Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Paip injap baharu mampu bertahan sehingga 27 tahun

KUALA SELANGOR, 14 OKT: Paip injap di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 diyakini mampu bertahan sehingga 27 tahun selepas kerja penyenggaraan dan penambahbaikan selesai dilaksana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketahanan peralatan baharu itu mengambil kira teknologi moden yang digunakan pada masa kini.

“Sudah pasti dengan perkembangan teknologi, ia akan bertahan lebih lama. Saya tidak mahu buat ramalan awal tetapi paling tidak penukaran ini mengekalkan jangka hayat minimum 25 hingga 27 tahun.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dan pemantauan perlu dijalankan sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” katanya selepas meninjau loji rawatan terbabit di sini malam tadi.

Sementara itu menerusi Twitter, Amirudin berkata kerja penyenggaraan di loji berkenaan melibatkan pertukaran paip injap usang yang mula digunakan sekitar 1994.

“Sudah berusia 27 tahun dan harus diganti. Sebab utama kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan demi keselesaan rakyat pada masa depan,” katanya.

Semalam Air Selangor menyenggara aset kritikal di loji terbabit setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: 500km paip usang diganti, atasi isu kebocoran

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri sudah mengganti lebih 500 kilometer (km) paip usang melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kerja menaik taraf sistem saluran air itu dilaksanakan sejak 2016 melibatkan penggantian 150km paip bagi setiap tahun.

“Kebanyakan paip lama yang dikenal pasti untuk diganti menggunakan paip jenis simen asbestos dan paip jenis ini ada lebih 6,000 km di seluruh Selangor dengan usianya lebih 40 tahun.

“Kos bagi satu kilometer penggantian paip dianggarkan RM1 juta,” katanya kepada SelangorKini selepas meninjau kerja menaik taraf jalan empat lorong di jalan Kampung Lombong di sini, hari ini.

Izham berkata kerja penggantian bukan sahaja melibatkan paip malah beberapa struktur lain yang berhubung kait dengan paip berkenaan.

“Sistem lain yang usang juga perlu diganti dan proses ini dibawah inisiatif air yang tidak terhasil yang mana inisiatif ini dapat menjimatkan wang dari air yang hilang akibat kebocoran,” katanya.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja penggantian di negeri ini memfokuskan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi kerap mengalami tekanan air tidak stabil.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN pastikan operator bekalan air ganti paip bermasalah

PUTRAJAYA, 30 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), akan memastikan operator bekalan air menggantikan paip bermasalah secara berjadual, bagi mengelak berlakunya insiden paip bocor atau pecah yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memantau rapi perancangan setiap operator bekalan air termasuk meluluskan projek penggantian paip di setiap negeri termasuk di Selangor, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Program Penggantian Paip, merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh SPAN dalam semua perancangan Pelan Perniagaan operator bekalan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk insiden gangguan bekalan air di 58 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling, yang berpunca dari masalah pada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang berlaku hari ini.

Untuk rekod, SPAN menyatakan pada November lepas, pihaknya meluluskan Pelan Perniagaan dikemukakan oleh Air Selangor, yang turut menyenaraikan aktiviti bagi program penggantian paip berjumlah lebih RM500 juta, yang akan dilaksanakan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Program penggantian paip yang dirancang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2020 hingga 2022 secara berperingkat, melibatkan penggantian kira-kira 150 kilometer (km) panjang paip agihan setahun dan 4,260 paip penghubung,” menurut kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan untuk rekod, jumlah panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) yang masih digunakan dalam sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sekitar 6,205km atau 21.4 peratus daripada panjang keseluruhan rangkaian paip agihan iaitu 29,044km.

“Program penggantian paip bagi paip-paip yang mencapai usia perkhidmatan maksimum adalah sesuatu yang dirancang secara berjadual, oleh setiap operator bekalan air.

“Ini kerana paip ini berisiko tinggi untuk bocor atau pecah, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, dan pada waktu sama menyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi,” katanya.

