Categories
GLOBAL

AS lanjut tutup operasi kerajaan

WASHINGTON, 28 DIS: Penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) terus berlarutan selepas penggubal undang-undang gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan Presiden Donald Trump untuk mendapatkan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok, di sempadan Mexico.

Memetik AFP, selepas beberapa minit bersidang, ahli Senat yang secara rasminya masih bercuti sempena Krismas meninggalkan dewan dan bersetuju untuk bertemu kembali, pada Rabu minggu depan.

Hal itu sekali gus menjadikan penutupan operasi pentadbiran Kerajaan AS yang kini sudah memasuki hari keenam akan berlarutan selama 12 hari.

Trump berhasrat membina tembok di sempadan AS dan Mexico, iaitu antara janji yang dibuat ketika pilihan raya presiden, namun permohonannya ditolak anggota Demokrat dan Republikan.

Justeru, sebagai tindak balas, Trump enggan menandatangani peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana kepada pentadbiran kerajaan.

Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders mendakw Demokrat secara terbuka memilih untuk memastikan kerajaan ditutup bagi melindungi pendatang tanpa izin berbanding mengutamakan rakyat Amerika sendiri.

Beliau berkata, Trump tidak akan menandatangani cadangan yang tidak lebih dulu mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara.

Selagi perdebatan berkenaan tembok itu tidak diselesaikan, kira-kira 800,000 kakitangan persekutuan tidak akan mendapat gaji dan beberapa bahagian kurang utama dalam kerajaan tidak akan berfungsi.

Categories
GLOBAL

Jet pejuang F/A 18 AS terhempas di Laut Filipina

TOKYO 12 NOV: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat F/A 18, terhempas di Laut Filipina selepas mengalami masalah teknikal ketika melakukan penerbangan rutin, kata Tentera Laut negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua juruterbang berjaya diselamatkan serta-merta dan berada dalam keadaan stabil.

Siasatan berhubung punca kemalangan itu juga sudah bermula.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS hantar tentera di sempadan Mexico ketat kawalan

WASHINGTON, 1 NOV: Ribuan tentera Amerika Syarikat (AS) dikerahkan segera ke sempadan AS-Mexico sebagai tambahan kepada pengawal sempadan sedia ada untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan.

Memetik BERNAMA, pihak berkuasa AS memaklumkan tentera diperlukan bagi mengekang kemasukan kumpulan besar pendatang dari negara Amerika Tengah yang dijangka tiba di sempadan.

Jumlah penempatan anggota tentera akan berubah setiap hari, tetapi setakat ini Pentagon menghantar 5,239 anggota dan akan ditempatkan selama 45 hari, manakala seramai 2,000 anggota lain diarahkan bersiap sedia.

Ketua Angkatan Tentera Darat AS, Jeneral Terrence O’Shaughnessy berkata, tentera akan menumpukan kepada “memperkuatkan” laluan sempadan dan kawasan sekitarnya.

Tentera juga akan menyediakan sokongan perubatan dan perumahan sementara untuk pengawal sempadan.

Sementara itu, menurut kumpulan bantuan dikenali Pueblos sin Fronteras, kumpulan pertama seramai kira-kira 4,000 orang tiba di bandar Juchitan, di Oaxaca pada Khamis.

Satu lagi kumpulan kira-kira 2,000 orang berjaya menyeberangi Sungai Suchiate yang memisahkan Mexico dari Guatemala sehari sebelumnya.

Kebanyakan migran berjalan kaki dan masih berada ratusan kilometer dari sempadan AS dan mengambil masa lebih 45 hari untuk tiba ke sempadan negara itu.

Categories
EKONOMI

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar US pagi ini kerana sentimen negatif menyelubungi permintaan terhadap mata wang tempatan, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.1595/1625 berbanding dolar AS daripada 4.1590/1620 pada Isnin.

