Categories
NASIONAL

Batu Pahat antara lokasi tertinggi kemalangan

SEREMBAN, 28 MEI: Daerah Batu Pahat, Johor merupakan antara daerah yang mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi bagi tempoh 2015-2017, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kementerian akan berbincang dengan Majlis Daerah Batu Pahat, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari punca mengapa kemalangan jalan raya kerap terjadi di daerah itu khususnya di jalan Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Kluang.

“Kita tahu ada beberapa daerah yang saban tahun mencapai tempat lima tertinggi kadar kemalangan jalan raya. Umpamanya salah satu daerah yang hampir setiap tahun dia top five ialah di Batu Pahat. Ini satu daerah yang saya tahu bahawa memang kadar kemalangannya tinggi walaupun dia punya penduduk tak ramai.

“Di Kuala Lumpur (dan) di bandar-bandar besar, kita tahu ramai orang, (dan) sebenarnya di Kuala Lumpur kadar kemalangan tak setinggi mana berbanding bandar-bandar lain walaupun kenderaan banyak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Yamaha yang ke-21 anjuran Hong Leong Yamaha Motor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dan Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Datuk Jim Khor.

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi membendung kemalangan jalan raya, corak penguatkuasaan tidak lagi boleh dijalankan secara konvensional termasuk melibatkan soal saman kepada pemandu dan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

“Sudah sampai masanya untuk kita melihat bagaimana kita menggunakan teknologi untuk menguatkuasakan undang-undang dan sekarang ini kita banyak bekerjasama dengan pihak pengeluar kereta dan motosikal untuk lihat bagaimana kita boleh serap ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Dalam soal keselamatan penunggang motosikal yang menyumbang sebanyak 65 peratus terhadap keseluruhan kemalangan maut, Loke yang menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan bercadang untuk menaikan had umur memiliki lesen motosikal, berkata kerajaan setakat ini belum lagi membuat keputusan berkenaan perkara itu.

“Kita juga bimbang sekiranya kita menaikkan had umur, ramai pula menunggang tanpa lesen walaupun sekarang ini kita tetapkan pada umur 16 tahun. Kita tahu di kampung-kampung, estet, luar bandar, ada budak-budak umur 12 hingga 15 tahun membawa motosikal (tanpa lesen). Ini sesuatu yang amat sukar kita kawal walaupun apa pun bentuk peraturan (diperkenalkan), tetapi masyarakat terutama ibu bapa tidak mainkan peranan ini juga menyusahkan sebarang penguatkuasaan.

“Jadi saya tak fikir dengan menaikkan had umur bagi mendapatkan lesen akan dapat menyelesaikan semua masalah. Kita memerlukan kerjasama semua orang dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan pesanan yang betul sampai kepada anak-anak dan mendidik anak-anak. Ini sesuatu yang sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Siti Zaharah ketika ditemui pemberita berkata Selangor, Johor dan Perak adalah antara negeri yang telah mencatatkan bilangan kematian tertinggi setiap tahun.

“Bagi negeri Selangor, jumlah kematian tertinggi bagi tempoh 2015-2017 adalah dengan daerah Kajang merekodkan jumlah yang tinggi iaitu 347, diikuti Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260) manakala bilangan kematian tertinggi mengikut daerah di Johor bagi tempoh 2015-2017 adalah Batu Pahat (554) diikuti Johor Bahru Selatan (315) dan Kluang (296).

“Bagi negeri Perak pula, bagi tempoh 2015-2017, tiga daerah yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi adalah Ipoh (402), diikuti dengan Manjong (261) dan daerah Hilir Perak (232),” katanya.

Mengulas mengenai daerah Batu Pahat itu, beliau berkata antara faktor terjadinya kemalangan adalah berikutan faktor manusia di samping kecenderungan untuk memandu laju kenderaan dalam keadaan jalan lurus.

