Categories
NASIONAL

Suspek bakar kereta Mufti Perlis ditahan, lima lagi diburu

KANGAR, 19 MEI: Polis telah memberkas seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam perbuatan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pada 22 Mac lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, suspek seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan dirumahnya di Kampung Jelempok Arau pada kira-kira 2.45 pagi Sabtu oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis.

Beliau berkata hasil siasatan awal, suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas yang dikenali sebagai Mie Tomoi.

Menurut Noor Mushar, polis telah mengenal pasti identiti tiga daripada lima suspek yang masih bebas dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat dan menambah bahawa pihak polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam.

Katanya polis juga merampas telefon bimbit suspek yang turut mempunyai lima kesalahan lampau dan pernah menjalani hukuman sebanyak dua kali.

Noor Mushar berkata hasil siasatan lanjut suspek memberitahu polis bahawa beberapa hari sebelum keajdian itu beliau telah dibawa oleh Mie Tomoi berjumpa tiga lagi individu yang berniat untuk melakukan sesuatu terhadap mufti.

Katanya menurut suspek seorang daripada individu terbabit menawarkan upah yang lumayan dengan menyuruhnya dan Mie Tomoi menyimbah asid ke muka Mohd Asri tetapi tidak dipersetujui.

“Bagaimanapun hasil perbincangan lanjut Mie Tomoi dan suspek bersetuju untuk membakar kenderaan Mohd Asri dengan upah sebanyak RM5,000,” kata Moor Mushar.

Selang beberapa hari kemudian, Mie Tomoi telah ke rumah suspek dengan menaiki motosikal dan kemudian menaiki Proton Waja milik suspek menuju ke sebuah rumah di Titi Tok Bandar, Kangar,” katanya.

Menurut Noor Mushar, seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Dik E menyerahkan beg galas, jaket, botol plastik dan helmet dan mereka kemudian menuju ke sebuah stesen minyak di Kodiang, Kedah dengan menaiki motosikal milik Mie Tomoi untuk mengisi petrol ke botol plastik sebelum ke rumah mufti.

Beliau berkata setibanya di rumah mufti, Mie Tomoi menyimbah minyak petrol ke kereta mufti dan suspek menyalakan api selain mengetuk cermin belakang kereta menggunakan tukul.

“ Setelah selesai mereka terus meninggalkan tempat kejadian dan barangan yang mereka bawa telah dibakar, katanya lagi.

“Selang beberapa hari kemudian suspek berjumpa dengan seorang individu di sebuah kedai serbaneka di Kangar dan meminta bayaran sebanyak RM5,000 seperti yang dijanjikan, bagaimanapun individu itu hanya memberinya RM500,” tambahnya.

Pada 22 Mac lepas, kereta rasmi Mohd Asri musnah dibakar oleh dua lelaki yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd Asri.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam terbakar di bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri manakala cermin belakang dan depan dipecahkan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis berkas individu ugut cederakan Mufti Perlis

KANGAR, 3 MEI: Individu yang mengugut untuk mencederakan sehingga parah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman Facebook dua hari lepas, diberkas di Pulau Pinang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata suspek ditahan di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang kira-kira 12.30 tengah malam.

Beliau berkata lelaki berumur 36 tahun itu, yang bekerja sebagai kerani, ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 6 Mei bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dua hari lalu, Mohd Asri membuat laporan di IPD Padang Besar selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya dalam laman Facebook.

Mohd Asri menerima satu mesej di Facebook daripada individu menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ kira-kira 6.00 petang dua hari lepas, yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah.

Suspek turut memberi nombor telefon bimbit dan meminta Mohd Asri menghubunginya.

Noor Mushar berkata suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kereta rasmi Mufti Perlis terbakar, khianat atau tidak?

KANGAR, 22 MAC: Kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin rosak teruk dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian awal pagi ini di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Mushar Noor Mohd berkata, dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam tersebut mengalami kebakaran pada bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri selain cermin belakang dan depan dipecahkan.

“Siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat kerana ada kesan pecahan cermin belakang dan bahagian botol mengandungi petrol yang dipercayai digunakan untuk tujuan membakar,” katanya lapor Bernama.

Noor Mushar berkata, kebakaran dipadamkan oleh pasukan bomba dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, beliau menyedari kejadian ketika sedang bersiap menunaikan solat subuh apabila isterinya memberitahu ternampak api sedang marak di luar rumah mereka.

“Saya cuba untuk padamkan api di dalam kereta menggunakan alat pemadam api dan saya cuba nak buka bahagian depan enjin tetapi gagal,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya.

Mohd Asri berkata, kejadian itu memusnahkan sejumlah buku miliknya yang ada di dalam kereta tersebut.

Beliau juga menolak kejadian berpunca daripada kegiatan khianat memandangkan dua lagi kenderaannya tidak terjejas.

“Saya juga tak syak siapa-siapa. Biasalah manusia ini. Rakyat Malaysia baik dan hidup dalam aman,” katanya lagi yang menyerahkan sepenuhnya kepada ​​​​​​​polis untuk menjalankan siasatan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Perarakan LGBT menghairankan haiwan – Dr Maza

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Tindakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berarak secara haram di ibu kota, semalam bukan hanya bertentangan dengan syariat Islam, malah ‘menghairankan’ haiwan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebagai manusia biasa, mereka berhak berkumpul untuk mempertahankan hak, selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan naluri insani.

“Manusia biasanya berkumpul dan melaungkan perasaan untuk menuntut hak yang Tuhan berikan tetapi dicabuli atau mencari kebaikan demi membela fitrah insani.

