Categories
AGENDA NASIONAL

500 bas elektrik pelbagai saiz perluas pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ berkata usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

Dalam pada itu beliau berkata pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL yang dilancarkan pada awal tahun ini memanfaat lebih 120,000 pengguna pengangkutan awam.

“Kerajaan juga melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan Rapid Ferry,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu bagi kemudahan penduduk luar bandar pula, beliau berkata kerajaan akan terus menyokong sambungan ‘last-mile’ di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi menaik taraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah.

“Ini akan meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk tempatan di samping menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Guan Eng berkata bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, kerajaan akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Katanya, melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik.

“Sebagai sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya.

Sementara itu bagi mengurangkan beban tol lebuh raya, Guan Eng berkata jemaah menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS dan cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan.

“Diskaun tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bas elektrik Smart Selangor sejajar visi ‘Smart State’ 2025

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan menggunakan bas elektrik dalam perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri berikutan ia sejajar dengan visi menjadikan negeri itu sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penggunaan bas elektrik memberi pelbagai kelebihan seperti menggunakan teknologi mesra alam sekitar, menjimatkan, berdaya saing dan dilengkapi teknologi terkini yang diperlukan.

“Sebagai sebuah negeri maju dan terkehadapan sememangnya kita ke arah penggunaan bas elektrik sepenuhnya di mana teknologi lebih mesra alam, berdaya saing, memudahkan rakyat dan lebih-lebih lagi menjadi cita-cita kita untuk menjadi sebuah negeri ‘Smart State’ menjelang 2025.

“Apa yang dipersembahkan tadi menepati ciri-ciri yang kita inginkan tetapi bukan teknologi yang baik dan canggih sahaja jadi ukuran tetapi kewujudannya mampu memanfaatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menerima taklimat daripada syarikat pembekal bas elektrik, Asiana Kencana berkenaan bas elektrik keluaran mereka di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menilai cadangan dibentangkan Asiana Kencana sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebarang keputusan yang akan dibuat hendaklah selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Selangor.

“Apa yang penting kita dapat membudayakan, menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kenderaan awam dan yang penting kita dapat memperkemaskan serta mengukuhkan perkhidmatan yang diberikan Bas Smart Selangor,” katanya..

Amirudin meberitahu, pada masa ini sebanyak 27 Bas Smart Selangor beroperasi dengan membabitkan lebih 39 laluan di seluruh Selangor.

Sebelum itu, Amirudin sempat mencuba bas elektrik yang dicadangkan Syarikat Asiana Kencana.

Selain menggunakan teknologi mesra alam sekitar dan menjimatkan, ciri canggih lain yang terdapat adalah sistem pengecaman wajah, jantina, pengesanan lokasi dan kumpulan umur yang memudahkan pemilik bas membina pangkalan data bagi tujuan kajian.

Selain untuk tujuan kajian, pangkalan data yang diperolehi juga boleh digunakan untuk tujuan keselamatan seperti mengenal pasti penjenayah dan lain-lain.

Bas elektrik terbabit juga dilengkapi dengan kemudahan khas untu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Categories
SELANGOR

Perkenal bas elektrik, laksana Agenda Teknologi Hijau

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 FEB: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan penggunaan Bas Elektrik menerusi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor, tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia akan direalisasikan sejajar matlamat Kerajaan Negeri untuk membudayakan penggunaan teknologi hijau dan rendah karbon.

Katanya, Kerajaan Negeri turut membincangkan penambahan beberapa laluan baru yang sering menjadi tumpuan utama.

“Kita masih dalam perbincangan berapa jumlah Bas Elektrik dan juga berapa jumlah laluan yang akan diperkenalkan.

“Tetapi kita optimis melaksanakannya kerana senario pencapaian yang dilihat sangat memberangsangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim berkata keutamaan itu jumlah laluan akan diberikan kepada kawasan bandar kerana permintaan tinggi.

“Kita akan berikan keutamaan kepada kawasan bandar khususnya kerana keperluan ketara berbanding luar bandar.

“Matlamat utama sebelum memperkenalkan bas ini juga mahu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mahu orang ramai menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kemudahan Bas Smart Selangor sedia ada turut akan ditambah selain mempertingkatkan perkhidmatan melalui penggunaan aplikasi.

Untuk rekod, tahun lalu lebih 11 juta pengguna menerima manfaat itu dan sejumlah 22.1 juta ‘ridership’ direkodkan dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

Dalam tempoh itu juga, Kerajaan Negeri membiayai sebanyak RM43 juta dengan 100 unit bas yang beroperasi di 30 laluan membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri.

Ketika pembentangan Belanjawan 2018 lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan RM11 juta sebagai sebahagian projek Smart Selangor, termasuk pelaksanaan Projek Perhentian Bas Pintar.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tambah bas elektrik tahun hadapan

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah sepenuhnya bas elektrik bagi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor, bermula tahun hadapan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng
Chang Khim berkata, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri mengurangkan pembebasan karbon ke dalam ruang udara negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah menerima beberapa cadangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung perkara sama.

“Sekarang kita sudah ada 100 bas, jadi kita mahu bas ke 101 dan seterusnya nanti adalah bas elektrik.

“Kita akan mengkaji setiap cadangan PBT namun kita mahu mengingatkan bahawa keputusan bergantung kepada keperluan dan bukan permintaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Chang Khim berkata, beberapa aplikasi juga bakal dilancar bagi memudahkan pengguna Bas Smart Selangor.

“Kita kini dalam proses penyediaan aplikasi berkenaan, di mana pengguna boleh menyemak secara ‘real time’ kedudukan bas.

“Ini akan meningkatkan mutu perkhidmatan selain membantu pengguna mengurus perjalanan mereka dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau ditemui sejurus selesai mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut delegasi United Kingdom ‘Mega Technology Mision’ ke Malaysia, di Istana Selangor, semalam.

Pada 24 September lalu, Bas Smart Selangor ke-100 menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi perkhidmatan bas percuma terbanyak disediakan sesebuah Kerajaan Negeri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MBPJ sedia bas elektrik kurang pencemaran udara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 11 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan dua perkhidmatan bas elektrik sebagai inisiatif mengurangkan masalah pencemaran udara di kawasan itu.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata pihaknya sentiasa memberi tumpuan ke arah mengekalkan Petaling Jaya sebagai bandar raya mesra alam.

“Sebagai bentuk kesedaran kepada masyarakat, MBPJ memainkan peranan sangat berkesan dengan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik di kawasan ini.

Mohd azizi mbpj“Dalam tempoh itu, sebanyak dua perkhidmatan bas elektrik digunakan daripada 22 bas percuma disediakan sebelum ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pengurusan Karbon Fasa II di Bilik Gerakan bangunan MBPJ di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Bin Anuar, wakil kedutaan British, Paul Rennie dan wakil Pengurusan Karbon (Malaysia), Robert Hatcher.

MBPJ sebelum ini menjalin kerjasama bersama Rapid Bas Sdn Bhd melalui projek yang mula beroperasi Februari lalu.

Perkhidmatan terbabit melalui beberapa jalan utama di sekitar Taman Jaya, Petaling Jaya Selatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PMUM) dan Subang Jaya.

Selain mampu menjimatkan penggunaan karbon, perkhidmatan itu juga dilihat berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu litas di sekitar Petaling Jaya.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, MBPJ turut menekankan beberapa kaedah yang kini dilaksanakan kakitangannya dalam usaha mengurangkan penggunaan karbon.

Antaranya, penggunaan penghawa dingin pada 24 darjah celcius dan pemantauan penggunaan alatan elektrik pada tahap minima.

