Categories
SELANGOR

Penduduk Demo Gesa SYABAS Pulih Bekalan Air

Demo Depan Syabas 01

SHAH ALAM 10 JAN : Lebih 50 orang penduduk di sekitar Pandan hari ini berhimpun di Wisma Rozali di sini bagi menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memulihkan bekalan air di kawasan terbabit yang terputus bekalan sejak dua minggu lalu.

Penduduk bersama badan bukan kerajaan (NGO), Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mula berkumpul di Wisma Rozali pada jam 12 tengah hari bagi menghantar memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Rozali Ismail.

Mereka turut membawa sepanduk yang tertera antaranya ‘Syabas terbabas’, ‘Syabas tidak boleh harap’, ‘kembalikan hak rakyat’ dan ‘disebabkan Syabas anak kami tidak ke sekolah’ serta ‘disebabkan Syabas peniaga tidak dapat berniaga’.

Pengerusi Hayat, Arshad Ahmad berkata rata-rata penduduk di sekitar Ampang tidak berpuas hati dengan Syabas kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Katanya, Syabas dilihat cuba mempolitikkan isu air demi kepentingan pihak lain dan menyalahkan Kerajaan Negeri.

“Penduduk kesal dengan apa yang berlaku, Syabas tidak sepatutnya membangkitkan kemarahan rakyat.

“Kami juga mendesak Syabas supaya menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, Arshad mendakwa Syabas hanya menghantar lori bekalan air kepada penduduk hanya sekali dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau menambah penduduk tidak teragak-agak untuk menyaman Syabas sekiranya bekalan air tidak dipulihkan dengan segera.

Penduduk, Lee Shok Jing, 32, berkata penduduk tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan Syabas kerana sudah menjadi tanggungjawab syarikat itu melakukan perancangan dan persediaan agar penduduk mendapat air tanpa gangguan.

“Bekalan air yang terputus ini menyebabkan penduduk bergaduh sesama sendiri, contohnya semalam, penduduk tertekan hingga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan air yang dihantar, kami tidak mahu perkara ini terus berlaku,” katanya.

Memorandum yang diambil oleh wakil Syabas iaitu Pengarah Eksekutifnya, Ismail Hashim.

Sebelum ini, masalah bekalan air itu didakwa berpunca daripada lima pam air di Wangsa Maju mengalami kerosakkan menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan air antaranya di kawasan sekitar Ampang dan Cheras.

Demo Depan Syabas 04 Demo Depan Syabas 02 Demo Depan Syabas 03

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Ikrar Pertahankan Kadar Air Rendah Buat Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 15 OGOS: Penstrukturan semula industri air di Selangor akan memastikan bahawa rakyat akan mendapat harga air yang tidak mahal berbanding dengan situasi sekarang di mana ia diuruskan syarikat konsensi.

Sekiranya penstrukturan semula tidak dapat dijayakan oleh kerajaan negeri, pengguna Selangor akan berhadapan dengan kenaikan harga air lebih 12 peratus.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikan tarif air melebihi 12 peratus sekiranya Kerajaan Negeri gagal mengambilalih operasi syarikat itu.

Kerajaan Negeri sedang berusaha mengambil alih operasi Syabas, yang mengurus bekalan air terawat Selangor, yang merupakan sebahagian dari proses penstrukturan semula industri air.

Proses penstrukturan semula bertujuan memastikan bahawa air terawat dapat dibekalkan ke seluruh Selangor pada harga yang munasabah.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan membawa isu ini ke peringkat timbangtara antarabangsa sekiranya menemui jalan buntu.

“Saya tidak akan tawarkan keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi, begitu juga kerajaan persekutuan kalau mereka juga mengutamakan kepentingan rakyat tentu mereka tidak menyebelahi Tan Sri Rozali (Ismail).

“Saya akanĀ  memastikan pulangan kepada rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan negeri,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Selain itu, Abdul Khalid turut menempelak Rozali, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Syabas, kerana enggan berundur walaupun gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dalam syarikat konsesi itu.

“Beliau patut berhenti dari Syabas, sebab dah pun dapat ganjaran dari Syabas dan beliau tidak terlibat atau tidak hadir dalam banyak usaha menyelesaikan masalah jika ada krisis air di Selangor.

“Bayangkan Kerajaan Negeri sendiri telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri berbincang setiap hari dengan Syabas, tetapi malangnya Pengerusi Syabas tak ada nak jalankan tanggungjawabnya sendiri,” ujar Abdul Khalid.

Beliau turut menggesa agar kerajaan pusat agar menyebelahi rakyat Selangor berbanding Rozali dalam isu penstrukturan air di Selangor.

“Saya nak mintak Kerajaan Persekutuan, negeri dah buat keputusan kita tak nak lagi Rozali sebagai dalang usaha operasi air di Negeri Selangor.

“Samada dibayar atau tidak, dia dah tak boleh lagi sebab sumbangan dia tak menguntungkan rakyat Selangor.?

Categories
NASIONAL

AMK Selangor Akan Anjur Roadshow Perjelas Isu Syabas

KLANG 25 JULAI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor sedang merancang untuk mengadakan ‘roadshow’ atau siri jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penjelasan berhubung isu air kepada rakyat.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata siri jelajah itu akan diadakan sekiranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak memberi sebarang maklum balas berhubung memorandum yang dihantar baru-baru ini.

