Categories
AGENDA GLOBAL

Utusan AS ke Syria berada di Turki untuk berunding

ANKARA, 22 JUL: Utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Syria kini berada di Turki untuk berunding dengan para pegawai berkaitan isu Syria, pencegahan keganasan dan keselamatan, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara AS pada Ahad.

James Jeffrey, yang juga berkhidmat sebagai utusan khas AS bagi Gabungan Global untuk Menewaskan Daesh, akan mengadakan pertemuan pada Isnin dan Selasa dengan para pegawai Turki di Ankara.

Lawatan Jeffrey adalah atas undangan kerajaan Turki, menurut kenyataan bertulis Jabatan Negara AS.

“Duta Jeffrey mengetuai satu delegasi antara agensi untuk meneruskan perbincangan dengan para pegawai kanan Turki untuk memajukan isu kepentingan awam bersama berkaitan Syria bagi memasukkan, langkah-langkah menangani kebimbangan keselamatan Turki yang sah, pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR 2254) dalam konflik Syria, dan usaha berterusan kami bagi memastikan kekalahan ISIS (Daesh),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pelan damai AS sekadar “menjual ilusi” – Presiden Palestin

RAMALLAH, 28 MEI: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pelan damai “perjanjian abad ini” yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) dan bengkel ekonomi di Bahrain pada bulan depan, sekadar “menjual ilusi”, lapor agensi berita Xinhua.

“Mereka menjual ilusi dan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, kita tidak memerlukan bantuan mereka kerana rakyat Palestin mampu membina negara sendiri,” kata Abbas pada satu majlis di Ramallah.

Kenyataan itu merujuk kepada persidangan ekonomi anjuran AS yang akan diadakan di Manama, Bahrain pada 25 Jun.

“Siapa yang mahu menyelesaikan isu Palestin mesti menerusi politik,” katanya.

“Langkah demi langkah kita sedang ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata presiden Palestin itu.

Hubungan antara kepemimpinan Palestin dan AS terputus selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pada Mei 2018, Washington memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS bakal hantar 1,500 tentera tambahan ke Timur Tengah

WASHINGTON, 25 MEI: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar 1,500 lagi tentera tambahan ke Timur Tengah sebagai “langkah perlindungan”, ekoran ketegangan yang kian memuncak dengan Iran, kata Presiden Donald Trump, pada Jumaat.

“Kita lihat apa akan berlaku selepas ini,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan berkata, Pentagon telah memaklumkan Kongres mengenai langkah terbaru itu. “Ini adalah tindak balas berhemah terhadap ancaman Iran,” tulisnya di Twitter.

Pentagon dalam satu taklimat pada Jumaat petang berkata, kira-kira 600 tentera telah tiba di rantau itu bersama dengan sebuah sistem pertahanan yang direka untuk mengesan dan memusnahkan peluru berpandu, seramai 900 lagi anggota ditugaskan mengendalikan radar pengawasan risikan dan dron.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam reaksi balasnya berkata Iran tidak gentar dengan tindakan AS itu.

“Tindakan dan propaganda oleh AS sekadar untuk kekal relevan dalam pandangan masyarakat awam,” kata jurucakap IRGC, Ramezan Sharif.

Pada hari sama, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata pentadbiran Trump telah menggunakan peruntukan yang jarang dibelanjakan di bawah undang-undang persekutuan untuk menyekat Kongres dan melengkapkan jualan senjata kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan.

Washington dan Tehran dibelenggu perang mulut sejak dua minggu lalu, menyaksikan Iran berikrar untuk menentang sikap AS yang suka “membuli”.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini ekoran sentimen lemah yang berterusan disebabkan petunjuk luaran yang kurang menggalakkan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1520/1550 semasa ditutup pada Khamis berbanding dolar US.

Beliau berkata sokongan kepada mata wang tempatan akan terus negatif berikutan pasaran lengang dengan rundingan perdagangan antara AS dan China yang sedang berlangsung di Washington.

“Peniaga kekal tidak memasuki pasaran untuk melihat hasil daripada rundingan itu,” katanya.

Rundingan itu, jika berjaya, akan mengelak satu lagi pusingan perang perdagangan antara kedua-dua negara itu dengan ancaman oleh Presiden AS Donald Trump untuk menaikkan tarif ke atas barangan China yang bernilai US$200 bilion kepada 25 peratus daripada 10 peratus pada masa ini hari ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7776/7814 daripada 3.7831/7862 pada Khamis, manakala tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0447/0480 daripada 3.0447/0486.

Mata wang tempatan rendah berbanding pound British kepada 5.4009/4061 daripada 5.3984/4040 dan susut berbanding euro kepada 4.6627/6665 daripada 4.6482/6528.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump mahu Brazil jadi negara sekutu utama luar NATO

WASHINGTON, 9 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Rabu beliau berhasrat menjadikan Brazil sebagai negara sekutu di luar NATO, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Trump kepada Kongres.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Brazil baru-baru ini dalam meningkatkan kerjasama pertahanan dengan AS,” kata Trump.

