Categories
NASIONAL SELANGOR

Unsur Sabotaj Isu Air : Hayat Mahu SPRM Siasat SPAN, SYABAS

Demo Depan Syabas 05

SHAH ALAM 10 JAN : Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mahu satu siasatan terperinci dijalankan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam isu krisis bekalan air di Ampang.

Presidennya, Arshad Ahmad berkata siasatan itu perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis bagi memastikan kejadikan bekalan air yang terputus itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berniat untuk memburukkan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Syabas mendakwa lima pam air di Wangsa Maju rosak menyebabkan penduduk sekitar Ampang dan Cheras terputus bekalan air sejak dua minggu lalu.

“Kami tidak boleh terima alasan yang diberikan oleh Syabas kerana ia adalah tanggungjawab Syabas membuat perancangan dan pemantauan secara berkala.

“Kegagalan demi kegagalan kepada sistem Syabas dalam tempoh kebelakangan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya contohnya kegagalan fungsi rumah pam Wangsa Maju dan rumah pam Pudu Hulu.

“Mengapa semua pam itu rosak? Adakah ia satu sabotaj dari mana-mana pihak untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menyalahkan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas membuat satu bantahan aman terhadap Syabas di Wisma Rozali.

Kira-kira 50 penduduk di sekitar Ampang hadir mendesak Syabas menyelesaikan masalah itu.

Antara kawasan yang terlibat Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Jaya, Taman Nirwana dan Ampang Mewah.

Categories
SELANGOR

Penduduk Demo Gesa SYABAS Pulih Bekalan Air

Demo Depan Syabas 01

SHAH ALAM 10 JAN : Lebih 50 orang penduduk di sekitar Pandan hari ini berhimpun di Wisma Rozali di sini bagi menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memulihkan bekalan air di kawasan terbabit yang terputus bekalan sejak dua minggu lalu.

Penduduk bersama badan bukan kerajaan (NGO), Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mula berkumpul di Wisma Rozali pada jam 12 tengah hari bagi menghantar memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Rozali Ismail.

Mereka turut membawa sepanduk yang tertera antaranya ‘Syabas terbabas’, ‘Syabas tidak boleh harap’, ‘kembalikan hak rakyat’ dan ‘disebabkan Syabas anak kami tidak ke sekolah’ serta ‘disebabkan Syabas peniaga tidak dapat berniaga’.

Pengerusi Hayat, Arshad Ahmad berkata rata-rata penduduk di sekitar Ampang tidak berpuas hati dengan Syabas kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Katanya, Syabas dilihat cuba mempolitikkan isu air demi kepentingan pihak lain dan menyalahkan Kerajaan Negeri.

“Penduduk kesal dengan apa yang berlaku, Syabas tidak sepatutnya membangkitkan kemarahan rakyat.

“Kami juga mendesak Syabas supaya menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, Arshad mendakwa Syabas hanya menghantar lori bekalan air kepada penduduk hanya sekali dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau menambah penduduk tidak teragak-agak untuk menyaman Syabas sekiranya bekalan air tidak dipulihkan dengan segera.

Penduduk, Lee Shok Jing, 32, berkata penduduk tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan Syabas kerana sudah menjadi tanggungjawab syarikat itu melakukan perancangan dan persediaan agar penduduk mendapat air tanpa gangguan.

“Bekalan air yang terputus ini menyebabkan penduduk bergaduh sesama sendiri, contohnya semalam, penduduk tertekan hingga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan air yang dihantar, kami tidak mahu perkara ini terus berlaku,” katanya.

Memorandum yang diambil oleh wakil Syabas iaitu Pengarah Eksekutifnya, Ismail Hashim.

Sebelum ini, masalah bekalan air itu didakwa berpunca daripada lima pam air di Wangsa Maju mengalami kerosakkan menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan air antaranya di kawasan sekitar Ampang dan Cheras.

Demo Depan Syabas 04 Demo Depan Syabas 02 Demo Depan Syabas 03