Katanya, AMK akan menerangkan fakta sebenar mengenai krisis air yang sengaja ditimbulkan oleh Syabas.

“Ini kerana kita melihat Syabas sengaja mengelirukan rakyat dan isu air ini sudah menjadi bahan politik mereka dan Umno-BN.

“Dalam jelajah itu juga kita akan mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail untuk letak jawatan. Buat masa ini kita masih menunggu maklum balas dari Syabas,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Andalas.

Azmizam menambah, AMK turut menimbang perancangan untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran sekiranya memorandum itu tidak diberi perhatian oleh Syabas.

Selain itu, beliau turut meminta Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) dan Syabas menamakan 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan membantah tindakan Kerajaan Negeri Selangor menolak Projek Langat 2.

“Kita pasti 54 NGO tidak wujud kerana pada sesi taklimat mengenai isu air di pejabat Syabas semalam membuktikan kehadiran mereka tidak seramai yang diutarakan oleh GPRS,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syabas di Wisma Rozali, bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Mahu MB Ambil Alih Syabas Bagi Elak Sabotaj

SHAH ALAM 23 JULAI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dengan membeli saham-saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan ?krisis air? yang dipercayai telah dicipta oleh pihak tertentu.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimie Shafie berkata hal itu kerana syarikat itu dilihat cuba mensabotaj kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan mewujudkan krisis air bagi menakut-nakutkan rakyat negeri ini.

“Kita minta kerajaan negeri suntik wang dan beli Syabas. Tindakan segera perlu diambil kerana Syabas cuba mensabotaj dan memburuk – burukkan kerajaan negeri,” katanya selepas menyertai demostrasi Bantahan Kegagalan Syabas, di Wisma Rozali, di sini.

Lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (Step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Demonstrasi Bantahan Kegagalan Syabas itu dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di hadapan pintu masuk bahagian belakang wisma itu kira-kira 12.00 tengah hari dan kemudian berarak ke perkarangan bahagian hadapan wisma terbabit.

Satu memorandum yang mengandungi tujuh perkara juga disampaikan kepada Pengarah Eksekutif dan Pentadbiran Sumber Manusia, Ismail Hashim untuk diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk memecat Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas kerana gagal memberikan penjelasan berhubung catuan air yang diumumkan syarikat itu baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih pengurusan syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Khalid berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengambil alih pengurusan Syabas dan mengarahkan Peguam Negara mengkaji undang-undang agar projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dapat diteruskan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Isu Air Negeri Selangor, di sini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demo Tuntut Syabas Serah Konsesi Air Kepada Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 23 JULAI : Lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di Wisma Rozali, di sini hari ini bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Desakan itu dibuat berikutan membantah cadangan Syabas untuk program catuan air dan kegagalan Syabas memenuhi tanggungjawab dalam membekalkan air terawat yang mencukupi kepada pengguna seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Demonstrasi Bantahan Kegagalan Syabas itu dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di hadapan pintu masuk bahagian belakang wisma itu kira-kira 12.00 tengah hari dan kemudian berarak ke perkarangan bahagian hadapan wisma terbabit.

Kumpulan berkenaan membawa kain rentang dengan slogan “Kembalikan air kepada rakyat”, “Hentikan catuan air”, “Pecat Tan Sri Rozali Ismail” , “Air bukan politik jangan politikkan air”, “Kerajaan Negeri segera ambil alih Syabas” dan “Syabas peras ugut rakyat Selangor”.

Satu memorandum yang mengandungi tujuh perkara juga disampaikan kepada Pengarah Eksekutif dan Pentadbiran Sumber Manusia, Ismail Hashim untuk diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.

Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata pihaknya melihat beberapa tindakan Syabas yang tidak profesional malah tidak mengutamakan keperluan pengguna dengan mensabotaj Kerajaan Negeri menjelang PRU13.

“Tindakan sabotaj ini sengaja ditimbulkan bagi mengundang kemarahan rakyat, antaranya cadangan catuan air dengan alasan kononnya bekalan air terawat tidak mencukupi dan menyalahkan Kerajaan Negeri atas keengganan meluluskan Projek Langat 2,” katanya.

Azmizam menambah, ekoran keadaan itu, Kerajaan Negeri kehilangan 60 projek pelaburan akibat perkhidmatan Syabas yang tidak memuaskan.

“Manakala, 162 buah projek pembangunan di negeri tidak diluluskan oleh Syabas dan itu membuktikan Syabas tidak layak mengurus air di negeri ini.

“Kita tidak mahu Syabas terus menganayai rakyat dan menjadi orang suruhan Umno-BN dengan mengugut rakyat. Hentikan politik ugutan,” katanya.

Memorandum yang mengandungai tujuh perkara itu antaranya ialah perkhidmatan Syabas yang tidak memuaskan, kedudukan kewangan Syabas yang membimbangkan, bantahan cadangan catuan air dan desakan menyerahkan operasi air terawat kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu, berhenti mensabotaj Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri lebih cekap mengendalikan operasi air terawat dan menolak Projek Langat 2.

Hadir sama, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei ; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin ; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan Kerajaan Negeri, Ronnie Liu.

Turut disertai oleh lima gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor.