Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

50 laluan Bas Smart Selangor kekal ketika PKP

SHAH ALAM, 19 MEI: Kesemua 50 laluan Bas Smart Selangor kekal seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata orang ramai masih menggunakan perkhidmatan bas tersebut walaupun negeri ini dikenakan perintah berkenaan.

“Kita menyediakan 50 laluan bas percuma dengan 172 bas termasuk PJ City Bus dan SA09 yang baharu dilancarkan baru-baru ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang menaiki bas mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung.

Selain itu, Sze Han menggalakkan penumpang memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem ‘Scan To Ride’.

Sistem itu diperkenalkan sejajar dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.

Kerajaan melaksanakan PKP seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih RM30,000 dikutip dari warga asing naik Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 1 MEI: Sebanyak RM33,000 dikutip dari tindakan mengenakan caj terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

EXCO pengangkutan berkata jumlah berkenaan terkumpul sepanjang sebulan sejak ia dilancarkan pada 15 Mac lalu.

“Bas percuma hanya untuk penduduk tempatan. Kita tidak halang warga asing menggunakan bas ini namun mereka perlu membayar 90 sen untuk perjalanan sehala,” kata Ng Sze Han.

Bermula pertengahan Mac, golongan tersebut dikenakan bayaran untuk menaiki Bas Smart Selangor bagi menampung sebahagian kos diperlukan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam.

Caj hanya dikenakan kepada warga asing dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun tanpa mengira destinasi.

Pengguna juga wajib menggunakan fungsi ‘Scan To Ride’ menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dengan mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bas Smart Selangor diluaskan di Kota Raja

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan Selangor menambah laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor sekitar Parlimen Kota Raja bagi memudahkan urusan pengangkutan penduduk sekitar.

EXCO pengangkutan berkata laluan S09 itu melibatkan jarak sejauh 21 kilometer yang mula beroperasi hari ini dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menyediakan kemudahan pengangkutan untuk orang ramai yang tinggal di kawasan luar bandar. Secara tak langsung, ia membantu perkembangan ekonomi setempat.

Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Laluan tambahan ini juga merupakan percubaan penggunaan bas bersaiz lebih kecil iaitu lapan meter untuk kesesuaian jalan desa. Sebelum ini bas digunakan bersaiz 12 meter,” kata Ng Sze Han selepas melancarkan laluan tambahan berkenaan.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Kota Kemuning, V Ganabatirau dan pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Sze Han berkata laluan bermula dari pasar raya Aeon Big BuKit Rimau dan berakhir di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 32 itu menggunakan empat bas berkapisiti 45 penumpang dengan kekerapan antara 15 hingga 25 minit.

Katanya, kos operasi itu dibiayai sepenuhnya oleh MBSA dengan peruntukan berjumlah RM1.1 juta setahun.

“Keseluruhannya, Selangor menyediakan 50 laluan bas percuma dengan 172 bas termasuk PJ City Bus bagi kegunaan awam sejak diperkenalkan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakej Kita Selangor: 17,000 pesakit Covid-19 naik bas percuma

SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 17,233 pesakit Covid-19 berisiko rendah menggunakan Bas Smart Selangor ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang setakat 29 Mac.

Dalam laporan mingguan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) menyebut bilangan itu meningkat berbanding 15,542 orang pada minggu sebelumnya.

“Bas Smart Selangor melakukan 1,452 perjalanan bagi membawa 17,233 pesakit terbabit,” menurut laporan tersebut.

Bas itu disediakan Kerajaan Selangor bagi memudahkan Kementerian Kesihatan membawa pesakit ke pusat
rawatan susulan peningkatan kes sekitar awal tahun ini.

Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, Upen juga menyebut seramai 450 kanak-kanak daripada 342 keluarga petugas hadapan ditempatkan di 12 pusat jagaan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Inisiatif berkenaan turut membabitkan penyertaan 13 sukarelawan dan perbelanjaan dikeluarkan setakat ini berjumlah RM597,050,” kata kenyataan.

Setakat ini, tujuh daripada 20 inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya diselesaikan.

