Categories
NASIONAL

Elizabeth Mahu ROS Tarik Balik Surat Keterangan Suaram

SHAH ALAM, 9 NOV : Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya agensi itu terus mendesak beliau untuk memberi keterangan berhubung kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Adun Bukit Lanjan itu berkata, dia telah mengarahkan peguam Edmund Bon untuk menghantar surat penjelasan kepada ROS berhubung perkara itu.

“Saya menerima surat daripada ROS bertarikh 5 November 20102 lalu ditandatangani Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa), Asisten Superintenden Arsad Kamaruddin mengarahkan saya hadir memberi kenyataan lisan terhadap siasatan mengenai Suaram.

“Saya tidak akan menghadiri sesi temubual itu dan mengarahkan ROS menarik balik arahan diberikan itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS sekiranya mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Elizabeth merupakan bekas aktivis Suaram.

Elizabeth yang juga Exco Plancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor mendakwa siasatan ROS itu hanya tercetus setelah Suaram mula mendedahkan kes salahguna kuasa di dalam pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai 7.3 bilion.

Skandal pembelian senjata tersebut telah mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Beliau mendakwa siasatan itu menunjukkan ROS dipergunakan untuk tujuan partisan Umno-BN.

“Saya dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Suaram dalam usaha meneruskan kes tersebut di mahkamah Perancis,” katanya.