Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: KKM harap peruntukan lebih tinggi, pastikan khidmat lebih baik

PUTRAJAYA, 29 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap peruntukan lebih tinggi dapat diberikan kepada kementerian itu melalui Belanjawan 2021 bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik disediakan kepada rakyat untuk merawat penyakit berjangkit dan tidak berjangkit di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata melalui peruntukan itu, pihaknya juga merancang penubuhan hospital penyakit berjangkit dan penambahan latihan untuk pakar kesihatan di lapangan serta perubatan di hospital.

“Kita memang memerlukan tambahan peruntukan untuk kementerian bagi meningkatkan perkhidmatan dan aktiviti kesihatan untuk rakyat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini, semalam.

Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Beri sokongan padu Belanjawan 2021, pulih ekonomi

SHAH ALAM, 28 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara kesan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Beliau berkata ia bagi meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani Covid-19 daripada terus merebak.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi merugikan negara dan seluruh rakyat menjadi mangsa,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen pada 6 November.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2021 amat penting kepada rakyat – Agong

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat.

Menurut baginda, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, sesungguhnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Novembr ini pada sidang Parlimen.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS, usahawan perlukan lebih banyak geran, pembangunan digital

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Peserta industri berharap Belanjawan 2021 menawarkan lebih banyak geran bantuan dan pemadanan terutamanya yang boleh membantu penerimaan pakai digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro (MSME) serta pengecualian cukai bagi membantu mereka menangani arus perubahaan keadaan pada masa ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang berkata sementara penerimaan pakai pendigitalan amat penting untuk perniagaan dalam pelbagai bidang, perhatian khusus kepada PKS dan MSME sememangnya perlu kerana mereka telah terjejas teruk oleh krisis kesihatan Covid-19.

“Pendekatan yang padu dan berstruktur diperlukan untuk menyokong digitalisasi dan untuk mereka mengubah cara menjalankan perniagaan,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Antara lain, penerimaan pakai digital boleh membantu PKS dan usahawan mikro memanfaatkan pelbagai platform yang ada termasuk Platform Bersepadu Halal (HIP) milik Halal Development Corporation (HDC) iaitu platform urus niaga dalam talian yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

“HIP akan menjadi hab urus niaga dalam talian terbesar yang menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

“Dengan platform maya ini, perniagaan akan dikendalikan tanpa sempadan dan ia menggalakkan pengantarabangsaan dan urus niaga merentasi sempadan dan negara,” kata pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas.

Pada 28 September, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memudahkan pencepatan penerimaan pakai digital dalam kalangan PKS di bawah Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November.

Beliau berkata rekod menunjukkan penghijrahan teknologi dan digital belum lagi mencapai tahap kritikal dalam kalangan PKS.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa dengan pendigitalan, PKS boleh mendapat jangkauan pasaran yang lebih besar dan seterusnya memasuki pasaran serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh menyokong mereka dalam proses ini,” katanya.

PKS menguasai 98.5 peratus perniagaan di Malaysia, menyediakan lebih lima juta pekerjaan yang menyumbang melebihi RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara industri halal pula mempunyai 230,000 peserta termasuk syarikat multinasional dan PKS.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata kerajaan juga perlu terus memberi sokongan kepada automasi berdasarkan kepada asas-asas yang ditetapkan oleh pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bagi menggalakkan peralihan dalam kalangan PKS.

“Inisiatif seperti peruntukan Kemudahan Bantuan Khas BNM (SRF COVID-19) dan skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) patut diteruskan kerana kesan daripada pandemik mungkin berpanjangan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berharap selain daripada lanjutan inisiatif kewangan, kerajaan akan turut menambah geran pemadanan digitalisasi.

Beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif “Bekerja-dengan-PKS” untuk warga Malaysia yang telah menganggur selama tiga bulan ataupun diberhentikan semasa semasa tempoh pandemik ini dan mereka yang telah berjaya diterima bekerja dengan PKS.

“Kami mencadangkan agar jumlahnya ditetapkan pada RM300 sebulan untuk tempoh 12 bulan, dibayar terus kepada pekerja,” kata beliau.

Persatuan itu juga berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pengecualian cukai korporat untuk RM500,000 pertama pendapatan korporat yang dikenakan cukai, dan pengecualian cukai korporat untuk pendapatan tambahan bagi tahun kewangan 2021 berbanding 2020, tambahnya.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya yang turut bersetuju dengan pendapat Ng berkata, sekurang-kurangnya PKS memerlukan suntikan modal jangka panjang dan tanpa faedah.

Beliau turut berpendapat kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu terlibat sama dalam mengubah platform pemasaran dan keusahawanan.

Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan insentif seperti pengecualian cukai, pengecualian yuran pendaftaran perniagaan dan yuran pembaharuan pendaftaran perniagaan untuk syarikat yang mengendalikan perniagaan dalam talian serta mewujudkan pusat-pusat pemasaran digital setempat untuk pelbagai produk dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: MSN Selangor harap dana bangunkan atlet pelapis

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap peruntukan bagi pembangunan atlet pelapis diberi perhatian dalam Belanjawan 2021.

Pengarah eksekutifnya berkata program pembangunan bakat penting bagi meneruskan kesinambungan atlet untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“MSN berharap belanjawan kali ini menyediakan dana bagi program persediaan bakat dan pelapis juga untuk berdepan kejohanan SUKMA pada 2022 dan 2024,” kata Mohamad Nizam Marjungi ketika dihubungi.

Bagi kemudahan sukan, katanya, ia hanya boleh dipertimbang selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya kerana melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Mohamad Nizam berkata kemudahan sukan sedia ada yang dimiliki pihak berkuasa tempatan memadai untuk atlet meneruskan latihan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi akan membebankan MSN. Kita tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan tidak menentu sekarang. Lebih baik tumpu pembangunan atlet,” kata beliau lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri pada 30 Oktober.

Selangor menyasar kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa dalam SUKMA Johor yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 April.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis mohon dana anjur program gabungan akademik, TVET

SHAH ALAM, 19 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memohon peruntukan bagi melaksana program gabungan akademik dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Rektornya Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata permohonan dana melalui Belanjawan Selangor 2021 bagi membiayai pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

“Sebagai contoh, pelajar Diploma Syariah yang mahu mencuba perniagaan dandanan rambut untuk muslimah, mereka perlu mendapatkan latihan dan kemahiran bersesuaian.

Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri ketika ditemu bual media selepas Majlis Perasmian Penutup Program ICT Bootcamp Selangor di Kuis pada 13 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mereka (pelajar) kemudian boleh menawarkan perkhidmatan tersebut dari rumah ke rumah sekali gus menjaga privasi seseorang muslimah,” katanya ketika dihubungi.

Dr Ab Halim menjelaskan pelajar juga mampu membuka perniagaan sendiri sebaik tamat pengajian melalui latihan dan pengalaman diperoleh daripada program tersebut.

“Mereka boleh menjana pendapatan dan tidak perlu bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah mencipta pekerjaan kepada orang lain,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Amirudin berkata belanjawan itu merangkumi lima tonggak utama iaitu pertanian, pelancongan dan agro pelancongan; kesihatan awam dan bandar berdaya huni; usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar; penciptaan kekayaan serta industri kreatif.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuepacs minta kerajaan pertimbang kenaikan gaji, bonus

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar gaji dan pemberian bonus secara bulanan kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan.

Presidennya Adnan Mat berkata permohonan tersebut berdasarkan situasi semasa negara dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika kita lihat pada ketika ini harga barangan dan perkhidmatan asas yang lain seperti makanan, minuman, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan komunikasi telah menunjukkan sedikit peningkatan.

“Ini bermakna gaji juga perlu ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos keperluan asas ini khususnya untuk seluruh penjawat awam dan mereka yang berada di luar sana,” katanya ketika dihubungi Bernama TV, di sini, hari ini.

Katanya, Cuepacs juga berharap kerajaan mengumumkan bonus dalam bentuk gaji bulanan kepada penjawat awam dan bukannya bantuan khas kewangan sepertimana pada tahun-tahun sebelumnya sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

”Kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu penjawat awam tidak lagi menerima bonus.

“Sebaliknya bantuan khas kewangan yang diterima tahun-tahun sebelum ini adalah sebanyak RM500 menjelang perayaan dan RM500 menjelang pembukaan sesi persekolahan awal tahun,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Fokus pulih ekonomi, peluang kerja – pakar

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini dijangka lebih menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik Covid-19.

