Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Terserah kerajaan tentukan bonus penjawat awam

KUCHING, 25 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menetapkan jumlah pemberian bonus kepada 1.62 juta penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata CUEPACS yang secara tradisinya menuntut pemberian bonus telah memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan berhubung perkara berkenaan, semalam.

“Ini (berapa bulan gaji sebagai bonus dituntut) susah kami hendak sebut, asal sebut dapat RM500, kita sebut tiga bulan (gaji sebagai bonus) dapat RM500. Jadi, kali ini kita serah kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan petugas barisan hadapan COVID-19 di sini.

Beliau berkata CUEPACS telah menyatakan keperluan pemberian bonus selepas penjawat awam menjalankan tugas mereka dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan memerintah.

“Kami adalah tunjang kepada kerajaan yang menyampaikan setiap dasar diputuskan dan melaksanakan semua dasar-dasar ini, sebab itu negara kita ini tidak mempunyai apa-apa masalah besar dan rakyat masih boleh menjalankan aktiviti, bekalan makanan masih cukup dan tiada huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata CUEPACS juga memohon kerajaan menetapkan gaji minimum baharu serta pengisian jawatan seperti pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran dibuat secepat mungkin.

“Gaji minimum yang baharu ini hendaklah diseragamkan menerusi hasil kajian Bank Negara iaitu RM2,700, kajian dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM2,480 dan CUEPACS sendiri telah membuat kajian minimum gaji iaitu RM2,620,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Belanjawan 2021 fokus kebajikan rakyat

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Program kebajikan rakyat diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata cadangan itu bagi meningkatkan semula taraf kehidupan rakyat yang terjejas susulan penularan Covid-19.

“Kita faham kesan wabak ini dan pendapatan negeri juga menyusut. Kita cuma harap peruntukan dalam Belanjawan 2021 nanti mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya ditemui selepas Program Pemberian Barangan Perlidungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat Mukim Ujong Permatang hari ini.

Selangor memperuntuk RM2.33 bilion tahun lalu dengan RM1.13 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan sementara RM1.2 bilion atau 51.44 peratus bagi belanja mengurus.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM127.78 juta, mengandungi tujuh inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Inisiatif itu antaranya memperuntuk penangguhan bayaran cukai tanah, manfaat untuk petugas barisan hadapan memerangi virus berkenaan serta peniaga dan penjaja berlesen.

Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua yang dibentangkan pada 1 April pula bertujuan menyerap dampak sosio-ekonomi penularan wabak bernilai RM272.5 juta sementara pelan pemulihan ekonomi yang diumumkan pada 13 Julai menekankan tiga tonggak utama.

Tonggak tersebut meliputi aspek jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan nilai keseluruhan RM55.85 bilion.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peruntukan besar jadikan Selangor pusat simpanan makanan negara

CHERAS, 30 OGOS: Kerajaan Negeri dijangka memperuntuk sejumlah besar wang dalam Belanjawan 2021 untuk menjadikan negeri ini pusat simpanan makanan pada masa depan.

EXCO Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pihaknya memohon sekurang-kurangnya RM100 juta bagi tujuan itu berbanding hanya RM30 juta yang dilulus dalam belanjawan terdahulu.

“Penularan Covid-19 mengajar kita pentingnya ada sumber makanan sendiri tanpa bergantung bekalan import dan kerjasama semua pihak penting untuk merealisasikannya.

“Perkara ini melibatkan seluruh rantaian, jadi kita tidak mahu ada pihak tertinggal sekaligus menggagalkan usaha ini, kita jangka hasilnya dapat dilihat dalam tempoh dua tahun iaitu kurangkan sedikit kos import makanan,” katanya selepas menghadiri Program Agro Bandar Selangor di Amerin Mall semalam.

Izham berkata Kerajaan Negeri mengorak langkah menjayakan misi tersebut menerusi pembangunan di tanah seluas 5,000 ekar yang berpotensi sebagai gedung simpanan dan pengeluaran makanan.

“Selain itu kita turut laksanakan program bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi peruntukan RM50 juta untuk projek pertanian makanan dan penternakan dengan mengoptimumkan penggunaan tanah seluas 300 ekar.”

Categories
PBT SELANGOR

Belanjawan 2021, MPS galak masyarakat kemuka idea

SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengajak masyarakat sekitar mengemukakan cadangan dan maklum balas menerusi kaji selidik berhubung Belanjawan MPS 2021, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata mereka boleh menjawab kaji selidik itu menerusi borang yang boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang www.mps.gov.my mulai 4 hingga 18 Mei depan.

“Maklum balas dan pandangan daripada anda amat diperlukan bagi memastikan belanjawan bakal dirangka dapat disediakan secara komprehensif serta memenuhi keperluan pihak berkepentingan MPS.

“Kami berharap orang ramai mengambil peluang ini agar belanjawan ini dapat disediakan mengikut keperluan semua,” katanya dalam kenyataan.

Pihak ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial media MPS, laman sesawang MPS atau hubungi Jabatan Korporat di talian 03-6126 5824.