Categories
AGENDA NASIONAL

Agong perkenan tiga akta dilulus pada mesyuarat pertama Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tiga akta yang diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang lepas.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata ia terdiri daripada Akta Levi Keuntungan Luar Biasa Pindaan 2021, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) Pindaan 2021 dan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara Pindaan 2021.

“Saya suka hendak memberitahu majlis ini iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia baginda telah memperkenan akta-akta yang telah diluluskan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 yang lepas,” katanya dalam pemakluman Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi soal jawab hari ini.

Sementara itu beliau berkata Dewan Rakyat turut memperingati Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut serata dunia pada 20 Nov setiap tahun dengan mengadakan sambutan dan menjemput semua Ahli Parlimen untuk meraikannya pada 1 tengah hari ini di Dewan Banquet, Parlimen.

“Hari Kanak-Kanak Sedunia ini merupakan hari istimewa kerana ia menandakan penerimaan konvensyen hak kanak-kanak pada 20 Nov 1989 dan Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada tahun 1995,” katanya.

Azhar berkata Malaysia mempunyai obligasi dengan mematuhi prinsip dan peruntukan yang termaktub di dalam konvensyen itu terutama berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90 peratus penginapan pekerja asing tidak ikut piawaian minimum

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Penginapan yang disediakan kepada 1.4 juta atau 91.1 peratus pekerja asing di negara ini, tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata statistik ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Kerajaan menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan hanya 143,587 atau 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini setakat, 31 Okt lepas.

“Keadaan ini jelas menunjukkan majikan dan penyedia penginapan berpusat yang menyediakan penginapan kepada 1.4 juta pekerja asing di Malaysia masih gagal memohon perakuan itu daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saravanan berkata operasi penguatkuasaan Akta 446 akan dilaksanakan secara berterusan dan majikan yang ingkar akan dikenakan tindakan tanpa sebarang kompromi.

“Sejak penguatkuasaan Akta 446 bermula 1 Sept lepas, JTKSM menjalankan 1,850 pemeriksaan melibatkan 1,813 majikan dan 37 penyedia penginapan berpusat di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“JTKSM meletakkan sasaran 25,000 pemeriksaan menjelang 2021,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing berkata Perakuan Penginapan akan menjadi prasyarat kepada majikan yang berhasrat mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa 1 Julai 2021.

“Sebelum majikan membuat permohonan membawa masuk pekerja asing, majikan perlu mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan visa.

“Ini bermakna, sebelum pekerja asing tiba di negara ini, penginapan yang mematuhi Akta 446 perlu disediakan majikan. Jika majikan membawa masuk pekerja asing tanpa Perakuan Penginapan, pekerja itu adalah pendatang tanpa izin,” katanya.

Ismail Sabri turut mengingatkan majikan bahawa Akta 446 bukan hanya melibatkan pekerja asing, tetapi turut merangkumi pekerja tempatan.

“Fokus penguatkuasaan Akta 446 pada masa ini adalah kepada pekerja asing kerana kes Covid-19 melibatkan golongan itu adalah tinggi,” katanya.

Ismail Sabri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Pekerja Asing kali kedua yang berlangsung semalam, turut bersetuju supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempercepatkan kelulusan permohonan pembinaan perumahan pekerja daripada majikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji akta proses pilihan raya ketika pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu yang melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tidak dinafikan, pilihan raya seperti di negeri Sabah pada September lepas yang membabitkan perhimpunan beramai-ramai mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“(Pilihan raya) ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum boleh atau tidak dilakukan, tetapi kerajaan sentiasa memantau.

“Jika perlu wujudkan akta-akta tertentu, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan akan mewujudkan akta tertentu seperti memendekkan tempoh kempen atau kaedah kempen baharu untuk mengekang wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ketika ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

Katanya, mekanisme itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang menekankan amalan protokol kesihatan dan kebiasaan baharu.

Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lum (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak itu.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat desak perketat akta elak pencemaran air

SHAH ALAM, 4 SEPT: Undang-undang berkaitan pencemaran air perlu diperketatkan bagi menghalang kejadian sedemikian terus berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 harus dipinda segera supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah pencemaran air.

Najwan Halimi berkata pindaan membolehkan hukuman penjara dan jumlah denda dipertingkatkan berikutan peruntukan sedia ada kurang tegas sehingga banyak pihak berani melanggar undang-undang.

Mengulas gangguan air di tujuh wilayah sejak semalam kepada SelangorKini, beliau juga mencadangkan Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Putrajaya bagi mengetatkan akta berkenaan.

“Kita cadangkan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 supaya hukuman penjara diwajibkan,” kata Najwan, yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air bagi Dewan Negeri Selangor.

Beliau juga menjelaskan jawatankuasa berkenaan sudah membentang saranan tersebut pada Julai lalu dan berharap ia dilaksanakan segera susulan kekerapan gangguan air menyusahkan rakyat.

“Difahamkan, kilang yang menjadi punca kali ini pernah dikenakan kompaun atas kesalahan sama. Mungkin denda sebelum ini mampu dibayar, jadi mereka ulang kesalahan sama,” katanya yang turut mencadangkan denda sehingga RM1 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suhakam: Kerajaan perlu semak, pinda akta berkaitan buruh kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan mengkaji serta meminda Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) yang didapati mempunyai banyak kelemahan dan kelompongan.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata antaranya, Akta 350 itu membenarkan kanak-kanak bekerja dalam beberapa keadaan berdasarkan Seksyen 2(2).