Ketua Dagangan OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata ketidaktentuan risiko global, penyusutan harga minyak dan kelemahan prabajet, menyaksikan kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran.

“Fokus berikutnya adalah data indeks harga pengguna (CPI) minggu ini, bagaimanapun melihat kepada suasana inflasi yang hangat tahun ini, ia berkemungkinan menukar pasaran kepada penurunan kadar faedah terhadap dasar Bank Negara Malaysia pada masa depan,” tambahnya.

Ringgit didagangkan kebanyakan tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3928/3971 daripada 5.4183/4239 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0122/0148 daripada 3.0166/0194 pada Isnin.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7668/7706 daripada 4.7841/7880 semalam, tetapi berbanding yen Jepun, ia susut sedikit kepada 3.6891/6925 daripada 3.6857/6887.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Presiden Iran beri amaran keras pada Trump

IRAN, 22 JULAI: Presiden Iran, Hassan Rouhani mengingatkan Amerika Syarikat (AS) supaya tidak mengganggu ketenteraman negara itu atau bakal berdepan bahana.

Peringatan khusus kepada Presiden AS, Donald Trump itu susulan usaha Washington yang didakwa cuba memecah belah kestabilan republik berkenaan.

“AS perlu tahu, berdamai dengan Iran merupakan ibu segala keamanan, manakala berperang dengan Iran pula adalah ibu segala peperangan,” katanya lapor agensi berita IRNA.

Beliau turut mengingatkan Trump untuk berhenti masuk campur urusan negara itu.

“Kamu tidak berhak mengapi-apikan rakyat Iran untuk bertindak mencabar kepentingan dan keselamatan Iran,” katanya.

Iran ketika ini berdepan tekanan oleh AS selepas Trump membuat keputusan membawa negara itu keluar dari perjanjian antarabangsa berhubung program nuklear Iran 2015.

Di Washington, sumber dalaman kerajaan AS mendedahkan pentadbiran Trump ketika ini sedang berusaha memberi tekanan berterusan kepada Iran untuk menghentikan program nuklearnya selain menghentikan sokongan kepada pengganas.

Categories
GLOBAL

Serangan ke atas Syria berjaya capai sasaran

WASHINGTON 14 APR: Serangan terhadap Syria oleh Amerika, Britain dan Perancis hari ini mengenai tiga sasaran iaitu pusat penyelidikan saintifik, kemudahan simpanan serta pusat pemerintahan tentera dekat Damsyik dan simpanan senjata kimia di Homs.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, berkata buat masa ini, serangan sudah selesai dan tiada serangan lanjut akan dilancarkan terhadap Syria melainkan Presiden Bashar al-Assad menggunakan lagi senjata kimia.

“Kami melakukan serangan pantas yang tepat dan ia juga serangan yang besar,” katanya.

Menurut Mattis, serangan itu berlangsung selama kira-kira sejam.

Dalam serangan terhadap Syria tahun lalu, Amerika hanya menggunakan peluru berpandu cruise Tormahawk yang mensasarkan satu lapangan terbang.

Kali ini, serangan turut menggunakan pesawat penggempur Tornado Britain yang membedil peluru berpandu Shadow serta jet penggempur Perancis, Rafael.

Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Joseph Dunford, mengakui sistem pertahanan udara Syria, termasuk peluru berpandu bumi ke udara dilancarkan namun beliau menyatakan tiada laporan mengenai pesawat pihak bersekutu terkena tembakan.

Menurutnya, seperti serangan sebelum ini, tentera Russia diberi amaran mengenai serangan itu dan pesawat Barat akan berada di ruang udara Syria namun tidak diberitahu sasaran atau masa serangan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Diplomat Russia yang diusir AS pulang hari ini

MOSCOW 31 MAC: Enam puluh diplomat Russia yang diusir Amerika Syarikat dijangka pulang ke negara mereka hari ini.

Pengusiran itu sebagai reaksi kepada cubaan membunuh bekas pengintip Kremlin di Britain dengan ejen saraf.