Ketua Jabatan Penasihat dan Penyelidik Exim Bank, Zabedah Giw berkata kestabilan ekonomi menjadi keutamaan bagi semua pihak dalam memacu hala tuju masa depan pembangunan negara ke arah kemampanan.

“Ia perlu mengambil kira program pembangunan masa hadapan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mantap, lebih berlandaskan teknologi dan yang dapat mengurangkan risiko atau memberi impak kepada pendapatan sekiranya keadaan seperti ini (Covid-19) terjadi lagi.

“Pada masa sama, kemampanan aktiviti ekonomi juga mengambil kira inisiatif kerajaan sebelum ini, yang telah mewujudkan (program) ekonomi digital dan Industry4ward (Industri 4.0),” katanya semasa menjadi tetamu menerusi Skype bagi program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV pada Jumaat.

Ruang Bicara yang dihoskan Sherkawi Jirim itu membincangkan tajuk ‘Bajet 202 Dalam Situasi Politik dan Ekonomi Semasa’.

Zabedah berkata komuniti perniagaan dan ekonomi itu sendiri juga perlu mempunyai model ekonomi yang jelas apabila menerima guna teknologi dalam rantaian bekalan perniagaan mereka seperti penggunaan kecerdasan buatan.

“Aspirasi ekonomi itu sendiri perlu menjurus ke arah kecemerlangan dengan ia perlu disokong menerusi penerusan dasar pendidikan sedia ada.

“Inovasi boleh berlaku secara lebih meluas dengan aplikasi teknologi, dan juga mengambil kira kualiti lepasan pengajian tinggi sekarang dan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mengamalkan ekonomi perdagangan, yang perlu disokong dengan kapasiti pembuatan dan pengeluaran yang mencukupi dan inovatif untuk melonjakkan Malaysia ke tahap kematangan perindustrian.

“Penekanan sebelum ini bagi penggunaan Industry4ward dan pendigitalan memberi peluang untuk menerima guna contohnya pembuatan bernilai tambah tinggi ke tahap yang lebih tinggi.

“Di sini saya nampak ia lebih menjurus kepada pencapaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menaik taraf perniagaan mereka. Ia penting kerana PKS adalah lapisan perniagaan yang boleh diukur untuk menjadi juara global daripada juara tempatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

UOB Bank: Kadar pengangguran 4.7-5.0 peratus, PKPB beri kesan pasaran buruh

KUALA LUMPUR, 14 OKT: United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Bank) menjangkakan kadar pengangguran kekal tinggi antara 4.7 peratus dan 5.0 peratus pada bulan-bulan akan datang.

Bank itu dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini dan perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan memberikan kesan terhadap pemulihan pasaran buruh.

Ini berikutan negeri-negeri tersebut menyumbang 46 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara dengan kira-kira 40 peratus jumlah pengangguran.

Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan keadaan pasaran buruh negara bertambah baik sedikit pada Ogos, dengan kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus.

Jabatan itu berkata kadar pengangguran yang stabil dicatatkan susulan peningkatan jumlah orang yang menyertai tenaga kerja yang mengimbangi bilangan penganggur yang turun sedikit sebanyak 3,500 orang.

Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh meningkat kepada 68.4 peratus daripada 68.1 peratus pada Julai.

UOB Bank berkata peningkatan sederhana pekerjaan dan penurunan kecil kadar pengangguran itu seiring dengan data ekonomi lain termasuk pengeluaran pembuatan dan eksport, membayangkan pemulihan yang lebih perlahan pada Ogos.

“Ini susulan peningkatan mendadak antara Mei dan Julai semasa fasa permulaan semula dan pemulihan,” kata bank itu.

UOB Bank juga menjangkakan lebih banyak langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November, yang berkemungkinan termasuk lanjutan langkah semasa, termasuk subsidi upah dan bantuan tunai.

Langkah baharu itu juga mungkin termasuk sokongan kepada penggunaan, merangsang pelaburan, mempercepatkan pendigitalan, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan dan upah, selain menggalakkan kelestarian alam sekitar, kata bank itu.

