Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Wanita Hamil Layak Jadi Guru Sandaran

20130627_093838

PUTRAJAYA 27 JUN : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dua tahun lalu yang memutuskan wanita mengandung juga berhak mendapat tawaran sebagai guru sandaran.

Keputusan itu juga bererti Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia jelas melakukan diskriminasi gender terhadap Noorfadilla Ahmad Saikin yang pada ketika pelantikan dibuat sedang hamil tiga bulan.

“Saya sangat gembira hari ini kerana keputusan kekal, ini membuktikan apa yang saya perjuangkan selama ini adalah benar dan sudah terbukti dua kali di mahkamah.

20130627_094249“Saya juga berterima kasih pada Kerajaan Negeri Selangor khususnya YB Rodziah(Ismail), YB Zuraidah (Kamaruddin) juga barisan peguam yang banyak membantu dalam kes ini sejak empat tahun lalu.

“Saya harap lebih ramai wanita di luar sana yang mengalami nasib seperti saya untuk tampil ke hadapan dan tuntut hak mereka supaya diskriminasi seperti ini tidak berulang,” tegas beliau yang kini bakal melahirkan cahayamata ke empat.

Beliau hadir di mahkamah ditemani suaminya, Mohd Izwan Zakaria dan anak-anaknya serta Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dan peguam Edmund Bon.

Rodziah ketika diminta mengulas juga berharap Kerajaan Pusat mengambil pelajaran daripada keputusan hari ini dan melakukan anjakan dalam usaha mewujudkan persekitaran pekerjaan yang benar-benar berlatarbelakangkan keserataan gender.

“Kerajaan Pusat haruslah buktikan bahawa mereka melaksanakan apa yang tertulis dalam Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada diskriminasi gender.

“Saya juga harap mereka terima keputusan mahkamah kali ini dan tidak lagi membuang masa membuat rayuan dalam kes-kes seperti ini, yang dengan jelas adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang mereka putuskan dalam perlembagaan,” ujar Rodziah yang juga Adun Batu Tiga.

Pada Mei 2010, Noorfadilla menerusi peguamnya memfailkan saman pemula selepas pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditarik balik apabila beliau mengaku hamil.

20130627_093856Beliau pada ketika itu menamakan tiga Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Berdasarkan afidavit, Noorfadilla menghadiri temuduga jawatan tersebut pada 12 Januari 2009 sehingga berjaya mendapat tawaran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau kemudian diminta hadir untuk mendapatkan memo penempatan sekolah dan ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, memo penempatan itu ditarik serta merta pada hari yang sama dengan alasan wanita mengandung tidak boleh dilantik menjadi guru sandaran.

Kes ini kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Hakim Zaleha Yusof pada Julai 2011 memutuskan bahawa Noorfadilla sebenarnya berhak mendapat jawatan tersebut sepertimana dinyatakan dalam perlembagaan.

Categories
NASIONAL

Elizabeth Mahu ROS Tarik Balik Surat Keterangan Suaram

SHAH ALAM, 9 NOV : Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya agensi itu terus mendesak beliau untuk memberi keterangan berhubung kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Adun Bukit Lanjan itu berkata, dia telah mengarahkan peguam Edmund Bon untuk menghantar surat penjelasan kepada ROS berhubung perkara itu.

“Saya menerima surat daripada ROS bertarikh 5 November 20102 lalu ditandatangani Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa), Asisten Superintenden Arsad Kamaruddin mengarahkan saya hadir memberi kenyataan lisan terhadap siasatan mengenai Suaram.

“Saya tidak akan menghadiri sesi temubual itu dan mengarahkan ROS menarik balik arahan diberikan itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS sekiranya mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Elizabeth merupakan bekas aktivis Suaram.

Elizabeth yang juga Exco Plancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor mendakwa siasatan ROS itu hanya tercetus setelah Suaram mula mendedahkan kes salahguna kuasa di dalam pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai 7.3 bilion.

Skandal pembelian senjata tersebut telah mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Beliau mendakwa siasatan itu menunjukkan ROS dipergunakan untuk tujuan partisan Umno-BN.

“Saya dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Suaram dalam usaha meneruskan kes tersebut di mahkamah Perancis,” katanya.

Categories
SELANGOR

Masalah Penginapan Pelajar Unisel Selesai

SHAH ALAM, 17 OGOS : Masalah penginapan asrama yang dihadapi kira-kira 1,600 pelajar Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya bakal berakhir apabila mereka dijadualkan akan menerima kunci pada 23 Ogos depan.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab menguruskan penginapan pelajar bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi Pejabat Residen Komuniti Siswa seperti biasa.

Menurutnya, tindakan itu diputuskan JNSB susulan daripada permohonan Unisel yang memfailkan Saman Pemulanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Ekoran keengganan pihak Jana Niaga untuk membuka semula operasi pejabat Residen Komuniti Siswa dan menyerahkan kunci kepada pelajar, Unisel melalui peguamcara telah memfailkan Saman Pemula pada 16 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Atas permohonan Unisel, pendengaran telah diadakan di mahkamah dan Jana Niaga melalui peguamnya bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi mereka bermula 23 Ogos seperti biasa,” katanya dalam satu sidang media di Unisel hari ini.

Hadir sama, peguamcara mewakili Unisel, Edmund Bon.

Tambahnya, peguam Unisel bersama peguam Jana Niaga juga akan memulakan perbincangan untuk cuba menyelesaikan pertikaian di antara kedua-dua pihak demi kepentingan mahasiswa universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu.

“Sebarang pertikaian yang bermula sejak Jun 2009 antara pihak Unisel dan Jana Niaga akan dibincangkan secara terperinci dan spesifik supaya masalah ini boleh selesai,” kata Dr Anuar.

Kontroversi berhubung isu penginapan pelajar timbul apabila sebilangan besar daripada mereka masih gagal menerima kunci meskipun sesi pengajian dilaporkan sudah bermula.

Dilaporkan, perkara itu berlaku ekoran keengganan Jana Niaga yang sepatutnya memberi kunci untuk akses ke asrama pelajar pada 3 Ogos lalu.