“Pada 31 Mac, semua diplomat yang diumumkan persona non grata akan kembali ke negara mereka bersama-sama keluarga,” kata Duta Russia ke AS, Anatoly Antonov, kepada wartawan.

Secara keseluruhan, 171 akan meninggal AS, agensi berita TASS melaporkan Antonov sebagai berkata.

Kerajaan Russia menyediakan dua pesawat untuk membawa pulang diplomatnya dan satu daripada kapal terbang itu akan singgah di New York untuk mengambil 14 keluarga lagi.

Washington, minggu ini menyertai banyak sekutu Britain dalam mengusir diplomat Russia dalam reaksi kepada serangan itu, dengan jumlah keseluruhan adalah lebih 150 diarahkan keluar dari AS, negara anggota Kesatuan Eropah, negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara lain.

AS berkata, ia mengusir 60 yang didakwa ‘pengintip’ Russia yang ditempatkan di seluruh negara itu dan di misi Russia di PBB.

Kelmarin, Moscow bertindak balas dengan mengumumkan mengusir 60 diplomat AS dan menutup konsular Washington di Saint Petersburg.

Semalam, Russia mengusir lebih ramai diplomat daripada 23 negara, kebanyakannya negara anggota EU.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Barat usir 116 diplomat Rusia

WASHINGTON 28 MAC: Sekutu Amerika Syarikat (AS) dan Britain di seluruh dunia mengusir sejumlah diplomat Rusia yang disyaki pengintip Rusia dalam tindak balas berhubung satu serangan agen saraf.

Sekurang-kurangnya 116 perisik Rusia yang didakwa menyamar sebagai pegawai diplomatik diarah keluar oleh 22 buah negara, menandakan kejayaan diplomatik untuk Britain.

 

Washington mendahului sekutu-sekutunya dengan mengarahkan pengusiran 60 pegawai diplomatik Rusia, tamparan baharu dalam hubungan Washington-Moscow kurang seminggu selepas Presiden Donald Trump mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya, Vladimir Putin kerana dipilih semula sebagai Presiden Rusia.

Beberapa pegawai AS berkata, seramai 48 ‘pegawai perisikan’ yang bekerja dengan misi diplomatik Rusia di AS diusir, bersama 12 pegawai Moscow di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.

Mereka diberi tempoh sehingga 2 April depan untuk menutup konsulat tersebut dan keluar dari AS, namun kediaman konsul Rusia akan dibuka sehingga 25 April depan.

“Sebaik tarikh akhir berlalu, kesemua hartanah itu tidak lagi menikmati status ataupun perlin–dungan diplomatik,” kata pegawai Jabatan Negara AS.

Pengusiran itu adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah Rusia atau Kesatuan Soviet. Sebelum ini, Presiden Barack Obama pernah menghalau 35 diplomat Rusia kerana didakwa mencampuri urusan pilihan raya AS.

Dalam pada itu, Kanada, Ukraine, Albania, Australia dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) mengikut langkah tersebut dengan pengusiran berskala kecil selepas Britain menggesa sekutunya bertindak balas berhubung perbuatan meracun bekas ejen talam dua muka, Sergei Skripal.

Ukraine mengusir 13 diplomat Rusia, Albania (2), Norway (2), Macedonia (2), manakala sekurang-kurangnya 16 negara EU turut bertindak mengusir diplomat Moscow.

Semalam, Australia pula bertindak mengusir dua diplomat Rusia.

Rusia menafikan mendalangi cubaan bunuh itu yang menyebabkan Skripal dan anak perempuannya tenat di hospital, manakala kejadian itu dipercayai serangan agen saraf pertama di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Malah, Kremlin mendakwa tuduhan Britain itu merupakan cubaan menggagalkan persediaan Rusia sebagai tuan rumah kejohanan Piala Dunia di Moscow pada Jun tahun ini.

