Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

800,000 daripada 1.3 juta penduduk Klang sudah divaksin

KLANG, 26 SEPT: Seramai 800,000 penduduk Klang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, kata Ahli Parlimen, Charles Santiago.

Beliau berkata angka itu diperoleh daripada MySejahtera merangkumi semua program vaksinasi yang diadakan termasuk program Vaksin Selangor (Selvax).

“Walaupun jumlah itu tinggi namun kita mempunyai penduduk sekitar 1.3 juta jadi terdapat 500,000 lagi warga Klang yang belum divaksin.

“Oleh kerana terdapat jurang yang besar kita mengadakan program Selvax seperti hari ini bagi memastikan lebih ramai divaksin,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Menurut Charles Santiago jumlah dos yang disediakan pada hari ini adalah sebanyak 1,200 dos dan beliau mengakui jumlah itu belum mencukupi untuk menampung kehadiran orang ramai.

“Saya akan berbincang dengan Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Awam) untuk mengadakan lagi program seperti ini lagi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

 

Categories
SELANGOR

Minta SPAN siasat keperluan SPLASH bayar pampasan kepada pengguna

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Suruhanjaya Perkhimatan Air Negara (SPAN) digesa menyiasat kegagalan syarikat konsesi air Selangor, Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyelenggarakan Loji Rawatan Air (LRA) SSP3 hingga menyebabkan kerosakan sebelum membawa kepada kejadian letupan tiga pam baru-baru ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata, siasatan itu perlu dibuat bagi menentukan sama ada SPLASH perlu membayar pampasan kepada pengguna di negeri itu.

“Saya minta SPAN menyiasat punca kerosakan sistem loji itu tidak dibaiki selama lebih setahun di mana menyebabkan letupan, sama ada prosedur, adakah diselenggara dengan baik dan keperluan SPLASH membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat, Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, sebagai pemegang konsesi SPLASH harus mengambil tanggungjawab terhadap kejadian bekalan air yang mengakibatkan kerugian kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan peniaga.

Katanya, hal ini dapat dilihat apabila SPLASH juga boleh dianggap cuai kerana tidak membaiki kerosakan tiga pam yang rosak sejak 2016 lagi.

Katanya lagi, SPLASH bukan sahaja tidak memaklumkan status terkini kerja pembaikan kepada Kerajaan Negeri, malah lebih membimbangkan lagi SPLASH juga tidak mempunyai pelan sokongan dalam mengendalikan kejadian kecemasan.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Persatuan Penduduk Bukit Tinggi anjur majlis peringatan MH17 Ahad ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 22 OGOS: Rakyat Selangor khususnya mereka yang tinggal di Klang diseru untuk menghadiri majlis peringatan MH17 pada 24 Ogos ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata majlis anjuran bersama Persatuan Penduduk Bukit Tinggi itu akan diadakan berhadapan Giant Bukit TInggi bermula jam 6 pertang hingga 8 malam. 

Katanya, pihaknya juga menjemput waris keluarga mangsa MH17 yang tinggal di Klang untuk bersama dalam majlis berkenaan.

“Kita menjemput, tetapi tidak pasti sama ada mereka akan hadir atau tidak, namun itu tidak penting. 

mh“Yang pastinya, kita akan bawa bunga dan berkumpul menzahirkan kata semangat kepada keluarga mangsa seterusnya menurunkan tanda tangan sebagai tanda sokongan. 

“Sesungguhnya tragedi ini bukan terkesan pada keluarga mangsa sahaja, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia. 

“Jadi, marilah beramai-ramai pada hari Ahad ini,  kita bersatu berkumpul untuk memberi dorongan dan semangat kepada waris dan rakan mangsa MH17,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya, di sini.

Tepat jam 10 pagi tadi, pesawat khas Boeing 747 yang membawa kumpulan pertama jenazah 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden Pesawat MH17 dari Amsterdam, Belanda selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat MH17 yang ditembak jatuh, pada 17 Julai lalu mengorbankan 298 penumpang termasuk 43 rakyat Malaysia, namun sehingga kini tida pihak mengaku bertanggungjawab.

charlesSehubungan itu, Charles menggesa Kerajaan Malaysia terus mendesak pihak yang bersalah menembak jatuh pesawat MH17 dibawa ke muka pengadilan. 

“Ini adalah satu jenayah, jadi pihak bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman yang setimpal. 

“Keadilan perlu ditegakkan demi waris mangsa MH17,” tegasnya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tribunal Rakyat : Polis biar keganasan penyokong BN -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 19092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Selagi aku hidup, selagi aku Pesuruhjaya, takkan kulayan benda (kerjasama PAS-Umno) ini, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

2. Polis belum mengambil tindakan terhadap laporan keganasan dan ancaman keselamatan yang dilakukan penyokong Barisan Nasional, kata calon PKR Parlimen Tapah PRU-13, Vasantha Kumar.

3. Ahli Parlimen Klang Charles Santiago,saksi pertama di Tribunal Rakyat mengadu pihaknya mengesan pekerja-pekerja asing dibayar pihak tertentu untuk mengundi pada PRU lepas.

Polis Tahan Warga Tempatan Bebas Warga Asing

charles-pandamaran

KLANG 12 MEI : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempertikaikan kredibiliti polis yang menjalankan siasatan terhadap enam orang berhubung insiden penahanan dua bas dipercayai membawa warga asing ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Tegasnya, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu professional dalam menjalankan tugasnya dan bertindak terhadap keseluruhan maklumat yang diberikan untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan.