“Buruh kanak-kanak adalah satu bentuk penderaan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Menentang Buruh Kanak-kanak Sedunia 2020 hari ini.

Menurutnya, kelemahan akta berkenaan memungkinkan golongan tersebut dieksploitasi oleh majikan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sekarang yang menyaksikan ada ibu bapa kehilangan pekerjaan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan menggubal peruntukan khas mengenai buruh kanak-kanak sekiranya terdapat keperluan untuk golongan itu bekerja, contohnya bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Jika tidak, kerajaan perlu berterusan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang kurang bernasib baik bagi menghindari (isu) buruh kanak-kanak ini,” katanya.

Noor Aziah turut menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan agar segera melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Kanak-kanak yang dilancarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kementerian Sumber Manusia pada 1 Oktober 2019, demi melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa isu buruh kanak-kanak.

“Suhakam ingin menekankan tentang kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan isu buruh kanak-kanak menafikan hak mereka terhadap pendidikan dan pembangunan diri. Ini kerana, apabila kanak-kanak perlu bekerja mereka tidak mempunyai masa untuk bersekolah,” katanya.

Sambutan tahun ini bertemakan “Covid-19: Lindungi Kanak-kanak daripada Menjadi Buruh Kanak-kanak, Kini Lebih dari Sebelumnya”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa hari ini – SPRM

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) yang berkuat kuasa mulai hari ini akan menggalakkan aktiviti perniagaan dengan integriti tanpa rasuah selain mempromosi amalan tadbir urus korporat yang baik.

SPRM dalam kenyataan berkata tarikh penguatkuasaan itu telah dikeluarkan melalui kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U (B) 247 bertarikh 27 Mei 2020.

Menurut kenyataan berkenaan, Parlimen sebelum ini telah meluluskan pindaan akta itu pada 5 April 2018, yang diwartakan pada 4 Mei 2018, dan kerajaan turut membenarkan penangguhan tempoh dua tahun diberikan kepada organisasi komersil mulai tarikh itu bagi melakukan persediaan sewajarnya sebelum peruntukan undang-undang baharu berkenaan dikuat kuasa sepenuhnya.

Secara asasnya, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersil juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

“Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun organisasi komersial boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa organisasi itu mempunyai ‘tatacara mencukupi’ yang telah dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau akvititi perniagaan mereka,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peruntukan undang-undang baharu ini boleh melayari portal rasmi SPRM di https://www.sprm.gov.my/ manakala bagi mendapatkan garis panduan tatacara mencukupi pula, boleh melayari pautan http://giacc.jpm.gov.my/garis-panduan-tatacara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengamal media gusar Akta Anti Berita Tidak Benar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APR: Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 sememangnya menggusarkan hati sebahagian besar pengamal media, di negara ini.

Wartawan penyiaran, Hafiz Marzukhi berkata, tugas media adalah menyiarkan laporan yang diberi oleh pelbagai pihak termasuk pemerintah juga pembangkang.

“Daripada segi perundangan akta itu perlu dalam era media sosial, namun saya bimbang bagi pihak media kerana di Malaysia terdapat banyak dakwaan yang dibuat pelbagai pihak.

“Sebagai media, tugas kami adalah melaporkan tetapi adakalanya sukar untuk mendapatkan pengesahan daripada kedua-dua pihak, tidak kiralah pihak yang mendakwa atau didakwa.

“Apa yang dipersoalkan ialah bagaimana mekanisma penentuan berita tidak benar itu? jika mahkamah yang menentukan, adakah semua laporan berita tidak benar akan didengar di mahkamah atau terdapat tapisan daripada pihak lain?,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu wartawan kanan Malay Mail, Yiswaree Palansamy pula berpendapat, akta itu berkemungkinan menyebabkan ada agensi media yang rugi.

Katanya, ia secara fizikalnya tidak ada masalah. Tetapi isu besarnya adalah daripada segi mekanisma penguatkuasaan yang dilihat mungkin tidak adil buat agensi media.

“Risiko penarikan semula berita yang dikatakan tidak benar akan berlaku apabila seseorang tidak suka dengan berita itu dan mahu ia diturunkan, maka dia boleh ke mahkamah dan meminta hakim untuk mengeluarkan perintah penarikan semula berita secara ex-parte tanpa dihadiri wartawan atau syarikat media yang menerbitkan berita itu.

“Ini bermakna, hakim harus membuat keputusan bahawa berita itu benar atau tidak hanya berdasarkan pandangan si pengadu tanpa mendengar pandangan wartawan atau syarikat media berkenaan.

“Selepas syarikat media menerima arahan mahkamah, maka berita itu perlu diturunkan terlebih dahulu, sudah tentu ini menyebabkan kerugian besar kepada syarikat media kerana mereka berpotensi kehilangan pendapatan pengiklanan dan lebih teruk kehilangan pembaca yang mungkin mula sangsi kepada kredibiliti media itu. Adakah ini adil?,” katanya.