SPAN menyatakan, aktiviti menggantikan paip oleh operator akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat, bagi tujuan mengelak gangguan bekalan skala besar dan kesabatan dan kefahaman pengguna amatlah diperlukan dan dihargai.

Sementara itu, SPAN menyatakan untuk rekod, kerajaan mensasarkan NRW pada paras 25 peratus untuk dicapai pada tahun 2030.

Berdasarkan rekod semasa, paras NRW Kebangsaan sehingga suku kedua 2020 adalah 36.9 peratus dan anggaran kerugian akibat NRW ini adalah sekitar RM2 billion setahun.

SPAN akan terus memantau aktiviti operator berdasarkan kelulusan diberi untuk pelan pembangunan dan penambah baikan terhadap kualiti perkhidmatan agar keperluan pengguna akan sentiasa dapat diutamakan.

Orang ramai juga diminta menggunakan air secara berhemat dan melaporkan kes disyaki melakukan kecurian bekalan air, serta sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46 kawasan terima bekalan air, 228 lagi dalam proses pulih

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 46 kawasan sudah menerima bekalan air pagi ini manakala 228 lagi kawasan masih lagi dalam proses pemulihan selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih memulakan operasinya semalam.

Menurut Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook, pemulihan bekalan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya berada pada tahap 17 peratus setakat jam 8 pagi.

“Jika berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah pula, sebanyak 55 peratus pemilik akaun di Kuala Langat menerima bekalan air, 37 peratus di Wilayah Petaling manakala Wilayah Hulu Langat serta Sepang dan Putrajaya masih dalam proses pemulihan,” katanya.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata bekalan air di semua 274 kawasan terjeas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga 6 petang Jumaat, selepas LRA Sungai Semenyih memulakan operasi.

Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan yang akan menerima bekalan air sepenuhnya, menjelang jam 6 petang hari ini.

Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan pada pukul 6 petang Khamis, manakala kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang, Jumaat.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi henti tugas.

Pengguna terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan jadual pemulihan.

Categories
SELANGOR

Proses ganti paip lama sepanjang 435 km rancak dijalankan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Proses menggantikan paip air lama di Selangor di 84 kawasan melibatkan jajaran sepanjang 435.29 kilometer sedang rancak dijalankan di mana 19 daripadanya telah siap sepenuhnya.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, Air Selangor menganugerahkan 20 pakej penggantian paip lama bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

“19 kawasan telah pun siap sepenuhnya manakala kerja-kerja penggantian di 65 kawasan masih berjalan dan akan siap secara berperingkat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Izham berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji senarai 84 kawasan ini semasa ke semasa ekoran perancangan dan pelaksanaan penggantian paip adalah berdasarkan kepada keutamaan serta kemampuan.

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Lanjutan masa pemulihan, pembaikan kritikal di LRA Sungai Selangor Fasa 3

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan berhubung insiden Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di Loji Rawatan Air SSP3 pecah.

Kebetulan semasa kejadian, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama pegawai–pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berada di tapak.

Untuk makluman, kerja-kerja pembaikan telah siap dilaksanakan lebih awal dari masa yang ditetapkan iaitu pada jam 5.00 petang ini, 6 Mac 2018 dan insiden ini berlaku semasa persediaan untuk mengaktifkan semula pengoperasian loji.

Kejadian ini telah menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan yang bertugas di tapak dan pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Susulan daripada insiden yang tidak dijangka ini, masa pemulihan bekalan akan tersasar dari jadual asal seperti yang dimaklumkan pada notis hebahan media sebelum ini.

Pihak kami akan memaklumkan status pemulihan yang baru dan akan bekerjasama dengan pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bagi membantu kerja-kerja pembaikan.

Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan Pusat Khidmat Setempat kami akan beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih.

Kerjasama dan keprihatinan pengguna berhubung insiden yang tidak dijangkakan ini dan lanjutan masa pemulihan amatlah dihargai.