“Malangnya, bagi golongan songsang mereka berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf.

“Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri, bahkan mendedahkan betapa mereka itu ‘cacat’ mencacatkan fitrah,” tulisnya di Facebook Dr Maza.com, hari ini.

Kenyataan itu susulan perhimpunan haram berhampiran pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur sebelum berarak ke Masjid Jamek yang menuntut supaya golongan LGBT diberikan hak sama rata seperti rakyat Malaysia yang lain.

Perhimpunan itu juga menyaksikan golongan terbabit membawa bendera warna pelangi, simbol LGBT.

 

Categories
NASIONAL

THN: Tak pelik rakyat bantu, aneh yang buat lepas tangan – Dr MaZa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 MEI: Langkah kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Negara (THN) bagi mengumpul sumbangan daripada rakyat dalam menangani masalah ekonomi, menarik perhatian ramai dengan pelbagai pandangan dilontarkan mengenainya.

Selain menjadi topik perbualan netizen di media sosial, isu berkaitan juga mendapat tumpuan tokoh keagamaan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang berpendapat ia bukan satu perkara janggal apabila rakyat menyatakan kesediaan bagi membantu kerajaan dalam perkara berkenaan.

“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong Kerajaan bayar hutang. Ia satu usaha yang bersifat sukarela.

“Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan,” katanya dalam laman Facebook, DrMAZA.com

Beliau selanjutnya menyatakan, apa yang menjadi persoalan adalah pihak yang mencetuskan masalah terbabit dan ‘lepas tangan’ apabila keadaan menjadi rumit.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah kerajaan mewujudkan THN bagi membolehkan derma dan sumbangan diuruskan secara sistematik dan telus di bawah kementeriannya.

“Berdasarkan perkembangan semasa ekonomi dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

“Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas kepada kerajaan bagi menangani isu berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, Lim membuat kenyataan, kerajaan kini menanggung masalah hutang negara melebihi RM1 trilion diwarisi daripada pentadbiran sebelumnya.

Bauksit lebih bahaya dari vape, kenapa tidak haram?


“Bila isu vape timbul, JAKIM menjemput semua mufti bersidang khas untuk isu itu. Semuanya dijemput datang dari negeri masing-masing. Maaf, saya tidak hadir tetapi menghantar wakil,” Mufti Perlis.

Categories
SELANGOR

Dr Asri: Kerajaan jujur, bersih rasuah seperti Selangor layak naik gaji

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 30 NOV : Anggota pentadbiran kerajaan yang jujur, bebas rasuah dan memiliki kemampuan kewangan kukuh layak menerima kenaikan gaji, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

ru_03.1Mengikut perspektif Islam, beliau berkata, langkah itu mampu membendung Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dari terjebak dalam rasuah.

“Kalau soal akauntabiliti itu betul-betul sudah ditekankan, kemudian dinaikkan gaji sebagai  satu lagi langkah mengangkat akauntabiliti, tidak mengapa.

“Tidak kira Menteri Besar, ADUN atau Ahli Parlimen sekalipun boleh naik gaji kalau benar terbukti mereka tidak pernah ambil apa-apa keuntungan  selain gaji mereka semata-mata,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sesebuah kerajaan negeri harus terlebih dahulu mengkaji sama ada kenaikan itu memberi kesan negatif dari sudut ekonomi kepada rakyat.

1234“Bukan Selangor sahaja naik gaji, Ahli Parlimen, Perdana Menteri juga akan naik gaji pada tahun hadapan. Sebelum ini, Sarawak juga naik gaji lebih tinggi dari Selangor.

“Ada laporan 300 peratus kenaikan gaji di Selangor, memanglah. Saya mula-mula terkejut tetapi bila teliti gaji lama memang sangat rendah,” katanya.

Dr Asri berkata, langkah menaikkan gaji sama ada pemimpin negeri atau negara untuk mengelakkan rasuah bukan  baru, malah ia dipraktik di Singapura dan negara maju lain.

Katanya,  tuduhan kenaikan itu tidak wajar kerana ada rakyat masih berada di bawah paras kemiskinan tidak timbul kerana ia memudahkan pemimpin membantu golongan sedemikian.

“Dalam kerangka politik Malaysia, perbelanjaan ahli politik besar sebab ramai rakyat datang minta duit. Walaupun bukan wajib diberi tetapi dalam pengurusan politik selalunya  bagi juga, tidak banyak sedikit.

“Bukan YB sahaja, tokoh lain seperti tokoh agama, selebriti pun begitu, orang jumpa orang minta. Kalau gaji rendah, untuk keluarga sendiri tak lepas. Sebab RM10,000 bukan besar untuk seorang tokoh yang ke sana ke mari,” katanya.

Sebaliknya, Profesor Madya Fakulti Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, berkata kenaikan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak adil kepada rakyat jika  gejala rasuah berlaku dalam pentadbiran negeri.

sidang dun 01“Selangor ada beberapa kelebihan. Pertama, duit  banyak. (Tapi) sebab Selangor negeri Pakatan Rakyat, jadi banyak mata tertumpu. Ini bagus sebab menjadikan mereka lebih berhati-hati,” katanya.

Dr Asri berkata, wang rizab Selangor yang ketika ini hampir mencecah RM3 bilion pula mampu memberi manfaat besar kepada segenap lapisan rakyat.

“Selangor sebuah negeri yang efisyen dari sudut laporan audit dan sebagainya. Tiada kes rasuah disabitkan dan pendapatan tinggi. Cuma kena fikirkan bagaimana nak belanjakan duit yang banyak itu kepada rakyat,” katanya.

-EZY FZL