Categories
AGENDA NASIONAL

Op Benteng: 120 pendatang tanpa izin ditahan – menteri

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Tindakan tegas pihak berkuasa dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini menyaksikan 122 individu termasuk dua tekong ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka ditahan kerana memasuki sempadan negara melalui laluan tidak sah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Operasi Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan PDRM (57), Aksem (10) dan ATM (15),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-182 semalam menyaksikan seramai 68 individu ditahan atas kesalahan melanggar SOP.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 individu dikompaun manakala dua direman.

“Antara kesalahan ingkar PKP ialah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (21), tidak memakai pelitup muka (18), gagal melunaskan bil kuarantin (3) dan tangkapan pendatang tanpa izin (2),” katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas hingga semalam, 29,438 individu pulang ke tanah air dari 32 negara dan kesemua mereka ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 19,630 individu telah didiscaj serta dibenarkan pulang,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mereka yang berkenaan pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu.

Negara lain ialah Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: 294 ditahan berhibur di kelab malam – menteri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kesalahan membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam dengan 294 kes direkodkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka merupakan antara 512 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), ‘private party’ atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (8).

“Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15),” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 17,807 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mereka yang terbabit pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mengenai operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau berkata bagi tempoh 30 Mac lepas hingga semalam, sebanyak 9,930 operasi dijalankan di 134 zon dengan 12,988 premis antaranya pusat perniagaan, bangunan kerajaan dan tempat awam telah disanitasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperoleh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP jamin bekalan keperluan cukup

SHAH ALAM, 18 APRIL: Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa, kata Menteri Kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menjalankan penguatkuasaan untuk memantau 25 jenis bekalan serta bertindak menangani isu-isu pembekalan.

Semalam, katanya, KPDNHEP membuat pemantauan harian di 1,021 premis peniagaan termasuk 785 peruncit, 205 pemborong dan 31 pengilang.

“Kerajaan berharap pihak pengeluar, pengedar, pemborong dan pasar raya sentiasa memberi kerjasama memastikan pembekalan barangan keperluan asas pengguna mencukupi.

“Pada masa sama melaporkan sebarang masalah kekurangan bekalan barangan kepada KPDNHEP untuk tindakan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua syarikat, koperasi, persatuan serta pertubuhan diarah untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan mereka sehingga tarikh ditetapkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, mereka dibenar mengadakan mesyuarat secara dalam talian seperti persidangan video,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pekerja syarikat telekomunikasi dibenarkan membuat pemasangan internet di rumah pengguna sepanjang PKP, namun mesti disertakan surat untuk dikemukakan kepada polis yang menjalankan sekatan jalan raya.

Categories
NASIONAL

FOMCA : GST 6 % tinggi, jejas golongan berpendapatan rendah dan sederhana

fomca-GST

SHAH ALAM 29 OKT : Pelaksanaan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus adalah terlalu tinggi dan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi mendapatkan barangan keperluan ekoran kenaikan harga.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu melaksanakan GST pada kadar yang rendah supaya tidak memberikan kesan yang besar kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kita tidak menjangka kerajaan akan mengenakan pada kadar enam peratus kerana kadar pengenalan GST yang sesuai pada peringkat awal ini adalah antara tiga hingga empat peratus.

“Sewajarnya kerajaan mengenakan GST pada paras yang rendah supaya tidak membebankan rakyat pada pengenalan pertama, bermula 1 April 2015,” katanya ketika dihubungi di TV Selangor di sini, hari ini.

Yusof berkata, GST adalah cukai kepenggunaan bermaksud semua pengguna yang menggunakan barangan itu akan mendapat kesannya.

“Berdasarkan kajian, golongan yang berpendapatan rendah ini membelanjakan sebahagian besar wang pendapatan mereka untuk mendapatkan keperluan asas, berbanding golongan berpendapatan tinggi.

“Semakin banyak barangan keperluan yang dibelanjakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, maka kesan yang perlu dihadapi mereka akan meningkatg,” kata beliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan GST menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat, selain turut menjadi tambahan beban kepada rakyat  Sabah dan Sarawak disebabkan rakyat di negeri itu mempunyai berpendapatan jauh lebih rendah daripada Semenanjung.

-NFN-