Categories
SELANGOR

Teng – KDN, PDRM diminta kaji peranan polis bantuan

polisSHAH ALAM 1 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi digesa untuk mengkaji semula cadangan meluaskan peranan dan kuasa Polis Bantuan (PBT) untuk membantu menjaga keamanan di kawasan kediaman dan komersil.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata keselamatan rakyat perlu diutamakan terutama dengan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini.

“Kerajaan Negeri berharap Kementerian Dalam Negeri dan polis dapat mengkaji semula cadangan mereka. Sebenarnya yang memerlukan kawalan polis adalah kawasan kediaman dan juga perniagaan, bukan di pejabat kerajaan.

“Pejabat kerajaan tidak perlu diletakkan di dalam senarai keutamaan yang tertinggi kerana semua pejabat kerajaan sudah mempunyai pengawal keselamatan. Sementara itu yang menjadi rungutan orang ramai adalah kadar jenayah kelihatan meningkat kerana kekurangan rondaan anggota polis,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Dari segi jumlah bilangan anggota polis bantuan, Teng berkata, ia bergantung kepada keupayaan dan keperluan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengambil kira kepadatan jumlah penduduk di kawasan seliaannya.

“Seperti di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, mereka mempunyai peruntukan kewangan lebih selesa dan memandangkan kepadatan penduduk di kawasan ini adalah tinggi maka adalah wajar mereka menggunakan lebih ramai polis bantuan berbanding dengan kawasan yang kurang padat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.