Bagi membolehkan taraf negara sekutu di luar NATO diberikan kepada sesebuah negara, Trump perlu menunggu 30 hari selepas memaklumkan kepada Kongres.

Tujuh belas negara lain memegang status sekutu di luar NATO termasuk Israel, Jepun dan Korea Selatan.

Sekiranya ia menjadi kenyataan Brazil akan menjadi negara Amerika Latin pertama menyertai NATO. Kesemua 29 negara anggota NATO dari Amerika Utara dan Eropah.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia dapat semula AS$322 juta dana 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sudah dan akan memulangkan sejumlah besar dana yang diperoleh semula hasil sitaan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak USD57,036,788.68 juta atau RM236,672,083.16 juta dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang dibuka khusus bagi tujuan itu.

“Oleh itu, Malaysia sudah mendapatkan semula AS$322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) nilaian daripada aset 1MDB sejak siasatan ke atas 1MDB bermula secara efektifnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pada Mei 2018.

“Suatu jumlah lain sebanyak SG$50 juta daripada dana yang berkaitan 1MDB juga sudah diarahkan oleh mahkamah di Singapura untuk dihantar pulang.

“Sejumlah SG$15 juta sudah dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lalu sehingga Mac tahun ini. Baki sebanyak SG$35 juta akan dikreditkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Thomas turut mengesahkan AS sudah memulangkan pembayaran pertama membabitkan AS$57 juta hasil sitaan sebuah syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures setelah ditolak dengan kos sebanyak AS$3 juta untuk penyiasatan, penyitaan, perbicaraan dan penyelesaian kes rumah penerbitan itu dan Equanimity.

Jumlah itu daripada penyelesaian AS$60 juta antara Red Granite Pictures dengan DOJ, pada Mac 2018.

Selain itu, Thomas memaklumkan DOJ kini dalam proses memulangkan AS$139 juta hasil penjualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan.

“Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan sejawat di AS dan Singapura.

“Kami ingin menyatakan rasa terima kasih kepada mereka. Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan dan Malaysia yakin akan lebih banyak wang bakal didapatkan semula dalam bulan mendatang,” katanya

Categories
GLOBAL

Trump guna kuasa veto tamatkan sokongan AS di Yaman

WASHINGTON, 17 APRIL: Presiden Donald Trump menggunakan kuasa veto berhubung satu resolusi yang menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan terhadap peperangan di Yaman yang dipimpin Arab Saudi, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Resolusi ini adalah sesuatu yang tidak perlu dan merupakan percubaan berbahaya untuk melemahkan kuasa perlembagaan saya, membahayakan nyawa rakyat Amerika serta anggota perkhidmatan yang berani, hari ini mahupun pada masa depan,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Ini adalah kali kedua Trump menggunakan kuasa veto selepas beliau menjadi presiden AS.

Perundangan itu pada asalnya diperkenal di Senat dan ditaja bersama calon presiden Senator Bernie Sanders, dengan mengguna pakai resolusi Kuasa-Kuasa Perang, satu undang-undang persekutuan yang memberikan Kongres kuasa untuk menyiasat presiden apabila menjerumuskan AS ke dalam konflik bersenjata.

Dewan itu meluluskan satu resolusi yang sama berhubung Yaman pada Februari, tetapi ia tidak sampai kepada Senat kerana isu prosedur.

Arab Saudi mengetuai gabungan bagi menentang pemberontak Houthi di Yaman sejak 2015, apabila Riyadh dan sekutu Sunni-Arabnya melancarkan satu kempen serangan udara besar-besaran bagi mengusir pemberontak Houthi dari kawasan yang dikuasainya yang bermula pada 2014.

Kempen itu memusnahkan infrastruktur Yaman, termasuk sistem kesihatan dan sanitasinya, menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai antara bencana kemanusiaan paling teruk pada zaman moden. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bukit Golan: Malaysia kutuk pengiktirafan AS

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Malaysia mengutuk keras keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengisytihar Bukit Golan di Syria sebagai milik Israel.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Malaysia tidak dapat menerima keputusan AS yang mengiktiraf pendudukan secara haram dan tidak sah terhadap tanah yang dimiliki negara berdaulat.

“Tindakan tidak bertimbang rasa dan provokatif itu hanya hipokrasi,” katanya.

Justeru, Malaysia menyeru AS supaya menghormati dan menegakkan tanggungjawabnya di bawah Resolusi 497 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Israel mesti menarik balik sepenuhnya daripada menduduki Bukit Golan milik Syria. Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bagi terhadap Bukit Golan yang perlu dikembalikan kepada Syria,” katanya.

Pada Isnin lalu, Trump menandatangani perisytiharan presiden yang mengiktiraf Golan sebagai wilayah Israel.

Menurut PBB, status undang-undang Golan akan kekal – walaupun pengumuman Trump – dan masih dianggap “wilayah yang diduduki” di bawah undang-undang antarabangsa.

Israel menduduki Bukit Golan dari Syria semasa Perang Arab-Israel 1967 dan terus menduduki kira-kira dua pertiga daripada wilayah itu. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Nahas Ethiopian Airlines, Boeing janji tawar bantuan teknikal

SAN FRANCISCO, 11 MAC: Gergasi pembuatan pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing, berjanji untuk menawarkan bantuan teknikal kepada Ethiopia susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines, yang terhempas sejurus berlepas.

