Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Agong: Dagangan, pelancongan dua hala Malaysia-UAE catat pertumbuhan luar biasa

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Pertumbuhan luar biasa dalam perdagangan dua hala dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan wujudnya potensi ekonomi luas, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam wawancara eksklusif dengan Emirates News Agency (WAM), Seri Paduka Baginda bertitah UAE menjadi salah satu rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat, dan pada 2019 sahaja, jumlah perdagangan antara Malaysia dan UAE mencapai US$6.426 bilion, iaitu 12.5 peratus melonjak daripada US$5.709 bilion pada 2018.

UAE juga merupakan destinasi eksport terbesar di Malaysia dan sumber import kedua terbesar di rantau ini, titah Al-Sultan Abdullah semasa lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 21 Disember lepas.

“Malaysia dan UAE mempunyai hubungan yang baik, terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Berdasarkan kepada lokasi strategik Malaysia di rantau Asia Tenggara, Malaysia berkomitmed untuk menjadikannya sebagai pintu masuk kepada UAE bagi meneroka pasaran di Asia Tenggara yang mempunyai penduduk sebanyak 650 juta orang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah sebagai hab utama di rantau Asia Barat, UAE sentiasa menjadi negara penting bagi Malaysia dan berperanan sebagai gerbang kepada Malaysia meneroka pasaran baharu.

Lawatan khas itu adalah kali ketiga buat Seri Paduka Baginda sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Lawatan pertama pada 12 hingga 15 Jun, 2019 disusuli lawatan kedua, iaitu lawatan peribadi yang juga atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada 29 November hingga 3 Disember, 2019.

Sheikh Mohamed Zayed pula melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai, 2019.

Menurut laporan WAM, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan supaya kedua-dua negara dapat terus meneroka peluang untuk mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Daripada segi pelancongan contohnya, beta gembira melihat peningkatan jumlah pelancong dari UAE yang mengunjungi Malaysia sebelum penularan Covid-19. Pada 2019, lebih daripada 11,000 pelancong dari UAE melawat Malaysia.

“Apabila pintu sempadan dibuka semula, beta berharap lebih ramai pelancong dari UAE memilih untuk Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan mereka,” titah Al-Sultan Abdullah.

Semasa wawancara itu, Seri Paduka Baginda juga membincangkan mengenai penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai.

Malaysia percaya bahawa penyertaannya pada acara antarabangsa di Dubai akan menjadi peluang untuk memperlihatkan potensi perdagangan dan pelaburan yang signifikan terutama “cerita Malaysia kepada dunia,” titah Al-Sultan Abdullah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong selamat pulang dari lawatan Abu Dhabi

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka dan delegasi selamat mendarat pada 11 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan tatacara operasi piawai oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Usai saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti ditetapkan KKM. Foto: Facebook Istana Negara

“Selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari,” demikian menurut kenyataan itu.

Anggota delegasi Seri Paduka pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan oleh KKM.

Terdahulu, sebelum berangkat pulang ke tanah air, Seri Paduka turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata lawatan khas berkenaan adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Agenda utama lawatan khas ini melibatkan perbincangan Al-Sultan Abdullah bersama Sheikh Mohamed Zayed dan kepimpinan tertinggi kerajaan UAE berkenaan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah juga akan berbincang mengenai usaha memperkukuh dan meningkatkan lagi kerjasama serta hubungan dua hala Malaysia-UAE dalam pelbagai sektor.

Pada lawatan khas itu, Yang di-Pertuan Agong antara lain dijadualkan berangkat menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, sekali gus meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama diaspora Malaysia di UAE, serta berangkat melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Pusat Vaksinasi Covid-19 Abu Dhabi.

Bagi memastikan keselamatan dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19, Ahmad Fadil berkata lawatan khas Seri Paduka adalah berlandaskan pengendalian dan tatacara-tatacara SOP yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan UAE, meliputi semua majlis yang dihadiri Al-Sultan Abdullah.

“Berdasarkan SOP yang ditetapkan, Al-Sultan Abdullah dan delegasi telah menjalani ujian saringan Covid-19 empat hari (96 jam) sebelum berangkat ke Abu Dhabi dan akan menjalani ujian sama sebaik sahaja mendarat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dan delegasi juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka akan menjalani kuarantin diri di Istana Negara selama 10 hari seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala anggota delegasi menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan KKM.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah lawatan ketiga Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi. Lawatan pertama Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi merupakan lawatan khas pada Jun 2019, diikuti lawatan peribadi atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada November tahun sama.

Sheikh Mohamed Zayed melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

UAE merupakan rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah US$6.42 bilion (RM25.9 bilion) pada 2019.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed akhiri lawatan ke UAE

ABU DHABI, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed dan melawat Muzium Louvre Abu Dhabi.

Sultan Abdullah yang tiba di Abu Dhabi sejak Rabu, berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid itu, merupakan antara masjid terbesar di dunia yang memperlihatkan ciri-ciri unik di antara seni Islam dan budaya dunia.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

ABU DHABI, 14 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed pada lawatan khas baginda hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baginda berdua disertai Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Marzuki Yahya selaku Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Duta Besar Malaysia di UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Datuk Yubazlan Yusof.

Terdahulu pada awal pagi Jumaat, Seri Paduka berkenaan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di Abu Dhabi dalam satu majlis ringkas dan tertutup di Emirates Palace Hotel.

Pada petangnya, Sultan Abdullah meluangkan masa melawat Louvre Abu Dhabi, sebuah muzium kesenian dan ketamadun pertama di dalam dunia Arab yang menyerlahkan semangat keterbukaan dan kepelbagaian budaya dunia.

Baginda kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat waktu tempatan.

Ini merupakan lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Jan.

– BERNAMA