Beliau berkata, kebanyakan kemalangan juga berlaku di jalan persekutuan berbanding jalan-jalan lain.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan cadang hapus peraturan pemindahan kapal

KLANG, 3 MEI: Kerajaan bercadang untuk menghapuskan beberapa peraturan terutama berkaitan permit import (AP) bagi menjadikan pelabuhan di negara ini lebih berdaya saing dalam bidang pemindahan kapal, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, peraturan dan permit terhadap barangan yang diperlukan untuk melakukan aktiviti permindahan ke kapal menjadikan pelabuhan tempatan tidak mampu bersaing dengan pelabuhan di negara lain terutama Singapura.

“AP dan beberapa peraturan lain yang menyebabkan pelabuhan kita kurang berdaya saing akan dihapuskan, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain berhubung cadangan ini.

“Barangan menerusi pemindahan kapal bukan untuk dipasarkan ke pasaran tempatan sebaliknya ia hanya disimpan dan dibungkus semula di sini sebelum dihantar ke pasaran negara lain, oleh itu AP tidak perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan gudang C. Steinweg Logistics (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Belanda di Malaysia Karin Mossenlechner, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan C. Steinweg, Ulf Boll dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Loke berkata pihaknya memahami bahawa setengah peraturan dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bagaimanapun ia tidak seharusnya menyebabkan pelabuhan tempatan tidak berdaya saing dan sebaliknya negara perlukan kaedah lebih baik untuk mengawasi barangan yang keluar dan masuk ke negara ini.

Pada 1 April lalu, kerajaan mengecualikan syarat AP ke atas kenderaan secara pemindahan kapal dari pelabuhan tempatan.

Sementara itu, Boll berkata syarikat itu telah melabur kira-kira US$40,000,000 (RM165.6 juta) bagi membina Hab Sumber Asli dan Komoditi di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ditanya berkenaan faktor yang mendorong C. Steinweg Group membuat pelaburan secara berterusan di Malaysia, beliau berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan antaranya tenaga kerja berkelayakan, hubungan darat dan air yang bagus serta infrastruktur lengkap untuk menyokong syarikat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelaburan China dijangka lebih banyak sepanjang ECRL – Loke

BEIJING, 26 APR: Malaysia boleh menjangkakan lebih banyak pelaburan dari China, khususnya bagi koridor sepanjang Laluan Rel Pantai Pantai Timur (ECRL), susulan perjanjian yang dimeterai semalam antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Semasa bercakap kepada media Malaysia di sini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perjanjian yang ditandatangani semalam adalah mengenai pembangunan koridor sepanjang ECRL.

“Perjanjian mengenai ECRL sudah dimuktamadkan. Perjanjian semalam adalah mengenai pembangunan koridor di sepanjang ECRL,” katanya.

Beliau berkata perjanjian berkenaan akan mengorak laluan bagi lebih banyak pelaburan China di Malaysia.

Loke berkata, Malaysia mahu memaksimumkan pembangunan seiring dengan pelaksanaan projek ECRL bernilai RM44 bilion itu.

Beliau kini berada di sini sebagai sebahagian delegasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa kali kedua yang dirasmikan Presiden China, Xi Jinping hari ini.

Perjanjian antara MIDA dan CCCC itu ditandatangani selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China dimuktamadkan di sini, semalam.

Dr Mahathir dan rakan sejawatannya, Li Keqiang, menyaksikan pemeteraian perjanjian itu bertajuk “Enhancing Cooperation in the Development of Industrial Parks, Infrastructure, Logistics Hub and Transit Oriented Development Pursuant to the ECRL Project” (Mempertingkat Kerjasama dalam Pembangunan Kawasan Perindustrian, Infrastruktur, Hab Logistik dan Transit Berorientasikan Pembangunan di bawah Projek ECRL).

