Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RM35 bilion tingkat kualiti bekalan air, kurangkan gangguan

SUBANG JAYA, 16 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat pelaburan pembangunan berjumlah RM35 bilion untuk tempoh 30 tahun bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Suhaimi Kamaralzaman berkata pelaburan itu termasuk bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada pengguna di Wilayah Klang dan Petaling dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kita juga merancang mencari sumber air loji rawatan di selatan negeri ini supaya bekalan air lebih cepat sampai kepada residen di kawasan berkenaan.

“Sekiranya loji rawatan air dihenti tugas disebabkan kerja penambahbaikan, kita berharap dapat meminimumkan tempoh gangguan bekalan air kepada pelanggan terjejas kerana ia (gangguan bekalan air) adalah sesuatu di luar jangka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Setempat USJ4 di sini hari ini.

Pemerkasaan terhadap industri bekalan air antara salah satu fokus digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu di bawah aspek kemampanan ekonomi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air 74 kawasan pulih, guna secara berhemah

SHAH ALAM, 15 JULAI: Agihan bekalan air di 74 kawasan pulih sepenuhnya manakala 216 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan sehingga jam 9 malam tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah, Kuala Langat merekodkan peratusan tertinggi dengan 75 peratus diikuti Gombak (73), Petaling (49), Kuala Lumpur (18) sementara tiada kawasan yang pulih di Shah Alam dan Klang.

“Secara keseluruhan, 26 peratus daripada kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual ini pulih sepenuhnya.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan masih terjejas,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan terjejas berjalan lancar.

Kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) siap sepenuhnya mengikut jadual pada jam 11 malam semalam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Bekalan air 26 kawasan pulih, 93 lori tangki digerak

SHAH ALAM, 15 JULAI: Agihan bekalan air di 26 kawasan membabitkan wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Klang, Gombak dan Kuala Langat pulih sepenuhnya sehingga jam 4 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata jumlah itu bersamaan sembilan peratus daripada keseluruhan kawasan terlibat dan 93 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik kesihatan.

“Sebanyak 136 tangki statik juga ditempatkan di pusat dialisis, klinik kesihatan dan juga sekolah bagi kegunaan pelajar dan guru yang mula bersekolah pada hari ini.

“Bagi bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan perumahan akan bermula esok 16 Julai,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Air Selangor menasihatkan pengguna mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa mengambil bekalan air di pusat khidmat setempat dan pili air awam.

Pengguna yang datang juga digalakkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial satu meter ketika beratur malahan pili air awam dinyahkuman secara berkala untuk mengelakkan penularan wabak.

Categories
AGENDA

RM35 bilion tingkat utiliti Air Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sukuk Kelestarian Air Selangor akan diterbitkan bagi membiayai projek meningkatkan infrastruktur utiliti itu yang bernilai RM35.41 bilion dalam tempoh 30 tahun.

Dato’ Menteri Besar berkata nilai sukuk diterbitkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah pelaburan mampan dan bertanggungjawab itu berjumlah sehingga RM10 bilion dengan tempoh matang antara satu hingga 20 tahun.

“Hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor akan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur air yang mesra alam antaranya menambahbaik baik fasiliti bekalan air sedia ada seperti lapan buah empangan, 33 loji rawatan air, paip sepanjang 28,713 kilometer (km), 1,577 kolam takungan dan 653 rumah pam.

“Di samping itu, pelaburan tersebut juga akan digunakan untuk projek-projek baru seperti pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa Dua.

“Adalah dianggarkan secara keseluruhan pelaburan yang akan terlibat bernilai sebanyak RM35.41 bilion untuk tempoh sepanjang 30 tahun manakala unjuran pembangunan untuk tahun 2020 adalah sebanyak RM429 juta dan bagi tahun 2021 diunjurkan sebanyak RM3.2 bilion,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan pakej rangsangan ekonomi Selangor 3.0 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Amirudin berkata penerbitan sukuk itu juga adalah sebahagian pelan perniagaan dalam tempoh tiga hingga 30 tahun Air Selangor, selaku pemegang lesen tunggal penyediaan air di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Air Selangor menerajui industri perkhidmatan air dalam usaha untuk bersama-sama mempertingkatkan dan memperkasakan industri bekalan air setanding operasi di negara maju,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja-kerja pulihkan bekalan air diteruskan

SHAH ALAM, 22 DIS: Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan beberapa agensi berkaitan masih giat menjalankan kerja-kerja pembersihan lurang kumbahan berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang menyebabkan pencemaran bau.