Sementara itu, beberapa negara termasuk Britain dan Australia membayangkan akan memboikot Piala Dunia tahun ini.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

China sedia hadapi perang perdagangan dengan AS

GLOBAL 24 MAC: China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu ‘tidak gentar untuk perang perdagangan’ sewaktu mengancam mengenakan tarif bernilai AS$3 bilion (RM11.7 bilion) ke atas produk AS sebagai balasan terhadap barangan import China oleh Presiden Donald Trump.

Beijing mengumumkan satu senarai produk yang mungkin dikenakan duti import sehingga 25 peratus, termasuk buah-buahan segar hingga daging babi dan wain.

 

Negara itu bagaimanapun menangguhkan seketika tindakan bagi menunjukkan kesediaan untuk berunding mengenai perkara berkenaan.

Tindakan terbaru itu menyebabkan beberapa pasaran saham merudum susulan peningkatan kebimbangan bahawa AS yang menuduh China mencuri harta intelek secara besar-besaran dan amalan tidak adil lain boleh mengundang perang dagangan yang memudaratkan.

“China sebolehnya tidak mahu terbabit dalam perang perdagangan tetapi kita tidak gentar untuk melancarkan perang perdagangan,” menurut Kementerian Perdagangan China.

Beberapa jam sebelumnya, Trump telah menandatangani satu perintah bagi mengenakan sekatan ke atas pelaburan China di AS dengan menyatakan tindakan itu yang ‘pertama daripada banyak lagi’.

“Kami mempunyai satu situasi kecurian harta intelek betul-betul hebat sedang berlaku,” kata Trump ketika beliau menandatangani perintah dagangan baharu yang mungkin menyaksikan pengenaan duti import setinggi 25 peratus.

Kementerian Perdagangan China memberi amaran bahawa tarif sebanyak 15 peratus ke atas 120 barangan bernilai hampir AS$1 bilion (RM3.9 bilion) termasuk buah-buahan segar, kacang dan arak akan dikenakan jika AS gagal mencapai satu ‘perjanjian ganti rugi dagangan’ dalam suatu rangka masa tidak ditetapkan secara spesifik.

Langkah kedua pula akan menyaksikan tarif sebanyak 25 peratus dikenakan ke atas lapan jenis barangan bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM7.8 bilion) termasuk daging babi dan skrap aluminium, sebaik sahaja ‘melakukan penilaian lanjut berhubung impak tindakan AS terhadap China’, menurut ke­nyataan sama.

Senarai itu tidak termasuk kacang soya dengan akhbar rasmi milik kerajaan China, Global Times mencadangkan komoditi itu sepatutnya menjadi sasaran Beijing.

Sekiranya tindakan itu diambil, ia akan memberi tamparan hebat kepada petani-petani AS kerana satu pertiga bekalan kacang soya AS dieksport ke China dengan transaksi berjumlah AS$14 bilion (RM54.8 bilion) tahun lalu.
SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

AS sahkan Korea Utara bunuh Kim Chol guna agen VX

GLOBAL 7 MAC: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menyimpulkan hari ini bahawa Korea Utara mengarahkan pembunuhan abang yang juga pesaing kepada pemerintah Kim Jong-Un dengan racun agen VX yang dilarang.

“Perlakuan umum ini adalah penghinaan terhadap norma universal yang menentang penggunaan senjata kimia.

“Ia terus menunjukkan sifat Korea Utara yang melulu dan kita tidak mampu untuk bertoleransi dengan program nuklear mereka dalam apa bentuk sekalipun,” kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert, lapoer Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Penemuan itu mencetuskan satu lagi sekatan ekonomi AS terhadap Pyongyang, ketika rejim itu bersedia untuk mengadakan perbincangan menamatkan kebuntuan nuklear dengan Korea Selatan.