Katanya, polis tidak wajar bersikap membuat dakwaan secara selektif dengan menangkap enam orang itu sedangkan dalam masa yang sama tiada penangkapan dan dakwaan kepada pengundi yang diragui itu.

“Mengapa dalam tempoh 24 jam itu polis menahan ketiga-tiga orang yang menahan pengundi diragui itu tetapi dalam pada masa yang sama melepaskan pekerja asing itu.

“Pihak polis sepatutnya bersikap adil dan saya juga telah meminta pihak SPR untuk datang dan menentukan bahawa 18 orang pengundi ragu itu yang berada di dalam bas itu adalah pengundi ataupun tidak,” kata Charles.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama tiga individu yang ditangkap polis itu, Lim Siong Kuan,32, Liow Mun Ho, 23, Yap Kwee Heng, 37, di sebuah restoran di Pandamaran di sini.

Katanya, beliau mempunyai bukti bergambar salah seorang daripada 18 individu mempunyai kesan dakwat kekal seraya menggesa polis dan SPR membuat siasatan apakah pekerja asing itu mempunyai hak mengundi.

“SPR dan polis perlu menyelesaikan isu ini dengan segera dan jangan hanya membuat pendakwaan yang selektif,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR Selangor Akui Ada Pelanggaran Undang-Undang Daftar Pengundi, “Tidak Boleh Ambil Tindakan”

charles SPR selangor 01

SHAH ALAM 2 APRIL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengakui terdapat pelanggaran undang-undang oleh agen Umno-BN dalam pendaftaran rakyat Malaysia sebagai pengundi tanpa persetujuan mereka.

Bagaimanapun tambah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, SPR Selangor berkata tiada apa-apa yang boleh dilakukan walaupun mereka sedar sebuah kesalahan telah dilakukan.

Charles mendakwa kesalahan itu diakui Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Abdul Rahman dalam satu pertemuan dengannya selama 45 minit di pejabat SPR Selangor hari ini.

Ujar Charles, bahawa seorang penolong pendaftar Umno, Hishammudin Kassim telah mendaftarkan ramai pengundi yang meragukan apabila memasukkan nama warga Malaysia yang menetap di luar negara yang tidak pernah berdaftar sebagai pengundi.

“Saya ada bertanya kepada Dzulkifli ada berapa yang telah didaftarkan oleh penolong pendaftar (Hishammudin) yang telah dipecah-pecahkan, dan dia berkata adalah ‘banyak’ dan beratus-ratus.

“Selepas itu saya bertanya lagi berapa yang didaftarkan oleh Hishammuddin, dan dia berkata ‘banyak’. Tetapi dia faham sesuatu kesalahan telahpun berlaku ada pelanggaran undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun menurut Charles, Dzulkifli berkata SPR tidak boleh mengeluarkan nama dari daftar pemilih  kerana Seksyen 9(a) Akta Pilihan Raya 1958, melarang nama dibuang dari daftar pemilih yang telah diwartakan.

“Mereka berselindung di sebalik Seksyen 9(a),” kata Charles yang mendakwa mereka mengakui undang-undang dilanggar tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Sebelum ini, Charles mendedahkan kes pendaftaran Dinesh Siva Kumar, 32, yang menetap di United Kingdom lebih 10 tahun tidak pernah mendaftar diri sebagai pengundi atau mewakilkan seseorang untuk tujuan berkenaan.

Charles mendedahkan perkara demikian dalam sidang media selepas pertemuan itu di Pejabat SPR Selangor di Kompleks PKNS di sini bersama bapa Dinesh, K Siva Kumar, 64, dan peguamnya, Mishant Thiruchelvam.

Bagaimanapun, Dzulkili tidak hadir di sidang media itu.

“Untuk menjadi pengundi seseorang itu perlu menandatangani borang pendaftaran SPR dan mempunyai salinan kad pengenalan.

“Kita meminta pihak SPR Selangor untuk menunjukkan bukti berkenaan tetapi SPR Selangor menyatakan tidak mempunyai maklumat berkenaan dan meminta untuk merujuk kepada SPR Putrajaya,” kata Charles.

Ujar Charles, beliau akan membawa hal berkenaan kepada pihak SPR di Putrajaya dalam masa terdekat bersama nama-nama yang dikhuatiri didaftar tanpa persetujuan.

Katanya, beliau juga mempunyai senarai lima nama rakyat Malaysia lain yang didaftarkan sebagai pengundi tanpa persetujuan.

“Apa yang jelas kekotoran telah berlaku dalam senarai pendaftaran pengundi pilihanraya dan pihak SPR mengetahui perkara berkenaan.

“Tetapi SPR tidak dapat membersihkan nama-nama tersebut kerana mereka mendakwa apabila nama sudah digazetkan maka tidak boleh dikeluarkan daripada senarai.

“Kita perlu bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang paling kotor dalam sejarah,” katanya.

Tambah Charles beliau mendesak agar pihak SPR Selangor untuk membuat laporan Polis segera ekoran kes ini namun beliau kecewa apabila dinyatakan bahawa pihak SPR Selangor tidak dapat berbuat demikian.