Pihak kami mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan dan kesulitan kepada pelanggan-pelangan yang terjejas.

OLEH: ABDUL RAOF AHMAD ialah ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Categories
SELANGOR

Selangor selesai ganti 422.5KM paip

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 27 FEB: Kerajaan Negeri komited menyelesaikan masalah paip lama seluruh negeri dengan mensasarkan kerja-kerja gantian paip melibatkan jarak 422.5 kilometer melibatkan peruntukan sebanyak RM373.7 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah pembaziran air yang menyumbang kepada pertambahan kuantiti kerugian air tidak berhasil (NRW).

“Masalah NRW merupakan pembaziran yang menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil dan memberikan kesan kepada pendapatan.

“Bagaimanapun, hasil komitmen pentadbiran negeri untuk mengatasi masalah ini, Selangor berjaya mengurangkan masalah NRW sebanyak 30.1 peratus sehingga penghujung tahun lalu.

“Pengurangan ini mampu diraih selepas penstrukturan air negeri diuruskan Kerajaan Selangor dan ini tentunya merupakan perkembangan positif kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di bangunan pentadbiran loji berkenaan, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan masalah NRW kepada 32 peratus, menjelang 2019.

Pada masa sama Mohamed Azmin sebelum ini menyarankan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor bagi melancarkan gerak kerja penggantian paip lama negeri.

Malah Air Selangor juga sebelum ini telah menubuhkan pasukan khas membabitkan 150 kakitangan sepenuh masa bagi mengesan kebocoran dan dibaik pulih dengan segera.

Ia sebagai usaha berterusan Air Selangor dalam merealisasikan pengurangan NRW secara holistik dan kawalan kualiti kerja terbaik.

Untuk rekod, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) gagal mengurangkan kadar NRW kurang daripada 30 peratus sekaligus menjangkakan NRW meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.

 

Categories
SELANGOR

Ganti paip atasi NRW giat dilaksana

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 13 DIS: Kerja penggantian paip lama bagi mengatasi kebocoran yang menyumbang kadar air tidak berhasil (NRW) kini ditahap 23 peratus siap.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri melalui Air Selangor Sdn Bhd menyasarkan pengantian paip itu sebanyak 24 peratus menjelang hujung tahun ini.

“Kerja penggantian berjalan lancar dan kita bersedia untuk melaksanakan tugas ini secara berterusan sehingga sasaran kita tercapai sehingga 2019.

“Sebanyak 84 kawasan hotspot dikenalpasti di seluruh negeri yang membabitkan sepanjang 422 kilometer dinaiktaraf menjelang 2019, dengan peruntukan RM350 juta keseluruhannya, ” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Air Jawatankuasa Tindakan Jurutera-jurutera Air Daerah Se-Malaysia ke 29, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Zaidy berkata setakat ini, kadar NRW di Selangor ditahap 32 peratus berbanding sebelum ini iaitu 35 peratus.

“Oleh itu, bagi mengurangkan kadar NRW ini kepada 29 peratus pada 2019, Kerajaan Negeri mahu kerjasama dari semua pihak bagi mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata tindakan holistik lain dilaksanakan untuk mengurangkan kadar NRW itu ialah pengantian meter air yang rosak dan lama, penyambungan air tidak sah dan mengenal pasti pihak tidak mematuhi prosedur.

“Kita juga menggunakan teknologi yang paling efektif bagi mengenalpasti kebocoran air, juga menguruskan sistem tekanan air supaya tidak membebankan rangkaian saliran air,” katanya.

Pada 2011, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) gagal mengurangkan kadar NRW kurang daripada 30 peratus sekaligus menjangkakan NRW meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.

Ekoran itu, Kerajaan Negeri melalui penstrukturan semula industri air Selangor mengambil tindakan drastik bagi mengurangkan kadar NRW itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor baik pulih 84 hotspot paip pecah, termasuk KL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 23 OKT: Sebanyak 84 hotspot paip gantian di seluruh negeri termasuk satu di Wilayah Persekutuan memerlukan gantian segera dengan perbelanjaan kos sebanyak RM324 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata proses gantian kini sedang dijalankan di sepanjang 400 km jajaran bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada pengguna tanpa berlakunya pembaziran Non Revenue Water (NRW).

“Kita sedang berusaha gigih untuk kurang NRW kerana banyak air yang dibazirkan atas faktor paip pecah, bocor dan kecurian yang menyebabkan proses bekalan air terawat terjejas.

“Kos ini terlalu besar, maka Kerajaan Negeri sekali lagi terpaksa gunakan rizab yang besar kerana kami tidak boleh menunggu daripada Kerajaan Persekutuan untuk gantikan paip ini.

“Untuk tempoh ini sebanyak RM80 juta disalurkan kepada Air Selangor untuk kerja gantian paip termasuk satu di Brickfields, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media, di sini pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, perbincangan mengenai isu tersebut telah dibuat bersama pengurusan Lembaga Air Selangor dan dibentangkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 31 Oktober ini.

“Perkara ini sering kita bincangkan kepada Lembaga Pengarah Air Selangor bagaimana langkah baru perlu diambil dan ini salah satu pendekatan diambil.

“Bagaimanapun untuk tahun depan kita akan memperuntukkan satu jumlah besar dan diumumkan dalam belanjawan nanti.

“Namun fokus utamanya, kerja gantian ini perlu dibuat supaya bekalan air terawat dapat disalurkan bagi tujuan penjimatan kos secara keseluruhan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Labohan Dagang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menanggung kerugian air tidak berhasil (NRW) sebanyak RM1.8 juta akibat kecurian air dari 1 Januari sehingga 24 Mei.

Jumlah tersebut diperoleh hasil daripada 261 notis dikeluarkan SYABAS membabitkan kes kecurian air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Pada masa sama, jumlah tersebut meliputi pengunaan air sebanyak 587,011.67 meter padu bagi tempoh sehingga Mei.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan NRW sebanyak 25 peratus mampu dicapai tahun ini.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja ganti 422 km paip lama dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 JULAI: Demi kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri mendahulukan kos pembiayaan sebanyak RM400 juta bagi menggantikan paip air lama di laluan sepanjang 422 kilometer di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kos menggantikan paip usang melibatkan 84 hotspot ini sepatutnya ditanggung oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAB).

“Komitmen Kerajaan Negeri, kita gantikan 422 kilometer paip bermula hari ini hingga tahun 2019 dengan pada 2016 sahaja kita mengenal pasti dan menumpukan 12 hotspot bermula di Taman Melawati yang merupakan kawasan kritikal berlakunya kebocoran dan paip pecah.

Pelancaran projek penggantian Paip Air Lama di Selangor, KL dan Putrajaya 2016 - MB Azmin (ASRI) (7)“Kita melihat projek ini sebagai suatu mendesak, maka Kerajaan Negeri mendahulukan pembiayaan Capex (perbelanjaan modal) ini bagi projek penggantian paip air dan ini kerana kalau nak tunggu PAB dan Kerajaan Persekutuan, saya tak pasti bilakah cek ini akan muncul dan Kerajan Negeri melihat ini adalah kepentingan pengguna dan Kerajaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penggantian Paip Air Lama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016 di Jalan Taman Melawati, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja menggantikan paip lama ini dijalankan secara berperingkat dengan mendahulukan kawasan-kawasan paling banyak kejadian paip pecah dan kebocoran.

Katanya, Kerajaan Negeri mensasarkan penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 25 peratus pada tahun 2025 berbanding 34 hingga 35 peratus pada hari ini.

“Air Selangor juga melaksanakan pengurusan air secara holistik yang membabitkan kawalan kualiti kerja komitmen pengurusan dan kakitangan dan mengkaji semula kesesuaian pengambilan sumber luar secara keseluruhan kerja-kerja NRW ini,” katanya lagi.

Tambah Mohamed Azmin, kempen mengurangkan NRW ini juga membabitkan kesedaran semua pihak ekoran terdapat kejadian kecurian air oleh segelintir pemain industri dan individu.

Sementara itu dalam majlis yang turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib itu, Mohamed Azmin menurunkan paip air baru pada laluannya dengan menggunakan jentolak sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja menggantikan paip lama.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM59 juta diperuntuk ganti paip lama 30 tahun sepanjang 59.5KM

AMPANG 26 JULAI: Sebanyak RM59 juta diperuntukkan untuk kerja penggantian segera paip lama melibatkan pemasangan sepanjang 59.5 kilometer.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebanyakan paip yang ada sekarang adalah paip lama yang berusia melebihi 30 tahun.

“Semua kerja melibatkan pertukaran paip lama ini dilakukan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang merupakan syarikat milik Kerajaan Negeri,” katanya.

Pelancaran projek penggantian Paip Air Lama di Selangor, KL dan Putrajaya 2016 - MB Azmin (ASRI) (6)Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Penggantian Paip Air Lama di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur di Taman Melawati, hari ini.

Kata Mohamed Azmin, penggantian ini dilaksanakan secara berperingkat dan akan selesai pada penghujung tahun ini.

Kawasan terlibat adalah Bandar Rincing Seksyen 2, Bandar Rincing Seksyen 5, Country Heights Semenyih, Taman Melawati, Gombak Setia, Taman Seri Gombak, Jalan Meru, Persiaran Kayangan, Kampung Tasik Permai, Brickfields, Kg Cheras Baru dan Bandar Tun Razak.

Sebanyak 84 kawasan di Selangor dikenalpasti sebagai kawasan kerap mengalami gangguan bekalan air dan daripada jumlah itu sebanyak 12 kawasandisegerakan pelaksanaannya dengan menggantikan paip lama kepada yang baharu.

EZY

Categories
SELANGOR

Paip ketumpatan tinggi elak kebakaran hutan paya gambut

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 MAC: Jabatan Perhutanan Selangor mengambil inisiatif menyediakan pelan penyambungan paip berketumpatan tinggi untuk membekalkan air jika musim kering berlarutan bagi memastikan insiden kebakaran tidak berulang di kawasan hutan paya gambut.

Pengarah Perhutanan Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan berkata, penyambungan paip sepanjang 2.1 kilometer itu akan bermula dari kolam takungan berhampiran untuk terus menyalurkan air.

Katanya, pelan itu akan digunapakai di Hutan Simpan Raja Musa di Bestari Jaya memandangkan kawasan terbabit pernah terlibat dengan kebakaran besar tahun lalu.

gambar hiasan
gambar hiasan

“Kita tidak perlu tunggu (hutan) terbakar baru hendak ambil tindakan. Ia akan menyebabkan kita terlambat.

“Kalau kita rasa perlukan air jika (paras air di kawasan hutan) agak rendah, maka kita akan cuba banjirkan kawasan itu dengan air,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, model paip berkenaan mula disiapkan hujung tahun lalu dan masih dalam proses untuk diaktifkan di kawasan hutan berkenaan.

Katanya, persetujuan untuk menggunakan kaedah baru itu berdasarkan mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, baru-baru ini.

gambar hiasan
gambar hiasan

“Kita percaya model ini sangat efektif dan berupaya membanjirkan kawasan hutan jika musim panas berlarutan,” katanya.

Terdahulu, bermula Februari hingga Oktober 2014, satu siri kejadian kebakaran hutan berlaku di Hutan Simpan Raja Musa melibatkan kawasan seluas 1,300 hektar.

Ia antara kejadian terburuk yang pernah berlaku hingga menyebabkan jerebu di sekitar kawasan berkenaan termasuk di Lembah Klang.

-NFN-