Categories
SELANGOR

Skim Banteras Vandalisme Di 30 Kawasan Flet Kos Rendah pada 2014

skim seroja

SHAH ALAM 19 JUN : Sebanyak 30 kawasan pangsapuri kos rendah sekitar negeri akan dipilih untuk menyertai Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri Negeri (Seroja) bagi tahun 2014.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri menerima permintaan yang tinggi untuk skim itu dan ia dijangka akan dilaksanakan di lima kawasan pada tahun ini.

“Kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan itu. Sekiranya lima kawasan itu berjaya dilaksanakan sebelum akhir tahun ini, kita akan teruskan ke 30 kawasan itu tanpa menunggu tahun 2014,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini.

Iskandar menambah setiap kawasan pangsapuri yang menyertai skim itu akan menerima geran maksimum RM 10,000 yang diberi kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbandaran Pengurusan (MC) untuk program keselamatan dan latihan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi peralatan keselamatan seperti cotar, vest dan lampu suluh serta sumbangan kepada penduduk yang ditimpa musibah ketika melakukan rondaan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri yakin skim itu dapatĀ  membanteras kejadian vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

“Perbuatan vandalisme menjadi beban kepada penduduk, contohnya di Pangsapuri Taman Indah Permai, Klang.

?Dimana lif-lif yang dibaiki oleh Kerajaan Negeri dengan kos lebih RM600,000 sudah rosak dalam masa satu tahun sahaja, jadi skim ini amat penting,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Atlet Lumba Basikal

yunus exco pc tie red 01

SHAH ALAM, 25 MAC : Kerajaan Selangor akan memberi insentif RM 15,000 kepada pelumba remaja, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang merangkul pingat emas dalam acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan Exco Adat Melayu dan Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK, hari ini.

Menurut Dr Ahmad Yunus, insentif itu adalah bersesuaian dengan pencapaian cemerlang Muhammad Firdaus menerusi acara 200 meter pecut individu.

“Kita akan memberi insentif sejumlah RM15,000 kepada pemenang pingat emas, RM10,000 kepada pemenang pingat perak dan RM5,000 kepada pemenang pingat gangsa.

Majlis pemberian insentif itu akan diberikan dalam satu majlis rasmi Mei depan dan akan dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor,” katanya.

Muhammad Firdaus, 17, menewaskan pelumba Korea Selatan, Jung Jea-Hee dalam acara 200m pecut individu remaja lelaki di velodrom Kompleks Sukan India Ghandi.

Kemenangan itu sekaligus menambah koleksi pingat emasnya yang diperoleh dalam acara 1 kilometer ujian masa individu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tubuh Tabung Wira Rakyat Selangor RM 10 juta

MB Melawat Jenazah Polis Lahad Datu 01

SHAH ALAM 6 MAC : Kerajaan Selangor menubuhkan Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM 10 juta bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Selangor dalam pada masa yang sama memberikan bantuan berjumlah RM 20,000 kepada setiap keluarga anggota yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah.

“Tabung ini akan digunakan kepada keluarga mangsa daripada segi pendidikan, kebajikan, kesihatan dan beberapa pertolongan yang boleh diberikan dari masa ke semasa,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Ujar Abdul Khalid, pemberian bantuan berjumlah RM 20,000 itu akan diberikan kepada keluarga mangsa secepat mungkin.

“Walaupun wang ringgit tidak boleh menggantikan nyawa mereka yang terkorban namun bantuan kewangan ini diharapkan dapat meringankan bebanan keluarga khususnya anak-anak yang masih bersekolah,” kata beliau.

Tambah Abdul Khalid, Kerajaan Negeri juga akan memberikan sokongan padu kepada pasukan keselamatan dalam menangani isu pencerobohan di Sabah itu.

“Kita mendoakan agar konflik ini diselesaikan dengan segera dan kita mendoakan kesemua pasukan keselamatan kita pulang dengan selamat,” kata Abdul Khalid.

Setakat ini lapan anggota keselamatan terkorban dalam operasi terhadap kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina yang telah berkampung di beberapa tempat di Lahad Datu dan Semporna.

Dua anggota komando polis yang terkorban di pertempuran di Kampung Tanduo ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud.

Manakala yang terbunuh dalam serangan hendap Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna ialah ASP Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamid, Sarjan Abdul Aziz Sakirun, Koperal Salam Togiran, Supt Ibrahim Lebar dan L/Kpl Mohd Azrul Tukiran.