Bagaimanapun, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran bau berada di paras 3 ton menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih belum boleh dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras 0 ton iaitu tiada langsung kesan pencemaran bau.

Dalam perkembangan lain, LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihenti tugas pada jam 3.30 petang semalam.

Kata kenyataan itu, ekoran henti tugas di kedua-dua loji itu telah mengakibatkan 366 kawasan dan 336,930 jumlah akaun terjejas meningkat daripada jumlah yang dinyatakan semalam.

Kawasan-kawasan yang terjejas berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi melibatkan daerah Kuala Langat. Antara kawasan tersebut ialah Kampung Bukit Changgang Kilang ISF, Taman Arked Dengkil,Kompleks Perabot Olak, Taman Changgang Lempit dan Kampung Orang Asli di Bukit Bakong.

Bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori-lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal seperti hospital.

Selain itu, kata kenyataan itu, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam.

Katanya, Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan air akan mengambil sedikit masa.

“Namun segala tindakan perlu sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi.

“Ini termasuk menyediakan bantuan bagi mengurangkan kesulitan pengguna berikutan insiden ini,” kata kenyataan itu.

Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai masalah itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Loji air tercemar: 328,957 pemegang akaun terjejas

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak 348 kawasan membabitkan 328,957 pemegang akaun terjejas ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan sementara kerana disyaki berlaku pencemaran bau.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, kawasan yang terjejas membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Keempat-empat wilayah itu menerima sumber bekalan air terawat dari loji terbabit. Pengguna kawasan ini terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dan berskala besar.

Katanya, pasukan pemantauan sungai terdiri daripada Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah digerakkan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di sepanjang Sungai Semenyih.

“Anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih  disyaki berpotensi menyumbang kepada pencemaran bau terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Halem berkata, pihaknya sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas ekoran insiden ini.

Katanya, pihaknya belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

“Ini bergantung kepada tahap punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air mentah ini sedang dikenal pasti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Orang ramai disaran merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat lanjut yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Pada jam 7.45 pagi tadi, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji ini.

Categories
SELANGOR

758 kawasan terlibat gangguan bekalan air pada 23 Julai

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Sebanyak 758 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat akan terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual antara 36 hingga 84 jam, bermula 23 Julai ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan melibatkan 758,570 akaun pelanggan itu berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) bermula 9 pagi pada 23 Julai bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bantuan lori tangki air akan digerakkan berdasarkan keperluan dan keutamaan kepada pengguna dan premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, klinik kesihatan dan lain-lain. Selain itu Pusat Khidmat Setempat akan diaktifkan bermula 8 pagi, 25 Julai 2019 selain penempatan tangki-tangki statik di lokasi strategik dan premis kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dalam kenyataan yang sama menasihatkan pelanggan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan memohon kerjasama pelanggan agar tidak menyimpan bekalan secara berlebihan dan menggunakan air dengan berhemat.

Untuk menyemak kawasan terbabit dan tempoh masa gangguan, orang ramai boleh merujuk di pautan https://www.syabas.com.my/carianmudahssp1, laman web www.syabas.com.my, aplikasi Air Selangor serta laman sosial Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.

Status terkini perkembangan kerja-kerja penambahbaikan dan juga status pemulihan bekalan juga akan dikemaskini melalui hebahan media.

Pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan pelanggan di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793 dan menghantar SMS ‘Tanker’ dan hantar ke 15300.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Paip pecah: 10 kawasan di Gombak alami gangguan bekalan air sementara

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 6 JUN: Kira-kira 10 kawasan di daerah ini berdepan gangguan bekalan air sementara susulan insiden paip pecah di Taman Prima Gombak Off Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini kerja pembaikan dan pemulihan di lokasi paip pecah terbabit sedang giat dijalankan.

Bagaimanapun, Abdul Raof berkata, pihaknya menyasarkan kerja pembaikan dapat disiapkan sebelum 6.30 petang ini.

“Gangguan bekalan air sementara melibatkan beberapa kawasan antaranya perusahaan ringan, Prima Sri Gombak, Pusat Niaga Batu Caves, Kampung Sri Gombak Indah, Taman Sahabat, Taman Berlian, Jalan Dewan Simpang 3, Jalan Kunci Air, Desa Minang dan Taman Bolton.

“Kerja pembaikan sedang giat dijalankan dengan peratusan kerja pembaikan di tahap 70 peratus dan kami sedang berusaha mempercepatkan kerja pembaikan,” katanya ketika dihubungi.

Pelangan terjejas sudah dimaklumkan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) dan Air Selangor sentiasa mengemaskini status dari semasa ke semasa di aplikasi telefon bimbit.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan pantau isu pergerakan tanah – Xavier

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 MEI: Kerajaan Persekutuan akan memantau isu pergerakan tanah di lokasi paip pecah berhampiran Projek West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, di sini.

Menteri Tenaga, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya turut mengarahkan pihak bertanggungjawab melakukan siasatan terperinci berhubung situasi berkenaan.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara sudah memulakan siasatan dan selepas siasatan itu dijalankan barulah kita tahu apakah punca terjadi masalah ini.

“Saya akan meminta kepada pihak yang sesuai untuk menangani masalah ini dan saya akan memberi tumpuan kepada kawasan pergerakan tanah itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Air Selangor dan kontraktor-kontraktor yang melakukan kerja 24 jam melakukan kerja penyambungan air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja pembaikan paip pecah di Projek West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

Pada masa sama, Xavier berkata, pihaknya turut berharap insiden berkenaan tidak berulang kembali yang menjejaskan ribuan penduduk.

“Saya faham ini bulan Ramadan dan umat Islam sangat memerlukan bekalan air.

“Saya berharap agar selepas ini tiada lagi masalah seperti ini berlaku dan kita dapat meneruskan projek kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut meninjau lokasi  ketiga-tiga paip utama yang pecah ekoran pergerakan tanah pembinaan lebuhraya WCE Banting-Taiping.

Kesemua paip berjaya dibaiki sekali gus sumber bekalan air disambung semula pada 6 petang tadi dan akan terus diagihkan ke kolam tadahan berhampiran dalam tempoh satu hingga dua jam.

Penduduk yang terputus bekalan air sejak Ahad lalu, dijangka akan mula menerima bekalan malam ini.

 

Categories
SELANGOR

Bekalan air di lima wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 26 APR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor memaklumkkan bekalan air di lima wilayah pulih sepenuhnya pada jam 6 petang tadi.

Berikut adalah kenyataan penuh SYABAS berhubung perkara itu:

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor ingin memaklumkan sehingga jam 6.00 petang, bekalan air di lima wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ekoran kerja-kerja penambahbaikan sistem agihan
air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), telah pulih sepenuhnya kecuali wilayah Kuala Lumpur yang masih berada pada tahap pemulihan 98%.

Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan di lokasi serta premis-premis yang masih lagi belum pulih.

Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pelanggan-pelanggan yang telah memberikan kerjasama dalam usaha kami meningkatkan perkhidmatan bekalan air.

Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, sila muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor; dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan-pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk bantuan.

Dikeluarkan oleh: Abdul Raof Ahmad
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi
Pengurusan Air Selangor

Categories
SELANGOR

Bekalan air di Kuala Lumpur pulih berperingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Bekalan air di beberapa kawasan, di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah siap dilaksanakan dan loji kembali beroperasi.

Bagaimanapun, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata, pihaknya akan terus mengerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki air.

Katanya, Pusat Khidmat Setempat di parkir HKL, Jalan Tun Razak juga akan terus beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan berjadual ini amatlah dihargai.

“Segala tindakan perlu sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan dan meminimumkan impak gangguan,” katanya.

Pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau muat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ bagi mendapatkan maklumat dan status terkini berkenaan bekalan air.

Categories
SELANGOR

EXCO: Bekalan air pulih sepenuhnya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OKT: Bekalan air kepada pelanggan di seluruh kawasan terjejas di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat kembali pulih, sejak 10.30 pagi tadi.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan dan Industri Asas Tani, Izham Hashim merakamkan setinggi penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor yang berusaha memulihkan bekalan sepenuhnya.

“Usaha Air Selangor merancang kerja-kerja penggantian peralatan dan gangguan berjadual serta pengaktifan Pusat Khidmat Setempat selain menggerakkan bantuan melalui lori-lori tangki air dan edaran air botol minuman 5-liter kepada pengguna amat dihargai,” katanya dalam kenyataan.

Izham berkata, kerjasama pengguna sepanjang kerja berjadual itu dilaksanakan amatlah dihargai dalam segala usaha diambil adalah untuk memberikan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada pelanggan.

“Saya juga ingin memohon pengguna supaya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu di www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, bagi mendapatkan sebarang maklumat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, henti tugas dilakukan bagi kerja pengantian peralatan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Air Selangor sebelum ini menjangkakan kerja pengantian itu siap pada selewat-lewatnya 12 Oktober.