Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Ke arah Malaysia lebih adil, saksama dan bersatu padu

Tarikh 16 September 1963 menyaksikan negeri-negeri Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung yang telah merdeka pada 31 Ogos 1957, berpadu di dalam suatu permuafakatan besar negara kesatuan Malaysia.

Prinsip dan semangat Persekutuan telah dipersetujui untuk menjadi penyatu dan bumbung yang memayungi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kita juga menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat Malaysia yang adil, saksama dan bersatu padu.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Sudah tentu peristiwa bersejarah ini memberi kita kesempatan untuk mengimbau dan menyingkap peristiwa bersejarah terkait pembentukannya tanpa disisihkan perjuangan dan pengorbanan mana-mana pejuang dari pelbagai kaum, pemikiran dan aliran politik yang bergolok gadai segalanya demi nikmat yang kita kecapi hari ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Tarikh ini juga seharusnya dimaknai dengan iltizam dan tekad yang menjurus kepada perpaduan antara kaum dan agama serta kebersamaan dalam keluarga besar Malaysia ini tatkala kita telah melangkaui separuh abad kemerdekaan negara.

Kecurangan dan keangkuhan pimpinan lalu yang meremehkan Perlembagaan dan menginjak prinsip-prinsip demokrasi tidak harus diulangi. Dengan asas ini juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang ditegaskan Perlembagaan, sewajarnya menjadi penghubung dan alat penyatuan buat semua bangsa dan kaum di Malaysia.

Ia juga adalah bahasa peradaban yang luhur, bahasa perdagangan, dan pernah menjadi ‘lingua franca’ serantau yang melatari kurun ke-15 sehingga pertengahan kurun ke-19.

Penekanan terhadap penggunaan dan penguasaannya harus diberikan keutamaan, selain upaya untuk membuang syak wasangka segelintir pihak yang melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyubur faham rasisme dan rasa curiga antara kaum. Sebaliknya, ia adalah milik anak semua bangsa di negara ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Menyentuh perihal hubungan antara kaum, toleransi kaum dan agama sewajarnya dibenih, disemai dan didukung sebagai perkakas dan pemampan kepada kacau bilau dan kebencian yang ditimbulkan sesetengah pihak yang tidak ada matlamat lain selain huru hara dan ketidakstabilan.

Kesiapsiagaan kita dalam menangani cabaran ini harus ditingkatkan melalui pelbagai usaha, selain dukungan tanpa berbelah bahagi kita terhadap Perlembagaan Persekutuan.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Semoga segala upaya dan usaha kita dalam mengekalkan dan melindungi keluarga besar Malaysia ini diredhai dan diberkati Tuhan.

Bersempena sambutan Hari Malaysia ini, saya mewakili keluarga dan KEADILAN seluruhnya mendoakan permulaan yang baharu buat negara tercinta ini. Semoga ia kekal aman dan toleran.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Dirgahayu Malaysiaku!
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
OLEH: DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Categories
KENYATAAN MEDIA RENCANA SELANGOR

PRK DUN Balakong & Seri Setia: Lima faktor peratusan mengundi bawah 50%

Pilihan Raya Kecil (PRK)  N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan PRK N.27 DUN Balakong dilaksanakan pada 8 September lalu dengan peratusan turun mengundi kedua-duanya di bawah paras 50 peratus (%).

PRK Seri Setia mencatatkan peratusan turun mengundi 44% manakala bagi DUN Balakong adalah 43%. Tiga PRK yang berlangsung pasca PRU14 termasuk PRK Sungai Kandis memperlihatkan peratusan turun mengundi adalah di bawah 50%.

Peratusan turun mengundi di bawah 50% pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di Malaysia adalah di PRK Penanti, padatahun 2009 .

Namun, senario PRK ini berlainan disebabkan parti Barisan Nasional tidak menghantar calon.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebagai parti yang bertanding masih dalam kolisi bersama PAS hanya ditentang tiga calon bebas. Keputusan pilihan raya memihak kepada kepada KEADILAN.

Analisis mikro berdasarkan daerah mengundi memperlihatkan kemenangan disumbangkan oleh gabungan ahli pembangkang ketika itu yang terdiri daripada KEADILAN, PAS dan DAP. Suasana ketika itu berbeza dengan suasana kini pasca PRU 14.

Institut Darul Ehsan (IDE) terbabit secara langsung membuat penyelidikan dan pemerhatian dalam PRK Seri Setia termasuk menghantar wakil berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati bebas.

IDE menghantar tiga sukarelawan enumerator di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Seri Setia berjumlah 20 daerah mengundi. Seramai 80 enumerator terbabit di lapangan.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan analisis IDE mendapati peratusan keluar mengundi di kedua-dua PRK khususnya di DUN Seri Setia disebabkan beberapa faktor berikut:

PERTAMA: Kesan Persempadanan Pilihan Raya PRU14[i]

Analisis awal IDE berkaitan PRK Sungai Kandis, peratusan turun mengundi 49% disumbangkan oleh faktor pengundi tidak perasan atau sedar bahawa mereka terbabit dalam PRK berkenaan.

