penempatan setinggan.

Categories
SELANGOR

Kelayakan hadiah anak masuk universiti naik kepada RM3,000

mb uni  insentifSUBANG JAYA 23 SEPT : Sempena Belanjawan Selangor 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kedudukan kewangan negeri yang kukuh membolehkan pemerkasaan program-program pro-rakyat seperti ini.

“Kita mampu meningkatkan insentif ini berikutan rezab negeri yang semakin bertambah sehingga mencecah hampir RM3 bilion,” katanya dalam majlis perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya.

Skim ini merupakan salah-satu daripada program pro-rakyat dibawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Hadiah RM1,000 diberi kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, untuk memudahkan mereka melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

Setakat ini, jumlah direkodkan mencatatkan lebih RM35.7 juta dibelanjakan dengan kira-kira 35,722 peserta mendapat manfaat dari program Hadiah Anak Masuk Universiti itu.

“Sambutan kepada program ini amat membanggakan dan ia ternyata membawa manfaat besar kepada rakyat Selangor,” tegas beliau.

Categories
SELANGOR

Belanjawan selangor 2014 mesra rakyat

bajet 2014

SUBANG JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, mulai hari ini hingga esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu penting supaya perlaksanaan Belanjawan Selangor 2014 selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat. Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan sesi dialog serupa bagi membincangkan perlaksanaan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pakatan Rakyat.

Maklum balas dari sesi dialog itu dimuatkan dalam Pelan Tindakan Lima Tahun.

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, pensyarah dan lain-lain untuk dibincangkan bagi Belanjawan 2014 Selangor.

“Ia ambil kira kehendak rakyat walaupun mereka tahu sekatan belanjawan melalui hasil negeri antara RM1.4 hingga RM1.6 bilion,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di sini.

Abdul Khalid berkata, penekanan kepada belanjawan berimbang masih menjadi keutamaan pentadbiran beliau. Sebarang program dan pelan tindakan hanya akan dirangka berdasarkan kepada had Belanjawan dan mengikut hasil pendapatan Kerajaan Negeri.

“Belanjawan bagi Selangor ialah belanjawan berimbang dengan tiada perbelanjaan defisit. Apa yang kita hasilkan itu sahaja yang boleh kita gunakan,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mahu meneruskan usaha memuktamadkan pengambil-alihan industri air negeri menjelang Disember tahun ini.

Turut diberi penekanan adalah pengagihan saham-saham air kepada rakyat Selangor sekiranya pengambilalihan ini berjaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata skim air percuma 20 meter padu juga dapat diteruskan 10 tahun lagi dengan pengambil-alihan itu.

Menyedari permasalahan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor akan dirancakkan lagi melalui dasar baru Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH), serta peranan semi-otonomi kepada unit bertanggungjawab di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Antara tujuan lain yang diberi penekanan adalah pembinaan Pengkalan Data Bersepadu bagi semua program-program yang dibiayai Kerajaan Negeri termasuk statistik penerima bantuan dan penerima manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), penyenaraian program-program baru dan butiran penambahbaikan program sedia ada.

Bagi membantu menjana ekonomi usahawan, semua aktiviti dan program keusahawanan akan dipusatkan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri yang menjadi agen sehenti pembangunan keusahawanan setempat, serta menambah daya program-program komuniti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kaji selidik menyeluruh sebelum menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor, yang bertujuan membantu menangani isu-isu pensijilan halal bagi produk-produk tempatan.

Categories
SELANGOR

Retreat Bangkok tidak ada kaitan dengan Chin Peng

retreat

SUBANG JAYA 23 SEPT : Sesi retreat Exco Kerajaan Negeri di Bangkok tidak ada kaitan dengan kematian bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua @ Chin Peng, tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Retreat itu merupakan sesi perbincangan merangka Pelan Tindakan Lima Tahun melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 Pakatan Rakyat, selain dari merisik pelabur penting dari Thailand, Central Group (CPN) dan mengenalpasti teknologi Industrialized Building System (IBS) untuk membantu pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor.

Bercakap kepada media seusai Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, Abdul Khalid berkata keizinan diperoleh dari DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 September lepas.

“Saya tidak tahu siapa akan meninggal dunia pada Hari Malaysia,” katanya.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia ketika umurnya 88 tahun di Bangkok, Thailand, pada 16 September lepas. Beliau hidup dalam buangan di negara jiran dan tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

Beliau melancarkan perang gerila menentang penjajah British, dan kemudian memerangi Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan pemerintahan komunis sehingga perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua pihak pada 1989.