-AA-

Categories
SELANGOR

Bas elektrik percuma di Petaling Jaya menjelang 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 13 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menambah bilangan bas dan laluan bagi meningkatkan perkhidmatan percuma ‘PJ City BUS’ di bandar raya itu tahun hadapan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata kajian MBPJ mendapati bilangan pengguna perkhidmatan itu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“MBPJ menjalin kerjasama dengan Rapid Bus Sdn Bhd dengan menyediakan 10 bas untuk kemudahan pengguna sekitar bandar raya ini.

Mohd azizi mbpj“Dengan sambutan menggalakkan, kita merancang menambah bilangan bas iaitu dua atau tiga lagi dengan satu daripadanya bas elektrik selain tambahan laluan mungkin di Kelana Jaya dan Taman Bahagia,” katanya.

Mohd Azizi berkata, perbelanjaan bagi perkhidmatan itu akan meningkat dari RM2.9 juta tahun ini kepada kira-kira RM4.5 juta dengan penggunaan bas elektrik.

Katanya, setiap laluan menyediakan empat bas dengan dua laluan tambahan. MBPJ memerlukan lebih kurang 12 bas untuk tahun hahdapan.

“Penggunaan bas elektrik memang memerlukan perbelanjaan agak tinggi, namun tidak mendatangkan masalah tambahan kerana Petaling Jaya adalah bandar raya karbon rendah dan berkonsep teknologi hijau.

“Perbincangan lanjut akan dijalankan bersama Rapid Bus Sdn Bhd berhubung perkara ini,” katanya.

Perkhidmatan bas percuma ‘PJ City Bus’ bermula 11 April lalu dengan dua laluan iaitu PJ01 dari hab Jalan PJS 3/2 ke Stesen LRT Taman Jaya manakala PJ02 dari Stesen LRT Taman Jaya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

-NFN-

Kerajaan Negeri pertimbang pembelian bas elektrik

Kerajaan Negeri pertimbang pembelian bas elektrik bagi melicinkan kesesakan trafik di wilayah Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Categories
SELANGOR

Bas elektrik perlu di Petaling Jaya

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Penggunaan bas elektrik perlu dilaksanakan di kawasan Petaling Jaya ekoran bilangan penduduk yang padat selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, pelaksanaan itu bagi meningkatkan bilangan bas di Petaling Jaya.

PC Rajiv dan Haniza berkenaan stesen bas di PJ Old Town (12)“Memang penggunaan bas elektrik sangat diperlukan dan sesuai dilaksanakan di kawasan seperti Petaling Jaya. Bas mini juga masih relevan dan apa yang penting bilangan bas di kawasan seperti ini mesti dipertingkatkan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin bagaimanapun berkata, setakat ini masih tiada cadangan untuk pelaksanaan menyediakan bas elektrik.

Sehubungan itu, katanya, bagi mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam, penduduk memerlukan bas ulang-alik terutama yang menghubungkan Transit Aliran Ringan (LRT) ke pusat komersial dan kawasan perumahan.

“Buat masa ini, tidak ada apa-apa cadangan lagi tetapi kita pasti perlu bas ulang-alik lebih yang menghubungkan LRT untuk komersial dan kawasan perumahan,” katanya.

subang alam LRT bahaya  01Sebelum ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang mengkaji kemungkinan untuk menggunakan bas elektrik pada masa akan datang.

Perkhidmatan Bas Rapid Transit–Laluan Sunway (BRT) bakal mencatat sejarah sebagai perkhidmatan bas elektrik penuh negara yang pertama yang dijadualkan mula beroperasi pada Jun ini.

Projek kerjasama antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Kumpulan Sunway di bawah program Kerjasama Awam Swasta (PPP), BRT-Laluan Sunway juga bakal mencatat sejarah sebagai projek BRT pertama di Malaysia dan laluan BRT bertingkat pertama di rantau Asia Tenggara.

Projek itu dikatakan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

-NFN-