Berikut kemajuan lain dalam pakej berkenaan:

  • Individu diperiksa dalam Saringan Komuniti percuma Covid-19 meningkat 8,064 orang membabitkan perbelanjaan RM749,952
  • Seramai 69,069 menerima manfaat peruntukan khas wakil rakyat
  • Penerima bantuan makanan kepada Orang Asli meningkat kepada 2,045 orang setakat 29 Mac berbanding 742 pada minggu sebelumnya
  • Yayasan Hijrah Selangor memproses 49 permohonan kumpulan pertama bagi program Pendigitalan
    e-Pembekal Peruncit dan Makro
  • Sebanyak 67 lagi permohonan Skim Niaga Darul Ehsan diluluskan membabitkan pembiayaan RM277,000
  • Seramai 3,004 penduduk di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang menerima bakul makanan bernilai
    RM50 setiap satu
  • Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor memberi manfaat kepada 31,715 individu
  • Kutipan Tabung Covid-19 kekal RM2.6 juta sehingga 29 Mac
  • Seramai 2,635 penghuni Projek Perumahan Rakyat menerima kupon pembelian barangan keperluan asas
  • Kerajaan sudah menyerahkan bantuan baja kompos seberat 128 tan kepada 912 petani
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 70,000 guna Scan to Ride dalam tempoh kurang sebulan

SHAH ALAM, 26 MAC: Seramai 74,037 penumpang Bas Smart Selangor menggunakan Scan To Ride ketika menaiki perkhidmatan awam itu sejak 1 Mac lalu.

Sistem imbasan kod QR melalui aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) diwajibkan ke atas penumpang ketika naik dan sebelum turun bas.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata caj 90 sen yang dikenakan ke atas warga asing pula mencatatkan sebanyak RM8,964 setakat ini.

“Walaupun pelaksanaannya tidak sampai sebulan namun sambutan terhadap sistem ini amat menggalakkan, malah pengguna mematuhi arahan untuk mengimbas kod itu,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor melancarkan Scan To Ride sejajar hasrat menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai bagi menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2035.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Penumpang warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak tidak diwajibkan mempunyai aplikasi itu sebaliknya hanya perlu membawa kad pengenalan.

Smart Selangor Delivery Unit menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi CEPat yang turut menawarkan khidmat bayaran cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan utiliti.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bas penggerak ekonomi, manfaat jutaan pengguna

Perkhidmatan Bas Smart Selangor banyak membantu golongan berpendapatan rendah termasuk pekerja asing. Selain bersifat kebajikan, ia juga memainkan peranan dalam menggerakkan sektor ekonomi negeri.

Sejak diperkenal pada 2015, pelbagai reaksi orang ramai terhadap perkhidmatan tersebut. Wartawan Mustakim Ramli menemu bual EXCO Pengangkutan Ng Sze Han untuk penjelasan terperinci.

Berapa ramaikah pengguna dan berapa laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor?

Tiada statistik tepat. Bilangan warga asing secara anggaran adalah 10 peratus. Keseluruhan pengguna bas ini sejak 2015 adalah 53 juta. Bukan semua laluan ada warga asing. Cuma di kawasan industri, bilangan mereka ramai sedikit.

Sekarang kita ada 43 laluan dengan 136 bas. Ini rekod Malaysia iaitu bilangan yang tinggi untuk pengangkutan percuma. Tiada yang lain dapat lawan dengan Selangor.

Berapakah jumlah perbelanjaan perkhidmatan setiap tahun?

Kita memasuki tahun keenam perkhidmatan ini kepada penduduk Selangor. Selepas enam tahun, inilah masa untuk kita kaji hala tujunya. Banyak pandangan dan ulasan diberi penduduk dan pengguna bas.

Antara yang sering ditanya kenapa perkhidmatan percuma yang begitu baik tidak beri keutamaan kepada penduduk Selangor yang membayar cukai kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Untuk makluman, kos operasi tahunan bas hampir RM50 juta. Bagi 2021, Kerajaan Negeri memperuntuk RM25 juta dan bakinya ditanggung semua PBT. Kos operasi beban yang agak besar kepada Kerajaan Negeri, juga PBT. Oleh itu, kita perlu pastikan perbelanjaan ini digunakan dengan sempurna.

Apakah asas pertimbangan perkenal bayaran kepada warga asing?

Caj kepada warga asing 90 sen sahaja. Kenapa kita perlu kenakan kadar minimum kepada warga asing? Kerana pandangan daripada rakyat diambil kira dan Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk negeri ini.

Penumpang Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal ketika menaiki perkhidmatan itu di Hentian Bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebenarnya, bukan semua laluan ada bilangan warga asing yang tinggi, hanya beberapa sahaja. Rakyat tempatan juga kurang selesa apabila bas penuh dengan warga asing.

Ada yang mengatakan 90 sen terlampau tinggi. Saya ingin beri contoh bas percuma di Putrajaya kepada rakyat Malaysia tetapi warga asing dikenakan RM1.50. Bukan Selangor sahaja yang kenakan caj kepada penumpang warga asing, Putrajaya pun kenakan caj yang jauh lebih tinggi.

Adakah ia beban berat? Kalau kita kira, 90 sen satu trip (perjalanan), pergi balik RM1.80. Seminggu kerja enam hari. Satu bulan darab empat minggu. Maknanya, sebulan lebih kurang RM43 sahaja.

Ada menganggap caj itu suatu bentuk diskriminasi. Penjelasan?

Sudah tentu bukan diskriminasi kerana warga asing boleh menggunakan perkhidmatan bas ini, mereka hanya perlu bayar 90 sen.

Di luar negara, warga asing perlu membayar untuk menaiki pengangkutan awam. Jadi, isu diskrimanasi tidak wujud. Kita bukan macam negeri lain yang langsung tidak benarkan warga asing naik bas percuma mereka. Mereka menggunakan sistem pendaftaran kad untuk naik bas tersebut dan hanya yang ada MyKad sahaja dibenarkan mendaftar.

Di Selangor, kami tidak menghalang warga asing tetapi hanya kadar minimum iaitu 90 sen. Contoh lain, anak warga asing ke sekolah kerajaan atau hospital, mereka perlu bayar sedikit yuran. Jadi, ini bukan diskriminasi.

Ada pula pengguna media sosial berasa caj terlalu rendah. Pandangan?

Selepas umumkan caj 90 sen, ada tanya kenapa sedikit sangat? Ada pula kritik tidak boleh patut caj. Akan tetapi ada golongan yang lagi besar bertanya kenapa rendah sangat? Kami ingin maklumkan Kerajaan Negeri tertakluk kepada Pekeliling Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan iaitu kadar maksimum 94 sen. Untuk senang kira, kita jadikan 90 sen. Ia bukan kadar yang sewewangnya diputuskan Kerajaan Negeri.

Bas ini bukan untuk warga asing sahaja tetapi golongan pekerja asing profesional dan pelancong asing. Kita boleh nampak kualiti perkhidmatan sangat baik. Kita bekal bas baharu, bersih, WiFi percuma dan tiba tepat masa.

Bagaimana Bas Smart Selangor membantu merancakkan ekonomi negeri?

Inisiatif ini kita lancarkan untuk tukar tanggapan orang ramai terhadap pengangkutan awam. Adakah pengangkutan awam suatu ketinggalan zaman? Umpamanya pekerja kilang sahaja menggunakan bas. Sebenarnya, ia tanggapan salah. Kalau kita ke Subang, Shah Alam, Petaling Jaya, ramai pekerja pejabat atau golongan berpendapatan pertengahan menggunakan perkhidmatan ini. Bangga menggunakan pengangkutan awam.

Mereka yang menggunakan bas ini secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi. Mereka menggunakan pengangkutan awam yang lebih efektif untuk ke tempat kerja tanpa menggunakan kenderaan sendiri.

Apakah tujuan Scan to Ride diperkenal?

Scan to Ride untuk kita kenakan caj kepada warga asing dan pada masa sama, Kerajaan Negeri memerlukan data penumpang. Kita perlu tahu perhentian bas atau laluan yang mana ada bilangan penumpang yang tinggi. Penumpang naik di perhentian yang mana satu dan turun di mana satu?

Ng Sze Han mengimbas kod QR ‘Scan To Ride’ di pintu masuk Bas Smart Selangor ketika melancarkan sistem itu pada 1 Mac 2021. Foto Facebook Ng Sze Han

Maklumat itu penting apabila kita mahu sediakan sesebuah laluan, adakah ia penting atau sebaliknya. Ketika ini, tiada maklumat tepat. Peruntukan kita terhad dan kita perlu bina perhentian bas. Keutamaan perlu diberi kepada lokasi yang mana satu? Maklumat kita hanya melalui pemandu bas.

Dengan sistem ini, kita dapat statistik tepat. Perhentian mana perlu kita bina dulu, besar mana kerana saiznya berbeza. Adakah tempat itu ada pengguna orang kelainan upaya dan sebagainya. Maklumat ini meningkatkan lagi mutu pengangkutan awam.

Antara 1 hingga 31 Januari di Shah Alam, seramai 30,107 sudah menggunakan aplikasi ini. Warga tempatan sahaja 25 peratus, 75 peratus lagi warga asing yang menggunakan aplikasi ini untuk menaiki bas. Warga asing tidak merungut, mereka tambah nilai menggunakan JomPay atau kedai seperti KK Mart dan Speedmart. Pada Februari di Shah Alam setakat 17 Februari, seramai 16,674 menggunakannya iiatu 47 peratus warga asing, 53 peratus rakyat tempatan

Apakah perkembangan pelaksanaan bas mini Smart Selangor?

Bas Smart Selangor mini masih dalam kajian. Kami perlu tahu dari segi bilangan penumpang, adakah saiz bas mini dapat menampung bilangan penumpang dan di kampung, kami ada terima pemohononan untuk masuk tetapi jalan kampung lebih sempit. Dengan saiz bas, tidak dapat berpusing. Ini semua dalam kajian. Selain itu, SOP Covid-19 juga diambil kira. Ini cabaran baru.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing akur Bas Smart Selangor kenakan tambang 90 sen

SHAH ALAM, 6 MAC: Penumpang Bas Smart Selangor warga asing tidak menganggap caj 90 sen yang dikenakan bermula 15 Mac sebagai beban, sebaliknya melihat bayaran itu untuk kemudahan mereka pada masa akan datang.

Pekerja pembersihan, Usmatum Hasanah, 36, berkata mereka memahami langkah diambil Kerajaan Selangor namun berharap tambang berkenaan tidak dinaikkan lebih tinggi.

“Harga ini berpatutan berbanding pengangkutan lain, kami masih mampu membayarnya. Sepanjang menaiki bas, tiada lagi masalah besar timbul dan kami sangat hargainya,” katanya kepada SelangorKini.

Warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Iis

Warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Iis, 39, pula berkata caj serendah 90 sen itu tidak akan membebankan dirinya meskipun terpaksa membayar setiap hari untuk ke tempat kerja.

“Saya menjadi penumpang bas ini hampir dua tahun secara percuma. Jadi bila dikenakan caj selepas ini, saya tidak marah dan harap kualiti perkhidmatan akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, warga Bangladesh Mohamed Zahan, 32, berharap majikan akan membayar kos tambang itu memandangkan dia perlu mengeluarkan kira-kira RM60 sebulan bagi aspek pengangkutan.

Mohamed Zahan

“Saya faham tindakan ini dibuat. Bagaimanapun jumlah RM2 sehari untuk saya pergi ke tempat kerja dari Subang Jaya ke Shah Alam setiap hari dilihat tinggi dan berharap majikan akan menyediakan peruntukan,” katanya.

Mulai 15 Mac, penumpang warga asing berusia 18 hingga 59 tahun akan dicaj 90 sen bagi menampung sebahagian kos diperlukan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata langkah itu bukan untuk menindas golongan terbabit sebaliknya untuk mengekalkan perkhidmatan untuk tempoh lebih panjang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat sokong warga asing naik Bas Smart Selangor dicaj 90 sen

SHAH ALAM, 6 MAC: Rakyat bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri mengenakan caj 90 sen kepada warga asing ketika menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 15 Mac ini.

Nurul Fatihah Mazri, 26, berkata langkah itu adalah perkara biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing.

Nurul Fatihah Mazri

“Kalau kita ke luar negara, memang ada negara yang mengenakan caj berbeza sekiranya menggunakan kemudahan mereka, termasuk bas ataupun tempat-tempat pelancongan.

“Oleh itu, tindakan Kerajaan Negeri supaya warga asing perlu membayar tambang untuk menaiki Bas Smart Selangor adalah normal dan patut dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Seorang warga emas, Tan Yee Lin berkongsi pengalaman terpaksa berasak-asak dengan warga asing ketika menaiki bas untuk menyelesaikan urusan penting di tempat lain.

Tan Yee Lin

Wanita berusia 76 tahun itu berkata beliau sudah menggunakan bas berkenaan sejak 2015 selepas Kerajaan Selangor mengumumkan kemudahan pengangkutan percuma itu.

“Memang seronok tak payah bayar tambang, tapi kadangkala susah juga bila ada ramai warga asing hendak naik. Kadangkala terpaksa berebut, tak semua boleh tolak ansur dengan orang tua kerana ada juga yang sengaja tidak berikan laluan.

“Saya rasa selepas mereka kena bayar tambang bas, mungkin tak ramai yang mahu naik dan saya pun tak perlu lagi berebut,” katanya.

Pendapat Yee Lin turut disokong Nur Alisa Syafiah Zulkarnain, 19, yang berulang alik dari Seksyen 27 ke Plaza Alam Sentral untuk ke tempat kerja.

Nur Alisa Syafiah Zulkarnain

Beliau beranggapan caj yang bakal dikenakan kepada kumpulan itu akan mengurangkan kesesakan yang dialami.

“Bukan kita tak beri mereka naik bas, tetapi bila caj dikenakan, mungkin mereka tidak lagi akan berasak-asak terutama pada cuti hujung minggu atau perayaan.

“Lagipun pengangkutan awam ini percuma, siapa tidak mahu gunakan. Jadi apabila ada caj dikenakan, mungkin kesesakan juga dapat diatasi,” katanya.

Bagi Magisvary Gopalsamy, 65, beliau berpendapat tambang yang dikenakan untuk warga asing itu amat rendah berbanding keselesaan yang diberikan Bas Smart Selangor.

Magisvary Gopalsamy

“Bas ini ada penghawa dingin, bersih dan tidak pernah kotor. Jadi dengan harga 90 sen itu amat berbaloi jika orang luar bayar. Malah, wang yang diperoleh pihak pengurusan bas akan digunakan kembali untuk naik taraf bas ini.

“Lagipun sudah terlalu lama kita beri tambang secara percuma kepada mereka, memang saya amat setuju supaya tambang dikenakan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Nazatul Hafikah Abin

Nazatul Hafikah Abin, 27, yang berasal dari Sabah pula tidak sangka Selangor menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk dan warga asing sebelum ini.

Baru dua bulan menggunakan pengangkutan awam itu, beliau mendapat tahu selepas 15 Mac depan hanya rakyat tempatan yang boleh menikmati tambang percuma.

“Tapi pada saya tambang 90 sen itu sangat murah, rasanya lebih murah dari bas lain. Jadi kemungkinan besar ia tidak membebankan mereka.

“Kadangkala ada di antara warga asing ini mempunyai peruntukan khas dari majikan bagi kos tambang untuk ulang alik ke tempat kerja,” katanya.

K Mahaletchiumy

Manakala pelajar Kolej MSU Shah Alam, K Mahaletchiumy, 22, berpendapat caj boleh kenakan tetapi tidak terlalu mahal kerana rata-rata warga asing yang menggunakan bas itu untuk ke tempat kerja.

“Memang langkah ini tidak salah, tetapi saya harap kerajaan tidak menaikkan tambang ini setiap tahun kerana mungkin ada majikan yang tidak mahu menanggung kos pengangkutan mereka,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj murah, pemandu yakin warga asing tetap pilih Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Perkhidmatan berkualiti Bas Smart Selangor menjadi pilihan ramai termasuk pelajar dan warga asing sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Meskipun bukan warganegara bakal dicaj 90 sen mulai 15 Mac, namun rangkaian perjalanan meluas dan tempoh menunggu yang singkat diyakini tidak menjejaskan jumlah penumpang.

Haris Ahmad

Perkara tersebut diakui pemandu bas Haris Ahmad, 46, yang menyifatkan kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pengangkutan awam lain.

“Selama lebih empat tahun bekerja, saya lihat warga asing selesa dengan perkhidmatan kami yang banyak memudahkan pergerakan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi pemandu bas Zulhelmi Aspungi, 46, berkata caj itu membolehkan Kerajaan Selangor menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memberi keselesaan maksium kepada penumpang.

“Walaupun nilai 90 sen dilihat kecil namun ia mampu membantu Kerajaan Negeri menjana pendapatan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Mohd Alif Mohd Azhari

Sementara itu, Mohd Alif Mohd Azhari, 26, berpendapat tambang perlu dikenakan lebih awal berikutan sebilangan besar penumpang Bas Smart Selangor dalam kalangan warga asing.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Pengguna juga wajib menggunakan fungsi ‘Scan To Ride’ menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dengan mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBSA: ‘Scan To Ride’ galak masyarakat guna aplikasi tanpa tunai

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyokong usaha Kerajaan Negeri mewajibkan penggunaan ‘Scan To Ride’ kepada penumpang Bas Smart Selangor.

Datuk Bandar Dato’ Haris Kasim berkata usaha itu selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara yang menggalakkan transaksi tanpa tunai dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kita percaya ramai dalam kalangan pengguna Bas Smart Selangor akan memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem tersebut.

“Sehingga kini sebanyak 34 bas itu bergerak di lapan laluan sekitar Shah Alam yang rata-rata pengguna dalam kalangan pelajar dan kakitangan awam,” katanya pada Pelancaran ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor di Menara Bank Simpanan Nasional semalam.

Beliau menambah pihaknya juga berusaha menyediakan pelbagai platform digital untuk memudahkan urusan orang awam dan pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Kita juga sedang bergerak ke arah teknologi digital dengan mewujudkan pelbagai jenis aplikasi untuk beri kemudahan kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan atau berurusan dengan MBSA,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj 90 sen warga asing naik Bas Smart Selangor mulai 15 Mac

SHAH ALAM, 2 MAC: Warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor dikenakan caj sebanyak 90 sen mulai 15 Mac, kata EXCO pengangkutan.

Ng Sze Han berkata kadar baharu itu bagi menampung sebahagian kos yang diperlukan Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam.

Jelasnya, caj tersebut hanya dikenakan kepada warga asing dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun tanpa mengira destinasi.

“Langkah ini bukan untuk menindas golongan itu, sebaliknya bagi mengekalkan perkhidmatan ini untuk tempoh lebih panjang,” katanya menambah warganegara tidak dikenakan sebarang bayaran.

Bermula semalam, pengguna Bas Smart Selangor di seluruh negeri wajib menggunakan fungsi ‘Scan To Ride’menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat).

Penumpang perlu mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas kecuali warga emas dan kanak-kanak yang hanya digalakkan membawa kad pengenalan atau salinan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penumpang Bas Smart Selangor wajib guna ‘Scan To Ride’

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengguna Bas Smart Selangor wajib menggunakan ‘Scan To Ride’ yang perlu dimuat turun menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat).

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata sistem itu membolehkan mereka membayar tambang dengan kaedah mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

“Sistem ini diperkenal sejajar hasrat Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.

“Bagaimanapun, pengguna bas warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak pula tidak diwajibkan mempunyai aplikasi ini sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan sahaja,” katanya ketika melancarkan ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor semalam.

Beliau berkata warga asing akan dikenakan bayaran RM0.90 setiap perjalanan mulai 15 Mac ini manakala warga Malaysia kekal percuma.

“Sistem ‘Scan To Ride’ ini juga digunakan untuk selenggara dan tambah baik jumlah laluan Bas Smart Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata setakat Disember tahun lalu terdapat 11,000 pengguna telah memuat turun aplikasi CEPat.

“Kita menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi ini. SSDU juga akan berusaha untuk tambah baik dengan beberapa perkhidmatan lain akan datang,” katanya.

Selain ‘Scan To Ride’, CEPat merupakan platform pembayaran elektronik berpusat yang turut menawarkan perkhidmatan sedia ada iaitu cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan bayaran utiliti.