Selepas berbulan mengadakan rundingan semula, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC baru-baru ini menandatangani perjanjian bagi menyambung semula projek ECRL yang dihentikan sebelum ini untuk menghubungkan negeri-negeri pantai timur di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua pihak juga menandatangani perjanjian tambahan mengenai pengurangan kos projek itu daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion, sekali gus mendorong penjimatan sebanyak RM21 bilion.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Loke: Lawatan PM ke China tumpu tarik pelaburan tiga sektor

SEREMBAN, 22 APRIL: Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China, pada Khamis depan akan menumpukan usaha menarik pelaburan dalam tiga sektor iaitu pelaburan, perdagangan dan pelancongan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau yang akan turut menyertai lawatan itu berkata, pihaknya berhasrat menarik pelaburan dari China menerusi pelbagai sektor.

“Apa yang penting, kita nak tarik pelaburan mereka, bina kilang di sini untuk mereka mendirikan pangkalan dalam pelbagai industri. Kita tak boleh pertikaikan bahawa China merupakan satu negara kuasa ekonomi yang besar sekarang. Jadi, suka tak suka, kita perlu menarik pelaburan mereka.

“Mengenai perdagangan dengan China, ada eksport kita di sana terutamanya bahan mentah, kelapa sawit, komoditi dan sebagainya, manakala (tumpuan kepada) sektor pelancongan pula bertujuan menarik lebih ramai warga China melancong ke Malaysia.

“Saya yakin, kita nak teruskan dan tambah baik dan usaha-usaha ini (diharap) dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Harapan Dewan Undangan Negeri Ampangan di sini, malam tadi.

Dalam lawatan ke China itu, Loke berkata Malaysia juga akan merebut peluang untuk meneroka pelaburan dalam bidang perkapalan serta agenda utama bagi mempromosi industri sawit negara ke China.

Dr Mahathir dijadual melawat China selama empat hari bermula Khamis ini bagi menyertai Forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing.

Beliau dijangka menyertai pelbagai program di forum berkenaan, selain mesyuarat peringkat tinggi antara kerajaan Malaysia-China serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping, dan Perdana Menteri China Li Keqiang dan ahli perniagaan dari negara berkenaan.

Sementara itu mengenai sektor pengangkutan, Loke yang juga Anggota Parlimen Seremban berkata Malaysia banyak menjalin kerjasama dengan China termasuk pengangkutan kereta api.

“Misalnya, mereka ada satu kilang stok guling (rolling stock) di Batu Gajah, Perak dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dipasang di Batu Gajah. Kita memang nak menceburi lebih banyak peluang dalam bidang perkapalan termasuk meningkatkan prestasi pelabuhan.

“Tetapi, apa yang penting adalah kerjasama dengan China supaya ada peluang-peluang yang diberikan kepada rakyat tempatan. Itu sebabnya dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita nak meningkatkan penyertaan tempatan…ada 40 peratus kandungan tempatan diberikan kepada syarikat Malaysia dari segi kontrak kecil,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Loke: Rasuah dalam kalangan penguat kuasa JPJ sudah lama

KULAI, 18 APRIL: Kementerian Pengangkutan sedia maklum berkenaan gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun tiada bukti untuk mensabitkan kesalahan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tegas dalam membersihkan pentadbiran bukan sahaja membabitkan menteri Kabinet tetapi semua peringkat termasuk penguat kuasa.

“Mana-mana penjawat awam terutamanya pegawai JPJ yang terlibat dengan unsur-unsur rasuah, kita mengalu-alukan tindakan tegas dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Memang kita tahu amalan (rasuah) ini sudah lama kedengaran, ada pegawai penguat kuasa yang melindungi pengusaha lori dan sebagainya.

“Memang cerita-cerita seperti ini sudah lama kedengaran tetapi untuk mendapatkan bukti, menguatkuatkan (undang-undang), memang ini memerlukan siasatan dan perancangan rapi dari SPRM) dan kita yakin dengan keupayaan SPRM untuk buat siasatan dan tangkapan,” katanya selepas merasmikan Stesen FedEx Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 31 individu oleh SPRM semalam membabitkan 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

Loke berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dengan siasatan dijalankan SPRM berhubung penahanan anggota JPJ itu.

