Categories
NASIONAL

Rafizi Ketuai Siasatan Penipuan PRU-13

Rafizi SAM

PETALING JAYA, 7 MEI: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan mengetuai kumpulan bagi mengumpul segala maklumat serta bukti penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke -13(PRU13) berlangsung.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara penipuan yang berlaku dalam PRU-13 baru-baru ini termasuklah isu dakwat kekal yang tidak kekal, pengundi hantu berbangsa asing dan karenah yang ditunjukkan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sepanjang hari pengundian.

“Dia akan berkerjasama dengan gerakan yang digerakkan oleh rakyat, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan lain-lain dari DAP dan PAS.

“Hingga hari ini kita dapat maklumat, sudah beratus laporan polis dibuat oleh orang ramai berhubung isu penipuan pilihan raya ini.

“Dalam tempoh beberapa minggu kami akan umumkan Najib menang pilihan raya melalui cara penipuan,” kata Anwar.

Anwar juga, antara penyelewengan yang dimaksudkan termasuklah tindakan Pegawai SPR yang meminta agen calon di pusat pengiraan undi menandatangani borang 14 ketika pengiraan undi masih berjalan.

Borang 14 sepatutnya hanya ditandatangani agen calon selepas agen tersebut mengesahkan jumlah undian yang tertera di atas borang menyamai jumlah undi yang dikira.

Sementara itu dalam isu sama TV Selangor difahamkan, beberapa Pegawai SPR di beberapa kawasan yang dimenangi PR dengan sengaja melengah-lengahkan pengumuman kemenangan calon PR.

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Isu Seks Helah Jijik Burukkan PR

tian chua pc pkr 01

SHAH ALAM 16 APRIL : Polis diminta menjalankan siasatan berhubung penyebaran video seks individu dikaitkan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kerana ia dilihat didalangi pihak tertentu bagi mencemarkan imej pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, PR percaya helah menjijikkan ini dilakukan Umno-BN bagi memburukkan PR tambahan pula Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berlangsung tidak lama lagi.

“Mustafa Ali adalah mangsa baru helah kotor Umno-BN, beliau sudah menafikan bahawa terlibat dalam video seks ini malah menuduh Umno-BN cuba memfitnah beliau.

“Malaysia adalah negara di bawah pemerintahan undang-undang, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan segera untuk mengelakkan pihak tertentu menggunakan helah kotor menyebar fitnah serta mencemarkan arena politik negara kita.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan untuk memantau atau menyiasat perkara ini. Oleh demikian, kami percaya semua ini adalah helah kotor pihak musuh yang bermatlamat menabur fitnah terhadap pemimpin PR,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tian Chua mendakwa polis ‘lepas tangan’ dalam isu sebegini seperti sebelum ini apabila video lucah melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwak Ibrahim disebarkan.

“Namun begitu, polis tidak pandang serius dan ambil tindakan terhadap video rekaan ini, malah membisu apabila media pro Umno-BN melaporkannya demi menjatuhkan imej PR.

“Contohnya semasa pilihanraya negeri Sarawak pada 2011, insiden Datuk T dedahkan video seks serang Anwar, walaupun Anwar sudah melaporkan kepada polis, kes ini tidak ada apa-apa sampai kini, tidak ada sesiapa dikenakan tindakan.

“Malah pihak mahkamah sudah memutuskan Anwar tidak bersalah dalam kes liwat II pada Januari tahun ini, Anwar juga menang kes saman terhadap Utusan Malaysia yang menuduh beliau menyokong pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) awal tahun ini.

Beliau berkata, PKR mematuhi kedaulatan undang-undang dan menghormati pilihan raya yang dijalankan secara adil dan saksama lantas menyeru Umno-BN berhenti memainkan helah kotor serta mencabar Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak hadir di forum manifesto pilihan raya anjuran Bersih pada esok berdebat dengan Anwar di hadapan rakyat.

Categories
NASIONAL

Utusan dan TV3 Mohon Maaf Atau Disaman RM 100 juta

surendren lateefa saman anwar 01

PETALING JAYA 4 MAC : Suratkhabar Utusan Melayu Malaysia Bhd (Utusan) dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) digesa menarik balik dakwaan tidak berasas berkaitan pencerobohan di Lahad Datu dalam tempoh 24 jam.

Ia berkenaan dakwaan Utusan bertarikh 2 Mac lepas di muka hadapan bertajuk “Ketua Pembangkang dikaitkan dengan Pencerobohan” dan di muka surat 10 bertajuk “Tiga Kumpulan jadi dalang,” itu cuba mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan Utusan itu dilaporkan semula oleh TV3 di dalam siaran siaran berita Buletin Utama pada Mac 2.

Peguam, N Surendran berkata, jika pihak Utusan dan TV3 tidak memberikan sebarang respon dan meminta maaf, pihaknya akan memfailkan saman berjumlah RM 100 juta masing-masing terhadap mereka.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas, fitnah dan jahat.

“Kita telah menghantar surat kepada pihak Utusan untuk menuntut menarik balik dakwaan itu dan membuat kenyataan maaf secara terbuka,” kata Surendran dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Kita meminta tuduhan tidak berasas itu ditarik balik dengan segera dan TV3 juga perlu meminta maaf dan membayar ganti rugi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegas beliau.

Kata beliau, Anwar Ibrahim memandang serius tuduhan yang dilemparkan kerana ia merupakan serangan peribadi jahat dan percubaan untuk mengeluarkan fakta palsu kejadian pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu.

“Ini amat serius kerana melibatkan keselamatan negara kerana mengelurkan kenyataan palsu berhubung isu itu,” kata Surendran.

Turut hadir sama dalam sidang media itu peguam Latheefa Koya.