Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rancangan Tempatan PBT mampu jayakan pembangunan sistematik

RAWANG, 30 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempunyai Rancangan Tempatan (RT) bagi memastikan pembangunan dapat dijayakan dengan lebih sistematik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan bandar khususnya daripada aspek guna tanah harus dilaksana dengan baik sejajar hasrat menjadikan Selangor negeri membangun.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pelbagai dasar dan inisiatif dirancang bagi mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (DRTMPS 2030) di Le Gardens Pavilion di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPS Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan Pegawai Daerah Gombak Shukri Mohamad Hamin.

Sementara itu, Amirudin berkata pandangan dan maklum balas pemegang taruh serta orang awam diperlukan bagi menjayakan rancangan tempatan.

“Saya menyambut baik usaha PBT ini yang merencanakan dekad baharu perbandaran Selayang dan menghasilkan draf rancangan tempatan.

“Dengan publisiti dirancang, saya menyeru seluruh warga Selayang, pemaju dan pemegang taruh untuk memberi cadangan serta sokongan terhadap draf dikemukakan,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

Beri maklum balas Rancangan Tempatan MPKj 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 APR: Orang ramai digalak memberi maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2035 (Penggantian) yang mula dilancarkan, pada hari ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pandangan boleh dibuat melalui pelbagai medium seperti memuat turun aplikasi RTMPKj2035 di telefon pintar yang boleh didapati di Google Playstore.

“Jika mempunyai bantahan, cadangan dan pandangan, ia boleh dipanjangkan kepada MPKj dengan mengisi borang bantahan awam yang disediakan di kaunter pemeriksaan serta aplikasi RTMPKJ2035 juga boleh dihantar melalui serahan tangan, pos, faks atau emel ke [email protected].

“Hebahan berkenaan program publisiti ini juga diuar-uarkan melalui notis akhbar, laman sesawang MPKj, Plan Malaysia dan Plan Malaysia @ Selangor. Majlis juga menyediakan banner, poster dan bunting yang dipasang di seluruh kawasan MPKj,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPKj 2035 (Penggantian), di sini.

Melalui program itu, diadakan pameran berkenaan RT MPKj 2035 yang berlangsung sebulan bermula hari ini hingga 4 Mei 2018, manakala kaunter pemeriksaan akan dibuka setiap hari bekerja, pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Mohd Sayuthi berkata, orang ramai boleh membuat semakan di aplikasi RTMPKj2035 dan kaunter pemeriksaan di lobi MPKj dan Plan Malaysia @ Selangor (JPBD Selangor), Tingkat 16, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

“Diharapkan orang awam seperti pemilik tanah, pemaju hartanah, golongan profesional dan organisasi bukan kerajaan (NGO) membabitkan diri dalam memberikan pandangan serta maklum balas terhadap cadangan MPKj,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembangunan semula ambil kira kepentingan pemilik asal

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menggalakan usaha pembangunan semula rumah-rumah pangsa lama kepada rumah mampu milik dalam usaha memberi persekitaran kediaman yang lebih selesa dan harmoni kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata ada cadangan agar rumah-rumah pangsa lima tingkat seperti di Taman Dagang dirobohkan untuk memberi ruang kepada pembangunan semula pangsapuri-pangsapuri baru 12 tingkat bertaraf Rumah Mampu Milik.

Menurut cadangan tersebut, pemilik-pemilik asal akan menerima unit-unit di pangsapuri-pangsapuri baru dengan keluasan sehingga 1,200 kaki persegi secara percuma. Manakala bakinya akan dibuka untuk orang ramai.

“Dengan cadangan tersebut, lebih ramai penduduk akan dapat membeli rumah mampu milik,”katanya  di satu majlis di Menara MPAJ, Pandan Jaya ketika mengulas cadangan dibina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan DUN Chempaka.

Walau bagaimanapun, Iskandar berpandangan cadangan ini lebih sesuai dilaksanakan oleh pemaju swasta. Mereka bolehlah mengajukan cadangan mereka kepada pemilik-pemilik rumah dan mengadakan rundingan dengan mereka.

“Buat masa ini persetujuan 100 peratus diperlukan daripada pemilik-pemilik rumah sebelum pembangunan semula dapat dilaksanakan.

“Ia juga tertakluk kepada polisi-polisi perancangan seperti yang ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan bagi sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan,”jelas Iskandar.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang projek sewajarnya berteraskan pembinaan rumah mampu milik.