Faktor persempadanan baru menjadikan geografi kawasan berubah apabila tujuh daerah mengundi baru dimasukkan di DUN Sungai Kandis. Hal yang sama berlaku di DUN Seri Setia apabila satu daerah mengundi dari N.40 Kota Anggerik iaitu Taman TTDI Jaya dan dua daerah mengundi dari N.39 Kota Damansara iaitu Taman Glenmarie dan Ara Damansara dimasukkan pada PRU14.

Tiga daerah mengundi itu sebenarnya membabitkan 94 lokaliti yang terdiri dari taman perumahan, kampung, flat dan kawasan kediaman. Persempadanan terakhir berlaku pada 2004 iaitu PRU11.

Oleh itu, pengundi melalui tiga pilihan raya sejak 14 tahun lalu tanpa persempadanan baru. Pengundi turun mengundi pada 9 Mei lalu, mengundi bukan kerana dia tahu Parlimen atau DUN berkaitan tetapi turun mengundi atas semangat pilihan raya dan proses demokrasi.

Oleh itu, inovasi baru wajar diterokai seperti negara lain umpama Indonesia, UK dan US yang mempunyai kaedah mengundang pengundi datang dengan surat, kad atau pesanan telefon untuk turun mengundi.

 

KEDUA: Dihantui persepsi negatif terhadap proses pilihan raya Mei 2018.

Komen masyarakat awam khususnya yang berumur mempunyai impak psikologi apabila masih ‘trauma’ dengan situasi yang berlaku dalam PRU14.

Suasana keluar mengundi PRU14 di kebanyakan tempat cukup luar biasa hingga pengundi terpaksa beratur panjang, suasana panas, dan saluran yang mungkin tidak sesuai khususnya, di waktu puncak.

Respon yang diterima IDE, masyarakat rasa letih dan takut untuk beratur panjang. Pengalaman negatif yang mereka lalui ketika PRU14 masih menghantui pengundi.

KETIGA: Persepsi psikologi pengundi yang merasa “segalanya ok!” (complacent feel good factor)

Hasil kajian IDE sejak 2016 mengkaji persepsi pengundi dalam siri survei yang dijalankan, IDE membahagikan pengundi kepada tiga kategori iaitu pengundi ahli parti berdaftar, pengundi penyokong dan pengundi atas pagar. ‘Trend’ ini jelas wujud dalam penyelidikan yang dijalankan.

Pengundi yang turun mengundi kebanyakannya pengundi berumur 40  ke 60 tahun terdiri dalam kalangan ahli parti dan penyokong tegar parti.

Survei IDE sebelum ini, Survei Mood Rakyat #Mood of the Nation dan Survei Persepsi Rakyat Selangor (5 Siri) yang dijalankan pada tahun 2017 dan 2018, mendapati sekitar 25% sahaja pengundi Selangor berdaftar sebagai ahli parti.

Kebanyakan pengundi atas pagar yang ditemui merasakan mereka tiada objektif besar terhadap PRK kali ini dan menjangkakan Pakatan Harapan akan menang.

Pengundi dalam kategori ini merasakan mereka tiada motivasi khusus untuk keluar pengundi kerana Pakatan Harapan kekal memerintah Selangor dan seterusnya Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) berubah daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.

Perubahan yang berlaku selepas 60 tahun ini menjadikan motivasi masyarakat seolah-olah mereka tiada motivasi khusus untuk menukar kerajaan.

Persepsi ini memberi tanda aras bahawa masyarakat masih memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk terus memperjuangkan isu rakyat. Persepsi ini jelas berlaku di PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Faktor persempadanan tidak banyak menjejaskan PRK Balakong, tetapi faktor ini antara faktor utama yang menyumbang kepada persepsi pengundi.

Rakyat masih menilai perjuangan yang bakal dibawa oleh Umno/Barisan Nasional, MCA dan PAS sebagai pembangkang dan juga menilai Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

KEEMPAT: Tarikh PRK tidak sesuai dengan mood cuti panjang.

Pelbagai lapisan masyarakat di DUN Seri Setia dan DUN Balakong khususnya, sudah merancang cuti luar kawasan sejak awal memanfaatkan cuti panjang dalam tempoh tiga minggu ini hingga ke cuti sambutan Hari Malaysia 16 September 2018, minggu hadapan.

Pemerhatian dan temuduga yang dijalankan kepada petugas parti, memberikan respon bahawa mereka mendapati penghuni rumah sekitar lokaliti daerah mengundi ada yang kosong kerana pergi bercuti.