-BERNAMA

 

Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2021: EXCO mahu perkasa belia melalui PeBT

SHAH ALAM, 11 OKT: Pemerkasaan belia menerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) antara fokus utama portfolio pembangunan generasi muda dalam Belanjawan Selangor 2021.

EXCOnya Mohd Khairuddin Othman berkata pendekatan itu diambil dengan mewujudkan Dasar Belia 2020, bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Penekanan dasar yang akan diwujudkan membabitkan aspek digital seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya mengulas tumpuan belanjawan yang akan dibentang hujung bulan ini.

PeBT yang ditubuhkan pada 2009, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh di seluruh negeri.

Bagi aspek sukan, beliau berkata tumpuan diberikan kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Johor tahun hadapan dengan sasaran kekal 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa.

Sukma Johor 2020 yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April manakala Para Sukma diawalkan ke 8 hingga 13 Mac.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Kerajaan dijangka kurangkan belanja, KDNK merosot – ahli ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan Persekutuan dijangka mengurangkan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 kerana pendapatan berkurangan pada dua suku terakhir, kata seorang ahli ekonomi.

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah berkata kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakannya disebabkan kepada sekatan perdagangan komoditi terhadap ekonomi Malaysia yang dipacu oleh eksport.

“Saya berharap kerajaan akan merangka belanjawan yang mampan kerana ia penting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus bertahan dan kembali berkembang maju setelah pandemik Covid-19 berakhir.

“Jika anda hanya berpegang pada langkah penjimatan dalam belanjawan, ia mungkin tidak bergerak dalam landasan yang betul untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada semasa menjadi tetamu dalam rancangan The Nation yang disiarkan Bernama TV yang membincangkan tajuk ‘Exploring Budget 2021’, semalam.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan membentangkan belanjawan pada 6 November depan. Ia akan menjadi belanjawan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional sejak mengambil alih kuasa pada Mac lepas.

Sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada KDNK diperuntukkan untuk Belanjawan 2020, sebanyak 81.1 peratus atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Untuk meningkatkan lagi belanjawan tahun itu, Rajah mencadangkan agar mencari jalan untuk mempromosikan barang dan perkhidmatan tempatan bagi memperluas bahagian pasaran domestiknya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute Sdn Bhd, Intan Nadia Jalil, yang juga menjadi tetamu program itu berkata ketirisan dapat dicegah dengan menghentikan segala perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap atau tidak berkesan.

“Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa insentif cukai korporat yang wujud selama beberapa dekad sekarang.

“Cara terbaik adalah melihat bagaimana ia dapat diselaraskan menjadi lebih efektif dan efisien untuk ekonomi secara keseluruhan, memandangkan kerajaan dijangka melakukan penjimatan dalam belanjawan,” katanya.

Intan Nadia berkata Belanjawan 2021 seharusnya menjadi belanjawan yang memulihkan dan membangunkan terutama kepada kumpulan sasaran seperti perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk oleh penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Belanjawan 2021: MBSA tingkat kualiti infrastruktur, keselamatan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi penekanan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan keselamatan tahun depan seiring matlamat Shah Alam Bandar Raya Pintar.

Datuk bandar berkata antara projek bakal dilaksana ialah pembinaan 30 unit gerai serba guna dan gerai makan di Kampung Baru Subang, Seksyen U6 dengan anggaran peruntukan RM4.5 juta.

“MBSA juga bercadang membina lot kedai dua tingkat di Jalan Pulau Angsa A Seksyen U10 (RM3 juta), gerai di Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh (RM500,000) serta kompleks perniagaan dan tempat letak kereta di Seksyen 17 (RM1 juta).

“Cadangan lain ialah menaik taraf padang bola Seksyen 19 dan membina jejantas di Persiaran Institut di Seksyen 7,” kata Dato’ Haris Kasim selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata belanjawan turut memperuntuk masing-masing RM1 juta bagi pemasangan dan penggantian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas dan pembelian perkakasan pusat kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

MBSA membentangkan anggaran Belanjawan 2021 berjumlah RM498.82 juta dengan jangkaan defisit RM28.06 juta.

Haris berkata RM396.14 juta diguna bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan RM130.74 juta, manakala defisit ditampung menggunakan rizab PBT itu.