Namun menghidupkan semula kontroversi sepanjang pembunuhan Kim Jong-Nam atau Kim chol tahun lalu, yang disembur dengan agen kimia di muka oleh dua wanita ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), boleh mengganggu percubaan untuk memulakan perbincangan.

Kim chol pernah dilihat sebagai bakal pewaris bapa mereka Kim Jong-Il, selain beberapa laporan yang mencadangkan bahawa China mungkin akan mempersiapkan dirinya untuk menggantikan adiknya sekiranya berlaku krisis.

Nauert berkata, penyiasat AS yang beroperasi di bawah Akta Kawalan Senjata Kimia dan Biologi 1991 dan Akta Penghapusan Peperangan 1991 mendapati bahawa pada 22 Februari Korea Utara harus dipersalahkan atas pembunuhan itu dan racun agen VX digunakan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Polisi nuklear ‘anti Rusia’ AS diselar Moscow

GLOBAL 4 FEB: Moscow semalam menyelar polisi baharu nuklear ‘agresif anti Russia’ Amerika Syarikat sambil memberi amaran bahawa negara itu akan mengambil langkah perlu demi menjamin keselamatannya.

“Sifat agresif dan anti Russia di dalam dokumen ini adalah jelas,” kata Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan sambil menambah ia perkembangan yang amat mengecewakan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Pendekatan baharu mengenai dasar nuklear Washington diambil kira dan beberapa langkah, perlu diambil untuk menjamin keselamatan kami,” kata kementerian itu.

Jumaat lalu, Pentagon mendedahkan rancangan memperbaharui simpanan senjata nuklearnya sebahagian besarnya sebagai tindak balas terhadap tindakan Russia sejak beberapa tahun lalu.

Amerika Syarikat sudah mempunyai simpanan senjata nuklear besar termasuk 150 unit bom nuklear B-61 yang disimpan di beberapa negara Eropah. Ia boleh diubah menjadi bom nuklear dengan kesan serangan lebih kecil.

Senjata baharu dalam perancangan Pentagon itu mungkin boleh dilancarkan dari kapal selam atau kapal, justeru ia tidak perlu ditempatkan di Eropah. –
SUMBER: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA

Najib usah beretorik dalam membantah AS

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak perlu retorik dalam menzahirkan bantahan terhadap tindakan terbaru America untuk memindahkan Ibu Negara Israel dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis.

Sebaliknya Perdana Menteri perlu serius dalam menangani hal ini khususnya dalam menyuarakan bantahan rasmi kerana suara Kuala Lumpur adalah suara Islam rantau sejagat.

Satu tindakan komprehensif perlu dilakukan sebagai tanda Kuala Lumpur membantah keras tindakan Presiden America, Donuld Trump termasuk membatalkan hasrat Malaysia untuk membeli 25 buah pesawat boeing 737 dan membangunkan prasarana di Amerika melalui pelaburan KWSP yang dicadangkan pada 13 September lalu.

Saranan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memanggil sidang khas parlimen khusus bagi membincangkan isu terbaru melibatkan Baitul Maqdis ini dilihat sebagai satu langkah tepat dalam menzahirkan bantahan Kuala Lumpur terhadap Amerika.

Pembangkang dan Kerajaan perlu dilihat bersama dalam solidariti terhadap Palestin.

Jumaat lalu Pemuda Pakatan Harapan telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika.

Sebagai lanjutan langkah itu, Kerajaan perlu memanggil duta besar Amerika ke Malaysia untuk memberi penjelasan sebagai salah satu langkah Kuala Lumpur memberikan isyarat bantahan kepada Amerika.

Justeru Perdana Menteri perlu dilihat bersungguh sungguh dalam menangani isu ini dan bukannya retorik dalam ucapan semata-mata tetapi tiada tindakan sewajarnya.

Solidariti umat islam seluruh dunia adalah perlu pada ketika ini untuk bersama mempertahankan kota suci Baitul Maqdis.

 

SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN

Pen. Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Nasional

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor