Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemenang Paralimpik Tokyo kekal juara angkat berat dunia di Georgia

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Juara Sukan Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin mempamerkan aksi membanggakan untuk kekal sebagai juara dunia di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya dalam kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan 210kg sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada 2019 di Kazakhstan.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Hu Peng yang meraih perak dengan angkatan 196kg manakala atlet Mesir, Shaaban Ibrahim memenangi gangsa dengan angkatan 195kg.

“Saya sangat gembira selepas kemenangan di Tokyo hari itu dan ini adalah kemenangan kedua saya di Kejohanan Dunia. Cuma kali ini tidak dapat pecahkan rekod,” katanya dalam temu bual menerusi laman Twitter Persekutuan Powerlifting Paralimpik Antarabangsa.

Walaupun angkatan dilakukan lebih rendah berbanding rekod dunia iaitu 230kg dicatatkan ketika Piala Dunia 2021 pada Jun, Bonnie Bunyau masih boleh berbangga kerana melepasi angkatan dilakukan pada edisi 2019 yang mengangkatnya sebagai juara dunia dengan angkatan 207kg dalam kategori 65kg.

Bonnie Bunyau meraih pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas memecahkan rekod temasya itu dengan angkatan 228kg.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap tahniah kejayaan Bonnie sumbang emas pertama

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Kenyataan itu turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah, harap kejayaan Bonnie semarak semangat atlet negara

SHAH ALAM, 28 OGOS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah buat jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang memenangi pingat emas pertama Sukan Paralimpik Tokyo 2020 buat kontinjen kebangsaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berharap semoga kejayaan itu menyemarakkan lagi semangat atlet negara yang sedang bertanding ketika ini.

Bonnie turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada temasya di Rio 2016 iaitu 227 kilogram (kg), dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh angkat berat negara raih emas pertama, pecah rekod Paralimpik

TOKYO, 28 OGOS: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik pada Sabtu.

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, Bonnie tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

-BERNAMA