KULAI, 18 April — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook diringi Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Md Derick Basir (tiga, kanan) mengadakan lawatan ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kanan).
–fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau juga yakin dengan kredibiliti dan kepimpinan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam mentadbir jabatan berkenaan dan membasmi amalan itu dalam kalangan penguat kuasa memandangkan Shaharuddin pernah bertugas di SPRM.

Shaharuddin pernah menjadi Ketua Penasihat Eksekutif di Pejabat Penasihat Undang-undang SPRM.

Ketika ditanya sama ada kementerian melihat kepada kemungkinan penstrukturan semula JPJ, beliau berkata kementerian sentiasa melihat untuk memperbaiki operasi jabatan di bawah kementerian dengan penuh integriti dan efisien. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tidak bercadang laksana ELV

PUTRAJAYA, 15 APR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menafikan kerajaan akan melaksanakan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) walaupun ada kajian dilakukan mengenai perkara itu sebelum ini.

Malah kata beliau, kerajaan tidak bercadang untuk menimbang pelaksanaan dasar tersebut yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan sebelum dapat memperbaharui insurans dan cukai jalan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain belum ada dasar seperti ELV, kerajaan juga tidak bersedia menimbang dasar seperti itu,” katanya.

Loke mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari bahawa kerajaan dijangka mengumumkan semakan dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini dan mempromosikan ELV.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Jabatan Perngangkutan Jalan (JPJ) ke-73 di sini, Loke berkata dasar semasa ialah mewajibkan semua jenis kenderaan tanpa mengira usia, menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sekiranya gagal memperbaharui cukai jalan melebihi tempoh setahun.

“Ini sebahagian proses mengaktifkan semula cukai jalan dan insurans,”katanya.

Sementara itu, Loke berkata sistem ujian memandu kenderaan ‘e-testing’ yang kini dijalankan secara percubaan di tiga institusi pemanduan di Johor, akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

“E-testing lebih telus kerana pelajar dinilai tanpa faktor campur tangan manusia dengan sistem dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan tanpa anggota JPJ perlu berada di sebelah pelatih,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pelaksanaan projek rintis JPJeBid dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini dengan menjadikan siri “FC” Putrajaya sebagai perintis untuk membida nombor pendaftaran kenderaan dalam talian.

Beliau berkata mereka yang berminat boleh mendaftar melalui portal www.JPJeBid.gov.my dan pemenang akan diumumkan pada 12 tengah hari, Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan pinda syarat kelayakan lesen PSV untuk OKU

PETALING JAYA, 11 APRIL: Kementerian Pengangkutan akan meminda syarat kelayakan permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi membenarkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pemandu e-hailing.

Ketika ini, peraturan semasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang golongan OKU daripada mendapatkan lesen PSV, yang akan menjadi syarat wajib untuk pemandu e-hailing bermula 12 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya yang berhasrat meminda peraturan itu bagi membolehkan OKU mendaftar sebagai pemandu PSV sedang berusaha menyegerakannya dan berharap ia dapat dilaksanakan Mei ini.

“Ia membabitkan kira-kira 300 sehingga 400 pemandu OKU.

“Mereka akan diberi keutamaan, diharapkan sebaik sahaja peraturan pada 12 Julai berkuat kuasa, mereka boleh terus memandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi pengecaman wajah Grab Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia, di Bandar Utama, di sini hari ini.

PETALING JAYA, 11 April — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap merasmikan pelancaran teknologi pengesahan penumpang menggunakan kaedah swafoto pada aplikasi Grab di Ibu Pejabat Grab Malaysia hari ini.
Menurut Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh pelancaran aplikasi itu adalah kerjasama Grab Malaysia bersama Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk melindungi keselamatan penumpang dan pemandu.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Loke berkata, ketika ini sebanyak 25 syarikat yang mahu melaksanakan perkhidmatan e-hailing sudah memohon lesen pengendali dengan 16 daripadanya lulus, dua permohonan ditolak manakala lebih 1,000 pemandu mendaftar setakat ini.

