Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembangunan semula ambil kira kepentingan pemilik asal

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menggalakan usaha pembangunan semula rumah-rumah pangsa lama kepada rumah mampu milik dalam usaha memberi persekitaran kediaman yang lebih selesa dan harmoni kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata ada cadangan agar rumah-rumah pangsa lima tingkat seperti di Taman Dagang dirobohkan untuk memberi ruang kepada pembangunan semula pangsapuri-pangsapuri baru 12 tingkat bertaraf Rumah Mampu Milik.

Menurut cadangan tersebut, pemilik-pemilik asal akan menerima unit-unit di pangsapuri-pangsapuri baru dengan keluasan sehingga 1,200 kaki persegi secara percuma. Manakala bakinya akan dibuka untuk orang ramai.

“Dengan cadangan tersebut, lebih ramai penduduk akan dapat membeli rumah mampu milik,”katanya  di satu majlis di Menara MPAJ, Pandan Jaya ketika mengulas cadangan dibina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan DUN Chempaka.

Walau bagaimanapun, Iskandar berpandangan cadangan ini lebih sesuai dilaksanakan oleh pemaju swasta. Mereka bolehlah mengajukan cadangan mereka kepada pemilik-pemilik rumah dan mengadakan rundingan dengan mereka.

“Buat masa ini persetujuan 100 peratus diperlukan daripada pemilik-pemilik rumah sebelum pembangunan semula dapat dilaksanakan.

“Ia juga tertakluk kepada polisi-polisi perancangan seperti yang ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan bagi sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan,”jelas Iskandar.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang projek sewajarnya berteraskan pembinaan rumah mampu milik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.