Wajar SPR untuk menilai dan mempertimbangkan suasana sesuai untuk mengadakan pilihan raya dengan mendapat maklum balas daripada parti utama yang bakal bertanding.
Faktor keempat ini menyebabkan PRK Balakong dan Seri Setia peratusan mengundi berbeza 5% ke 6% jauh lebih rendah daripada PRK Sungai Kandis.
Tempoh berkempen 21 hari juga memenatkan jentera pilihan raya yang sukar untuk secara konsisten bermotivasi tinggi berkempen dalam tempoh terbabit.

KELIMA: Suasana Pengundian Lembah Kelang yang terdiri dari penduduk Bandar dan Pinggir Bandar.

PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia dan PRK Balakong adalah sebahagian besar demografi dan geografi penduduknya boleh dikategorikan sebagai pengundi bandar serta pinggir bandar.

Demografi masyarakat berdekatan dengan ibu kota adalah masyarakat yang digolongkan sebagai ‘smart voters’ yang tidak mudah bergantung kepada sentimen semata-mata.

Justeru, psikologi pengundi sedemikian mudah dipengaruhi dengan faktor yang dinyatakan, di atas. Mereka ini adalah pengundi yang saban hari mudah menerima pendedahan isu politik daripada media cetak, elektronik dan media sosial.

Psikologi mereka juga mungkin sudah muak untuk ‘berpolitik’ dalam suasana PRU14 baru berlalu, dalam masa tiga bulan. Peratusan turun mengundi di PRK lain sebagai contoh PRK Sungai Besar (74%), PRK Kuala Kangsar (71%), PRK Teluk Intan (67.4%), PRK Rompin (73%), PRK Sungai Limau (85.5%). Semua PRK yang dinyatakan di atas, demografi dan geografi penduduk berlainan dengan tiga PRK ini iaitu di luar Lembah Kelang.

Berdasarkan penelitian ini, pelbagai pihak sama ada parti politik atau Suruhanjaya Pilihan Raya khususnya wajar membuat ‘post-mortem’ untuk menilai kembali isu yang timbul termasuk cara pengendalian PRK kali ini untuk ditambahbaik, pada masa akan datang.

Walaupun wujud faktor yang sudah dinyatakan memberi kesan kepada penurunan peratusan keluar mengundi, Pakatan Harapan diwakili Halimey Abu Bakar masih mampu meraih kemenangan dengan mendapat 58.60% undi iaitu 13,725 undi, manakala Dr Halimah Ali daripada PAS mendapat 9698 atau 41.40% undi daripada 23,423 pengundi.

PRK DUN Balakong menyaksikan Wong Siew Ki (DAP) mendapat majoriti 18,533 undi walaupun kadar turun mengundi dicatatkan hanya 42.97%. Asas utama yang membawa kemenangan ini adalah calon anak tempatan antara faktor penyumbang utama.

IDE akan turut membuat analisis berkaitan dengan keputusan PRK yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini.

KUMPULAN PENYELIDIK INSTITUT DARUL EHSAN (IDE)

Kluster Penyelidikan Institut Darul Ehsan diketuai oleh Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. (Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh diajukan kepada En Khairul Arifin Mohd Munir, Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, [email protected]).

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Gangguan bekalan air sementara di Pulau Ketam

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli Kumpulan Air Selangor, ingin memaklumkan insiden paip dasar laut di jajaran Terusan Bagan yang menyalurkan bekalan air ke Pulau Ketam, Bagan Teo Chew dan Sungai Lima telah pecah.

Tindakan perlu sedang diambil bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan. Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak kami juga akan menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada penduduk yang terjejas.

Tempoh masa pembaikan dan pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini dan penduduk akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Untuk maklumat dan status terkini, sila rujuk www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit pintar “Air Selangor” atau hubungi kami di talian 15300 untuk bantuan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Meneruskan tradisi membela rakyat

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Alhamdulillahirabbilalamin. Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas kesihatan dan kekuatan untuk hari yang ke-14 hari berkempen, hari ini bagi PRK N32.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada pihak media dan sukarelawan yang masih setia berusaha menyampaikan maklumat yang terbaik kepada masyarakat.

1. Pada peringkat awal perjuangan reformasi, agenda utama perjuangannya ialah untuk menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat. Perjuangan ini telah disepakati secara konsensus di kalangan pemimpin, berdasarkan keperluan untuk melihat rakyat khususnya di Selangor dapat menikmati tahap kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

2. Seyogia diingatkan bahawa dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pemilik sebenar bagi sesebuah negara itu adalah rakyat. Begitu juga realitinya yang berlaku di negara ini. Rakyat memegang kuasa, manakala pemimpin pula hanyalah pemegang amanah yang dipilih oleh rakyat berdasarkan tempoh perkhidmatan yang tertentu.