Boeing dalam satu kenyataan ringkas turut mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang menaiki Penerbangan 302 (ET 302) itu.

“Satu pasukan teknikal Boeing akan berlepas ke lokasi nahas untuk memberikan bantuan di bawah arahan Biro Penyiasatan Kemalangan Ethiopia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS,” katanya.

Pesawat jenis Boeing 737-800 MAX itu, yang membawa 157 penumpang dan anak kapal terhempas, pada awal pagi Ahad ketika dalam perjalanan ke Nairobi, Kenya, mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam memaklumkan, bahawa penumpang itu terdiri daripada warganegara dari lebih 30 negara. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

AS ancam sekat institusi kewangan bantu Maduro

WASHINGTON, 7 MAC: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan sekatan kepada institusi kewangan asing yang menyumbang dana kepada Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Dalam satu wawancara dengan FOX Business Network pada Selasa, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton berkata, Washington akan “meneliti sama ada akan mengenakan sekatan baharu bagi menyekat rejim pentadbiran Maduro”.

Pada masa sama, Wakil Khas AS ke Venezuela, Elliott Abrams berkata, dalam satu taklimat media “jelas terdapat kemungkinan” AS akan mengenakan sekatan sekunder terhadap rakyat, entiti bukan AS atau syarikat yang terikat dengan kerajaan Maduro.

Ia bertujuan memberi tekanan terhadap Maduro ekoran AS menyuarakan sokongan kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden.

Pentadbiran Trump mengiktiraf Guaido sebagai “presiden interim” Venezuela pada 23 Januari, sebaik Maduro secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Maduro kemudian bertindak balas dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan AS. –BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dewan Pewakilan AS lulus RUU henti bantuan perang di Yaman

WASHINGTON, 14 FEB: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), dengan majoriti besar, semalam meluluskan rang undang-undang yang mengkehendaki Presiden, Donald Trump menghentikan bantuan negara itu kepada gabungan tentera pimpinan Arab Saudi dalam peperangan di Yaman.

Rang undang-undang itu kini dibentang kepada Senat untuk pertimbangan susulan keputusan undian 248-177, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

“Hari ini adalah hari bersejarah. Ini adalah kemuncak usaha perundangan selama beberapa tahun bagi mengakhiri penglibatan kita dalam peperangan Arab Saudi di Yaman,” kata wakil Demokratik Ro Khanna, yang mempelopori rang undang-undang itu selepas undian.

Jika Resolusi Kuasa-Kuasa Perang, sebahagian daripada respons kepada pembunuhan wartawan Washington Post yang merupakan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi — mampu membersihkan Senat, ia akan dibawa ke meja Trump, di mana ia mungkin berdepan penggunaan kuasa veto.

Rumah Putih sebelum ini telah mengeluarkan ancaman berhubung langkah itu.

Walau apapun, jika ia membersihkan Senat, langkah itu menyaksikan buat julung kalinya, penggubal undang-undang persekutuan menyemak kuasa seorang presiden untuk menggunakan pasukan tentera di bawah rang undang-undang 1973 bagi membolehkan Kongres berbuat demikian jika seorang presiden melibatkan tentera tanpa satu perisytiharan perang yang rasmi.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump tandatangan perintah eksekutif pastikan AS dalam AI

WASHINGTON, 12 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menandatangani perintah eksekutif yang melancarkan satu inisiatif bagi memastikan kepimpinan negara itu dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan Rumah Putih berkata, inisiatif bagi mempromosi teknologi itu di peringkat kebangsaan memerlukan perlindungan faedah yang diperoleh AS dalam bidang AI “daripada pesaing strategik dan musuh asing.”

Kennyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus pesaing atau musuh yang dimaksudkan.

“Kepimpinan Amerika yang berterusan dalam bidang Kecerdasan Buatan adalah kepentingan utama bagi mengekalkan keselamatan ekonomi dan negara AS,” kata Trump.

Inisiatif itu mencadangkan satu pendekatan pelbagai serampang untuk mempercepat kepimpinan AS dalam bidang AI termasuk dari segi pelaburan, perkongsian data, penetapan piawaian dan latihan kakitangan.

Bagaimanapun, ia menekankan satu “penglibatan antarabangsa” berbanding kerjasama antarabangsa yang dicadangkan oleh kebanyakan penyelidik dan usahawan AI.

Ia turut menggesa negara lain membuka pasaran kepada industri AI Amerika sambil memastikan teknologi itu dibangunkan secara konsisten dengan nilai-nilai dan kepentingan Amerika.

Inisiatif itu juga membolehkan agensi persekutuan menawarkan lebih banyak data, model dan sumber pengkomputeran kepada para penyelidik dan usahawan AI di negara tersebut.

“Kita tidak boleh duduk diam dan menganggap kepimpinan kita dalam bidang ini terjamin,” menurut kenyataan itu.

*Sumber: BERNAMA