Ditanya berkenaan terdapat pemandu e-hailing yang menolak peraturan pendaftaran PSV, beliau meminta mereka melihat daripada perspektif berbeza dan menegaskan semua pemandu perlu mendaftar serta mematuhi peraturan ditetapkan juga memberi kerjasama menyeluruh.

“Sudah tentu ada sedikit masalah bagi anda untuk pergi kursus, lesen, dan sebagainya, tapi lihat kepada manfaat jangka panjang. Seluruh industri akan dijadikan sah oleh undang-undang dan diselaras, jadi anda ada persekitaran ‘secure’ untuk beroperasi.

“Anda hanya perlu lakukan ia sekali sahaja, bukan kita minta mereka buat setiap tahun, kemudian tahun depan hanya perbaharui sahaja. Tidak kiralah pemandu separuh masa atau sepenuh masa, mereka tetap kena mendaftar e-hailing,” katanya.

Loke turut menyeru pemandu e-hailing supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar lesen PSV mereka. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jajaran ECRL akan diubah-Loke

SEREMBAN, 7 APRIL: Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan, jika ia diteruskan selepas rundingan bersama kerajaan China, hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, keputusan itu dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.

“Saya sebagai Menteri Pengangkutan saya boleh sahkan apa dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (semalam) memang betul projek ECRL sedang dirunding dan akan ada keputusan dalam beberapa minggu ini sebab Tun Dr Mahathir akan pergi ke China akhir bulan ini.

“Kalau berjaya confirm Negeri Sembilan akan dapat tempias kerana kita nak fokus pembangunan,” katanya dalam sesi ceramah Pakatan Harapan pada kempen Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam tadi.

Semalam, Lim dalam ceramahnya pada kempen PRK DUN Rantau antara lain memberi bayangan projek berkenaan akan diteruskan sekiranya kos pembinaannya dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion.

Beliau turut memberi bayangan bahawa jajaran sistem rel berkenaan akan berubah dan akan membawa manfaat untuk Negeri Sembilan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nombor plat khas ‘Malaysia’ jana pendapatan RM13juta

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Nombor siri plat khas kenderaan ‘Malaysia’ yang diperkenalkan Ogos lalu menjana pendapatan RM13 juta untuk kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan itu menjana pendapatan kepada tabung kerajaan.

“Bagi nombor siri ‘Malaysia 1’ sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111,” katanya menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ma’mun bertanya, sama ada nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang selalu mendapat permintaan tinggi dapat dikenakan harga siling dalam pembelian terbuka kepada orang ramai.

Loke turut mengulangi bahawa nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

“Sebelum ini apabila mereka (NGO dan persendirian) membuat permohonan, kerajaan benarkan mereka bayar RM1 juta kepada kerajaan padahal satu siri nombor boleh menjana mungkin RM10 juta, dan itu menyebabkan kerajaan ketirisan RM9 juta,” katanya.

Loke juga menegaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi nombor pendaftaran kenderaan.

-Bernama

Categories
NASIONAL

1,270 saman sejak kuat kuasa AWAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sejumlah 1,270 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pengambilalihan semua operasi kamera sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), sejak 1 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesalahan itu membabitkan 1,121 saman had laju dan 147 bagi kesalahan lampu isyarat.

“Operasi ini membabitkan penguat kuasaan kesalahan yang dirakam menerusi kamera seperti memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Pengambilalihan oleh JPJ itu meliputi penguat kuasaan bagi pengoperasian ke atas 45 kamera AWAS terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loke berkata, JPJ akan menguat kuasakan kesalahan AWAS di 47 lokasi secara keseluruhannya sehingga akhir tahun ini.

Katanya, tujuan utama pemasangan dan penguat kuasaan kamera AWAS adalah mendidik dan menjaga keselamatan pemandu, terutama apabila mereka memandu di zon operasi kamera.

“Orang ramai boleh menyemak senarai terkini lokasi kamera AWAS di laman sesawang www.jpj.gov.my, selain boleh melakukan semakan saman JPJ dan AWAS.

“Untuk pengetahuan, semua lokasi yang sudah dikenal pasti ini adalah jalan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan AWAS, mulai 1 September ini.

Loke berkata, Orang Kena Saman (OKS) akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa sama, mata demerit akan dikenakan apabila kompaun itu dibayar.

“Jika OKS tidak menyelesaikan kompaun ditetapkan, kes itu akan dibawa di mahkamah dan jika OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti dikehendaki, mereka akan disenarai hitam serta dihalang daripada melakukan apa jua transaksi juga urus niaga di JPJ sehingga kes ini diselesaikan.

“Tindakan untuk menyenarai hitam ini akan dilakukan menurut peruntukan di bawah Seksyen 17(1d), 29(1A) dan 119(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Namun, jika OKS memilih untuk menyelesaikan kesnya di mahkamah, jika disabitkan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000 serta mata demerit akan dikenakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Malaysia 1 dibida RM1.11 juta

PUTRAJAYA, 24 OGOS: Nombor siri pendaftaran kenderaan khas ‘Malaysia 1′ dibida pada harga RM1,111,111, sekali gus tertinggi pernah dibida dalam sejarah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jualan kesemua nombor khas 1 hingga 10 bagi siri ‘Malaysia’ yang dikeluarkan sempena Hari Kebangsaan adalah RM3.6 juta.

“Setakat ini kerajaan mendapat hasil kutipan tender keseluruhan RM13.16 juta bagi siri nombor pendaftaran khas Malaysia.

“Sebelum ini, berlaku banyak ‘ketirisan’ apabila nombor khas ini hanya diberikan kepada badan bukan kerajaan untuk dijual dengan harga tender RM1 juta.

“Tetapi hari ini kita buktikan dengan hanya nombor 1 hingga 10 sahaja, kita boleh raih RM3.6 juta,” katanya pada sidang media, memetik BHOnline.

Pada masa sama, katanya, hanya nombor pendaftaran Malaysia 2020 tidak ditender kerana dikhaskan bagi kenderaan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, katanya, nombor ‘Malaysia 1’, ‘Malaysia 2’ dan ‘Malaysia 4’ dibida syarikat Aldi International Sdn Bhd.

Categories
NASIONAL

Menteri Pengangkutan tak mahu orang tunggu lama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengingatkan penganjur majlis kementeriannya supaya memulakan acara mengikut masa ditetapkan tanpa perlu sebarang tempoh menunggu.

Beliau berkata, peringatan terbabit selari dengan saranan pentadbiran kerajaan baharu yang mengutamakan ketepatan masa.

“Saya dimaklumkan, perlu berada di sini pada jam 9.50 pagi. Tetapi, bila saya tengok backdrop, majlis bermula jam 9 pagi.

“Saya harap penganjur boleh memberikan masa yang sama. Jika hadirin tiba jam 9 pagi, maka beritahu supaya menteri hadir waktu yang sama. Tidak perlu tunggu lama-lama.

“Saya tidak suka orang menunggu saya lama-lama kerana seolah-olah saya membuang masa orang lain. Jadi, saya harap penganjur bila ada program bersama kita, maka tidak perlu tempoh menunggu.

“Jika semua perlu hadir jam 9 pagi, maka menteri juga kena hadir 9 pagi. Ini cara baru kita, ini kerajaan baru, menteri baru, ‘style’ pun baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu, di RnR Seremban, semalam.

Loke berkata, ketepatan masa adalah nilai yang diterapkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebagai menteri kabinet, saya akan berusaha menepati nilai ini iaitu kita akan menepati dan tidak mahu membuang masa.

“Saya harap, nasihat ini diterima semua pihak termasuk kakitangan kementerian dalam menganjurkan majlis, pada masa depan,” katanya.

Beliau berharap, program dianjurkan kementerian atau swasta juga dapat dijalankan dengan cepat dan sederhana.