3. Seawal pentadbiran negeri Selangor bertukar tampuk kepemimpinan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), kerajaan telah memperkenal dan melaksanakan satu program dikenali MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR. Falsafah utama program itu adalah menguruskan hal ehwal pentadbiran dan hasil kerajaan negeri dengan penuh telus dan berintegriti.

Pelan pelaksanaan program Merakyatkan Ekonomi Selangor itu dijayakan oleh pentadbir utama negeri seperti Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) dengan penuh amanah. Hasilnya sungguh memberangsangkan, apabila rizab simpanan kerajaan negeri melonjak secara mendadak daripada RM1.2 billion kepada RM3.6 billion. Peningkatan itu berterusan sehinggalah ke hari ini.

4. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, lebihan hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat untuk dinikmati secara adil. Ia disalurkan dalam bentuk program kebajikan, pendidikan, bantuan perniagaan dan lain-lain yang memberi faedah dan manfaat kepada golongan marhaen. Kini program itu dikenali sebagi program INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR) dan masih mengekalkan objektif dan fungsinya untuk membantu rakyat di negeri ini.

Menariknya IPR yang disediakan untuk rakyat negeri Selangor adalah bermula dari lahirnya seorang anak Selangor; iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), sehingga ke akhir usianya; iaitu Skim Mesra Usia Emas.

5. Suka saya menyatakan di sini bahawa bagi memastikan kelangsungan kesemua program berkenaan, saya berjanji untuk memberi komitmen di tahap tertinggi bagi memastikan kesemua polisi kerajaan itu dapat berjalan lancar. Ini termasuklah melaksanakan program IPR secara lebih berkesan di DUN SERI SETIA ini.

Saya juga akan memastikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN SERI SETIA dapat digembleng secara aktif supaya lebih ramai masyarakat dapat menikmati faedah yang ditawarkan menerusi program dan polisi kerajaan negeri itu.

6. Peranan Pusat Khidmat Masyarakat DUN ini juga akan ditambahbaik menjadi pusat sehenti yang bertindak menjadi pengantara di antara kerajaan dan rakyat.

7. Saya percaya piagam pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang sentiasa mengutamakan hal-hal kebajikan menerusi konsep PEDULI RAKYAT, akan menjadikan negeri ini bertambah maju dan rakyatnya pula akan mencapai tahap kehidupan yang lebih berdaya saing dan cemerlang berbanding era pentadbiran sebelumnya.

8. Sehubungan itu, marilah kita khususnya pengundi DUN SERI SETIA bersama-sama mengukuhkan lagi iltizam untuk terus bersama kerajaan PAKATAN HARAPAN.

Justeru, saya mohon dan merayu satu undi yang dimiliki oleh semua penggundi untuk menggundi Pakatan Harapan pada 8 September ini.

 

HALIMEY BIN ABU BAKAR
No. 1, Calon Pakatan Harapan

Dikeluarkan oleh
Sekretariat Media
Bilik Gerakan Utama PH
PRK N32 Seri Setia

#memacukesejahteraanbandar
#halimey4serisetia

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Perutusan Hari Merdeka oleh DSAI

 

31 Ogos adalah suatu tarikh keramat dan bermakna buat seluruh warga Malaysia rentas kaum, agama, mazhab dan perbedaan politik.

Merdeka tidak hanya bebas daripada kerakusan imperialisme Barat, tetapi juga keazaman kita dalam mengisinya dengan nilai-nilai sejagat yang inklusif, sejajar dengan semangat Malaysia baharu dalam memaknai demokrasi, keadilan dan kemuliaan insan.

Martabatkan sambutan dengan memperkemas iltizam dan terus memupuk rasa cinta pada negara, perpaduan dan kebersamaan dalam keluarga besar Malaysia.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Perutusan Hari Kebangsaan ke-61 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke 61 pada kali ini.

Tarikh keramat 31 Ogos membawa kita merenungi kembali makna kemerdekaan.

Kira-kira pada detik ini 61 tahun yang lalu, bendera Union Jack telah diturunkan buat kali terakhir di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menandakan berakhirnya pemerintahan British di tanah air kita.

Detik ini adalah permulaan buat sebuah negara yang kini mempunyai penduduk sejumlah 32 juta orang yang berbilang kaum, agama, etnik dan kepercayaan.

 

Apakah makna sebenar Hari Kebangsaan bagi kita rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor, negeri yang berbilang kaum dan budaya, pusat pembangunan ekonomi Malaysia?

Hari Kebangsaan adalah hari yang signifikan bukan sahaja diisi dengan perarakan, percikan bunga api dan juga kibaran bendera sahaja namun ia adalah simbol kebebasan dan pengorbanan yang harus kita insafi.

Perjalanan 61 tahun ini bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata. Perjuangan para perajurit kita menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan.

Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang harus kita pertahankan dengan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu bangsa Malaysia.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ke 61 tahun ini adalah manifestasi semangat rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018.

Kebebasan yang dinikmati selama 61 tahun ditambah dengan kejayaan menumbangkan rejim kleptokrat adalah bukti kesepaduan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa.

Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan sejahtera adalah asas prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia.

Kini, marilah sama-sama kita mengembleng tenaga merancakkan pembangunan ekonomi negara serta memfokuskan kepada agenda pentadbiran untuk kembali membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Kejayaan negeri Selangor menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017 dengan angka 23 peratus adalah bukti kerjasama yang era tantara kerajaan dan rakyat dalam memakmurkan negeri.

Kejayaan ini telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan membawa Selangor menjadi mercu tanda ekonomi Malaysia.

Mandat rakyat yang besar dan jelas pada Pilihanraya ke 14 telah membuktikan bahawa prinsip pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang telus, adil dan berintegriti disenangi rakyat tidak kira kaum, agama dan peringkat umur.

Mendepani cabaran yang mendatang, saya ingin mengajak ketumbukan rakyat, agensi kerajaan, pihak swasta dan korporat agar kita dapat maju bersama dalam misi menjadikan Selangor ‘Lembah Kemakmuran’ buat setiap rakyatnya.

Kejayaan yang kita kecapi hari ini tidak bermakna jika ada yang masih terpinggir dan tersisih. ‘Keluarga besar’ Negeri Selangor ini adalah tunjang utama dalam memastikan hasil dan kejayaan negeri dinikmati oleh semua.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas dan anggota keselamatan yang telah menabur bakti demi mempertahankan ibu pertiwi.

Tanpa jasa mereka, keamanan yang kita nikmati hari ini tidak akan terhasil. Budi dan khidmat bakti menjadi contoh kepada generasi muda mengenai erti sebenar kemerdekaan.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke 61 ! Sayangi Malaysiaku !

 

YAB Tuan Amirudin bin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor

30 Ogos 2018

Categories
KENYATAAN MEDIA

Memantapkan agenda Reformasi

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Alhamdulillah. Saya Halimey Abu Bakar calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil N32 DUN Seri Setia, sekali lagi mengucapkan syukur kepada Ilahi atas kesihatan dan keupayaan yang dikurniakan kepada saya hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak media dan sukarelawan yang membantu rapat dalam member sokongan kepada saya serta mendoakan saya dalam meneruskan perjalanan ini.

Secara ringkas, agenda reformasi adalah bertujuan membuat perubahan dan pembaikan ke atas sistem lama kerajaan terdahulu yang dilihat pincang dan menyimpang daripada perjuangan membela rakyat dan negara.

Penyertaan saya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula adalah untuk menyokong agenda reformasi yang diilhamkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dengan terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan negeri, saya secara peribadi menyokong sepenuhnya agar agenda reformasi ini dapat dijadikan realiti.

1. Teras pelaksanaan agenda reformasi berfungsi untuk menegakkan sebuah kerajaan yang adil, telus dan berintegriti. Bagaimanapun, amalan rasuah sebelum ini telah banyak menyebabkan kerosakan sistem di dalam negara.

Oleh itu, saya amat menyokong usaha berterusan membanteras rasuah dan pelakunya pula dikenakan hukuman berat.

Prinsip menegakkan keadilan juga adalah merupakan sebahagian daripada ajaran yang dianjurkan dalam Al-Quran.

Konsep keadilan ini meliputi KEADILAN HUKUM, KEADILAN SOSIAL dan KEADILAN EKONOMI.

Bagi mendapatkan KEADILAN HUKUM, juga diingatkan supaya sistem kehakiman perlulah bebas daripada campur tangan politik. Ia seharusnya menepati prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif dan legislatif kehakiman.

2. Begitu juga prinsip KEADILAN EKONOMI.

Perlu difahami bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum atau latar belakang budaya dan agama adalah berhak untuk menikmati kekayaan negara.

Faedah daripada hasil ekonomi negara ini harus diagih secara adil dan tidak berpilih.

Sehubungan itu, di peringkat DUN Seri Setia, saya akan terus memperjuangkan prinsip pengagihan kekayaan ekonomi negara ini supaya ia dilakukan dengan telus dan tanpa prejudis.

Kita tidak boleh membiarkan kekayaan negara hanya dinikmati oleh segolongan tertentu sahaja.

Sebagai contoh, saya menyokong penuh agar setiap tender bagi sebarang projek kerajaan dilaksanakan mengikut sistem terbuka.

 

Malah saya berpandangan Akta Anti Monopoli juga perlu diwujudkan untuk mengawal agar pengagihan kekayaan negara dapat dilakukan dengan adil.

 

3. Begitu juga berkaitan KEBEBASAN MEDIA

 

Saya melihat agenda reformasi perlu dilaksanakan supaya media bebas menjalankan tanggungjawabnya sebagai suara ketiga dalam sistem semak dan imbang.

Media tidak boleh diletakkan di hujung telunjuk sehingga mereka gagal berperanan sebagai medium yang bebas melaporkan maklumat kepada orang ramai.

Malah pada hari ini, media sosial turut menjadi wadah terpenting rakyat sebagai ‘mata-mata’.Jika kebebasan media dibunuh, maka rakyat dan negara juga akan menjadi korban akhirnya.

 

4. Sementara itu, saya juga menyokong supaya sistem yang diamalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut direformasikan. Ini bertujuan untuk menambah baik amalan dalam demokrasi, terutama dalam proses memilih barisan kepemimpinan yang baik di seluruh negara.

 

5. Pelantikan ahli lembaga SPR pula hendaklah terdiri daripada kalangan tokoh daripada pelbagai parti yang ada. Begitu juga perbuatan memanipulasi daftar pemilih dan sistem pilihan raya yang kurang telus. Semua ini memerlukan pembaikan menerusi agenda reformasi yang dimaksudkan.

 

6. Menjunjung usaha untuk melaksanakan agenda reformasi, saya juga ingin mengulangi iltizam saya untuk terus menjadi pemimpin PEDULI RAKYAT.

Saya telah mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin yang jujur dan berani membawa suara rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibincang dan dibahas bagi mencari keputusan yang terbaik, khususnya untuk pengundi di DUN SERI SETIA.

 

Setiap masalah pengundi di kawasan ini tidak akan diabaikan. Usaha akan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Saya menjunjung prinsip ini kerana sifat peduli kepada rakyat juga adalah sebahagian daripada amanah yang mesti dipikul apabila kita dilantik menjadi seorang pemimpin.

 

7. Akhir sekali saya berikrar untuk terus memperjuangkan dasar-dasar baik dan pelaksanaan agenda reformasi kerajaan PAKATAN HARAPAN Selangor, demi memastikan rakyat khususnya di DUN Seri Setia dapat merasai nikmat ‘kemerdekaan’ selepas kerajaan terdahulu ditumbangkan.

 

Bersama ikrar dan iltizam ini, saya sekali lagi saya mohon dan merayu satu undi yang dimiliki oleh semua penggundi untuk menggundi Pakatan Harapan pada 8 September ini.

 

 

HALIMEY BIN ABU BAKAR

No. 1, Calon Pakatan Harapan

 

Dikeluarkan oleh
Sekretariat Media
Bilik Gerakan Utama PH
PRK N32 Seri Setia

Categories
KENYATAAN MEDIA

Meningkatkan pembangunan komuniti bagi melahirkan masyarakat lebih sejahtera

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

بسم الله الرحمن الرحيم

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada yang Maha Esa atas ruang dan peluang yang masih diberikan kepada kita semua sehingga hari ini.

 

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak media dan sukarelawan yang masih bersama-sama dengan saya sehingga hari ini.

 

1. Kehidupan di bandar, terutama di kalangan masyarakat penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran hidup.
Mereka sering terbelenggu di dalam masalah sosioekonomi kerana latar belakang kehidupan mereka yang rata-rata asalnya adalah kelompok masyarakat berpendapatan rendah.

 

Selain terdedah kepada masalah ekonomi seperti dibuang kerja, bebanan hutang dan kos sara hidup yang tidak sepadan, mereka juga berdepan impak sosial dan jenayah seperti perceraian, penyalahgunaan dadah, vandalisme, meminum minuman keras serta perjudian dan mencuri.

 

2. Sedar bahawa keadaan ini perlu diperbetulkan, saya mencadangkan penubuhan “Pusat Kaunseling Komuniti” di seluruh kawasan DUN Seri Setia.
Walaupun setakat ini ada Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), menawarkan khidmatnya di PPR Lembah Subang, saya mendapati ia masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

 

3. Bagi tujuan menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan berkaitan kaunseling, saya juga sedang merangka Program Latihan Kaunseling kepada pemimpin masyarakat seperti ahli jawatankuasa (AJK) masjid, ketua komuniti bukan Islam dan AJK persatuan penduduk.

 

Usaha ini saya anggap akan dapat membantu di peringkat awal bagi mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat setempat. Terutama untuk meredakan tekanan emosi yang mereka hadapi ekoran berdepan pelbagai dugaan dan cabaran hidup.

 

4. Program Pembangunan Komuniti bagi melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera juga akan melibatkan peranan Pusat Khidmat Masyarakat.
Melaluinya, Pusat Khidmat Masyarakat ini akan menyedia dan menawarkan khidmat kaunselor bertauliah, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

 

Kita tidak boleh memandang ringan masalah membabitkan emosi kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah sampingan lain jika tidak ditangani dengan segera.

Malah laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk sedang berdepan gangguan dari segi psikologi. Bak kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

 

Kita juga akan berusaha untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dengan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), juga Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) serta beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merangka dan menjalankan program-program ini.

 

5. Pada masa yang sama, saya turut bercadang menyediakan “Talian Khas” bagi mengendalikan masalah yang dihadapi penduduk setempat, terutama berkaitan kecemasan dan perkara yang memerlukan tindakan segera.

 

6. Saya sedar bahawa isu utama dalam kelompok komuniti yang menghuni kediaman PPR adalah rumit dan perlu ditangani secara santun. Ini kerana dari sudut sosioekonomi ia turut melibatkan isu perpaduan.

Masalah yang berlaku mesti diberi perhatian dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan keharmonian hidup di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

7. Oleh itu, sebagai pemimpin setempat berilah saya peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Saya berjanji akan menangani masalah yang dihadapi warga PPR khususnya di seluruh kawasan DUN Seri Setia, termasuk PPR di Lembah Subang ini.

Marilah bersama saya untuk membangunkan sebuah komuniti yang di dalamnya ada kehidupan yang tenang, stabil, tenteram serta berkasih sayang tanpa dibatasi oleh perbezaan bangsa dan agama.

 

Justeru itu, sekali lagi saya menyeru pengundi DUN N32 Seri Setia, keluarlah mengundi beramai-ramai dan pilihlah saya sebagai calon Pakatan Harapan pada 8 September nanti.

Dan saya akhiri sidang media pagi ini dengan takbir raya bersama-sama.

 

HALIMEY BIN ABU BAKAR

No. 1, Calon Pakatan Harapan

 

Dikeluarkan oleh
Sekretariat Media
Bilik Gerakan Utama PH
PRK N32 Seri Setia

 

#memacukesejahteraanbandar
#halimey4serisetia

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Prof Dr Shaharuddin permata yang dirindui

Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang dilahirkan pada 19 September 1962 merupakan sorang pemimpin yang amat disegani dalam bidang pendidikan sains politik.

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini merupakan pakar dalam politik semasa dalam dan luar negara, perbandingan politik Islam dan Barat, politik pilihanraya serta politik sektor ketiga.

Jika kita menyelusuri latar belakang pendidikannya, beliau bukanlah seseorang yang biasa. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik di Roosevelt University pada tahun 1992 dan kemudiannya menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Malaya dalam bidang Islam dan Demokrasi.

Beliau mula menceburi bidang pendidikan apabila mula bergelar pensyarah di Institut Teknologi MARA (yang kini dikenali sebagai UiTM) pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai pendidik sehingga tahun 2013.

Bermula pada pertengahan tahun 2015, beliau diberi mandat sebagai Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) di Universiti Selangor (UNISEL).

Sejak memasuki UNISEL, pelbagai dasar baharu diperkenalkan oleh beliau antaranya kebebasan kepada pelajar untuk berpolitik di dalam kampus, menyediakan kemudahan kepada pelajar, peluang membina rangkaian selain berjaya membentuk sahsiah pelajar menerusi beberapa teras dan memperkenalkan konsep “LIVES” yang meliputi kepimpinan, pengantarabangsaan, sukarelawan, keusahawanan dan sukan.

Sepanjang berada di UNISEL, pelbagai pembaharuan telah dilakukan oleh beliau terutama sekali dari segi pembangunan hal ehwal pelajar dan program-program jaringan dengan masyarakat setempat.

Unit seperti Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) ditubuhkan dalam usaha untuk menjadikan warga UNISEL sebagai warga kampus yang prihatin.

Pelbagai program dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau seperti program sukarelawan dan keusahawanan yang melibatkan hampir kesemua pelajar-pelajar dan kakitangan universiti.

Apa yang lebih menarik, di bawah kepimpinan beliau jugalah UNISEL telah berjaya menerima Dana Pengantarabangsaan daripada Kerajaan Negeri Selangor dimana para pelajar diberi peluang untuk membina jaringan antarabangsa di beberapa buah negara antaranya Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Australia, Korea Selatan, Kazakhstan dan negara-negara sekitar.

Setelah hampir tiga tahun berkhidmat di UNISEL, pada 24 Mac 2018, beliau telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dalam bidang pendidikan untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bidang politik.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, beliau berjaya memenangi kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon-calon lain dengan 29,250 undi.

Pembabitan beliau dalam bidang politik tidak berakhir disitu apabila beliau terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Beliau amat terkenal dengan sikap rendah diri dan merupakan seorang pemimpin amat disegani dan disenangi oleh masyarakat setempat.

Dan, hari ini tanggal 2 Ogos 2018, Khamis Prof. Dr. Shaharuddin menghembuskan nafas terakhir pada 6.28 petang di Hospital Putrajaya.
Sesungguhnya berita ini amat memilukan bagi sesiapa sahaja yang pernah mengenalinya kerana

Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin adalah permata yang tidak ternilai harganya.

Salam Takziah & Al-Fatihah.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB: Kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Selangor

Saya telah menerima berita yang amat mendukacitakan bahawa YB Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Dan Pembangunan Modal Insan telah meninggal dunia sebentar tadi jam 6.28 petang tadi Hospital Putrajaya.

Allahyarham juga merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Seri Setia.

Allahyarham merupakan seorang ahli akademik yang terkemuka dan telah banyak berjasa kepada bidang pendidikan.

Allahyarham telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi MARA dan turut merupakan Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).

Jasa dan pengorbanan beliau sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai.

Allahyarham juga merupakan sahabat rapat saya dan rakan seperjuangan dalam politik.

Genap sebulan setelah pemergian Allahyarham Hj. Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan.

Sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN, Allahyarham banyak berkongsi pendapat hasil pengalaman luas sebagai aktivis semasa di dalam pergerakan ABIM.

Dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Allahyarham semasa hayat beliau, pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor.

Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Prof. Shaharuddin Badaruddin atas pemergian ini.

Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah.

 

Al Fatihah

 

YAB Tuan Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor.

2 Ogos 2018/20 Zulkaedah 1439H

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Perletakan jawatan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad

“Pelaksanaan penstrukturan semula.”

Perletakan jawatan Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad akan membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional tersebut.

Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima tawaran perletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah kerana “langkah ini membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru yang sedia ada.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru, atau memindahkan mereka ke syarikat lain, atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat.

Beliau juga mengatakan bahawa Kerajaan bukan di dalam proses membalas
dendam.

“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salahlaku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan.

“Perletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan dari pentadbiran sebelum ini. Kami percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta.

Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan.”

Mengenai laporan yang mengatakan RM2 billion telah terhapus dari Bursa Malaysia, Dr Mahathir menekankan bahawa jumlah kerugian atas kertas tersebut tidaklah sebesar bebanan hutang RM1 trillion yang diwarisi dan sekarang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh Kerajaan.

“Jumlah hutang RM1 trillion tersebut adalah nyata dan benar, dan jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan. Sebahagian besar dari jumlah ‘pelaburan’ yang dilakukan oleh Kerajaan terdahulu belum dapat diperolehi semula kerana kita tidak tahu di mana wang tersebut telah pergi.”

Mengenai komen mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap polisi Kerajaan Pakatan Harapan “berundur ke era masa lalu”, Dr Mahathir bertanya jika rakyat mahu kembali ke era pentadbiran Najib? “Era masa lalu adalah era di mana Malaysia terkenal sebagai Harimau Asia.

Adakah beliau (Najib) mahu membawa rakyat ke era di mana negara ini dikenali sebagai kleptokrasi dan diketuai oleh seorang kleptokrat?

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 JULAI, 2018

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

ABIM gesa ahli parlimen lebih matang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat sikap serta mutu perbahasan yang dipamerkan sesetengah ahli Dewan Rakyat ketika sidang Parlimen ke-14 berlangsung pada hari ini. Insiden tersebut amat memprihatinkan kerana permulaan sidang Parlimen ke-14 sangat penting untuk rakyat menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.
Atas dasar tersebut; ABIM menyeru agar semua Ahli Parlimen mempamerkan sikap kepimpinan dan teladan yang baik, berakauntabiliti dan profesional sepanjang tempoh persidangan berlangsung, sesuai semangat reformasi institusi yang dibawa dan digerakkan selama ini.
Memandangkan institusi Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini; ABIM juga menuntut agar seluruh wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab untuk mengemukakan perbahasan yang berkualiti, secara rasional dan matang sesuai semangat demokrasi dan perubahan yang ingin dicetuskan. Mereka seharusnya membuat persiapan awal dan rapi bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai inti pati yang signifikan dan bermaklumat.
Di samping itu, ABIM juga ingin menekankan betapa pentingnya untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta pegawai-pegawai berkenaan memainkan peranan yang berkesan dan penuh wibawa, bagi mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar, memastikan perbahasan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, serta membuat keputusan tegas dan memberi tafsiran secara jelas mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perkara-perkara berbangkit.
ABIM mengharapkan agar setiap anggota Dewan Rakyat mahupun  Dewan Negara untuk menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda serta dasar untuk mengangkat isu rakyat yang menyantuni kebajikan mereka seiring dengan pembangunan negara. Hujah-hujah juga seharusnya disampaikan dengan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul supaya sejajar dengan imej institusi Parlimen yang punya kedudukan tersendiri.
ABIM menegaskan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakaan isu-isu remeh, sehingga mengenepikan hak rakyat yang agenda lebih besar dan bermakna dilaksanakan untuk mereka. Permulaan sidang Parlimen kali ini menandakan Rakyat sudah mulai memerhati serta menilai kualiti serta kewibawaan setiap seorang wakil yang mereka pilih ketika pru-14 yang lalu.
Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)